SHAH ALAM - Orang ramai berbeza pendapat mengenai cadangan hukuman penjara dan sebat terhadap pengkhianat subsidi rakyat dengan cara memanipulasi bekalan beras dalam negara.
Pensyarah sambilan, Nazim Abdul Rahim, 50, tidak bersetuju dengan hukuman penjara dan sebat sebaliknya mencadangkan kerajaan untuk membendung jenayah tersebut bermula dengan pendidikan menerusi semua platform.
Katanya, pembaharuan dalam undang-undang jenayah berkenaan perlu difokuskan menerusi kaedah mendidik orang ramai untuk patuh dengan peraturan sedia ada.
"Saya nampak ada loop hole dalam cadangan itu, kita harus melakukan pembaharuan iaitu ubah atau pinda akta tersebut secara menyeluruh. Kita kena didik orang ikut peraturan, bukan takutkan orang dengan hukuman,” jelasnya.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Hassan Abu Bakar, 52, berkata, hukuman itu tidak mendatangkan faedah besar jika dilihat dari perspektif ekonomi.
"Saya lebih cenderung kepada akta yang dapat membuat transformasi kepada industri padi dan beras negara kerana akta sekarang sudah memadai untuk mengawal kegiatan ini.
"Apa yang perlu ada ialah satu akta yang akan mendorong kepada peningkatan produktiviti padi dan beras negara. Jadi, saya cadangkan untuk ubah daripada produk berasaskan subsidi kepada insentif kerana ia akan membawa kepada industri padi dan beras berdaya saing serta bekalan beras yang mencukupi dalam negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, penjawat awam, Muhammad Ridhwan Sohar, 25, berkata, dia bersetuju dengan cadangan tersebut namun setiap pendakwaan dan keputusan hukuman perlu dihebahkan kepada umum sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
"Dulu kita sering diperdengarkan tentang kartel gula dan telur tapi kalau tengok balik, memang tidak ada tindakan berat diambil terhadap mereka. Kita sendiri pun jarang dengar mereka didakwa atau dikenakan sebarang tindakan.
"Saya yakin komitmen dan kerjasama penuh semua pihak akan menemui titik noktah kepada permasalahan ini,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Penjawat awam, Muhammad Hafiz Mohd Arif, 24, berpendapat, cadangan itu wajar dilaksanakan segera berikutan hukuman denda sudah tidak relevan kerana kartel mempunyai banyak wang dan tiada masalah untuk membayarnya.
"Begitu juga dari segi penguatkuasaan, saya harap mereka lebih telus supaya kartel yang terlibat diberikan hukuman dan dapat menstabilkan harga barang dalam pasaran,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca