SHAH ALAM - Kerajaan digesa melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti dan menghukum dalang kartel beras yang menyebabkan bekalan tidak mencukupi di pasaran.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Kuala Lumpur (Ikram), Zainal Adnan Abd Halim berkata, tindakan itu disifatkan sebagai menyalahgunakan kuasa dan melanggar undang-undang selain membebankan rakyat.
"Jika benar perkara ini berlaku, ia dianggap sebagai satu penipuan kepada rakyat dan melibatkan elemen integriti yang serius. Mungkin agak sukar untuk mengaitkannya secara terus dengan isu rasuah walaupun ada kemungkinan.
"Namun, isu ini jelas melibatkan penyalahgunaan kuasa dan tidak amanah di mana pelakunya perlu dihukum,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh membongkar modus operandi kartel yang menggunakan beras hancur sebagai beras tempatan kerana ia boleh dijual dengan bukan harga kawalan.
Bagaimanapun, Zainal Adnan berpandangan, isu tersebut perlu dilihat secara menyeluruh seperti punca utamanya iaitu kekurangan bekalan beras import menyebabkan harganya melambung tinggi.
Tambah beliau, modus operandi menjual beras hancur sebagai beras tempatan diibaratkan seperti menangguk di air keruh kerana mengambil peluang mengaut keuntungan berlipat kali ganda disebabkan perasaan tamak dan tiada perikemanusiaan terhadap keperitan hidup rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca