SUBUH yang dingin dan matahari belum terbit, puluhan ribu orang dewasa serta murid sekolah sudah mulakan aktiviti pertama harian mereka – beratur panjang dan berasak-asak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
Tujuan mereka sama, untuk menyeberang ke negara jiran yang tidak jauh dari pandangan Johor Bahru demi satu suasana persekolahan atau pekerjaan yang menjaminkan pulangan lebih bermakna, sekiranya nilai makna itu diukur dalam mata wang Singapura.
Warga sekolah dan warga kerja yang bermastautin di kawasan Lembah Klang sering merungut dengan keadaan jalan raya sesak pada waktu puncak bermula dan selepas kerja tetapi cuba bayangkan pengalaman diharungi rakan sewarganegara kita di wilayah selatan.
Keperitan dan seksanya terkandas di laluan Tambak Johor selama dua hingga hingga tiga jam walaupun jarak yang mereka perlu lalui lebih singkat berbanding jarak antara KLCC dengan Dataran Merdeka.
Peka dengan rungutan dan maklum balas daripada rakyat, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat sering turun padang meninjau keadaan sebenar serta melihat sendiri pergerakan trafik di kedua-dua pintu masuk menghubungkan Johor dan Singapura.
Hasil usaha pemantauan beliau dan kerjasama berterusan antara agensi berkaitan kedua-dua negara, isu kesesakan di laluan antara Johor serta Singapura sudah beransur baik. Namun, masalah pokok tetap sama iaitu laluan sedia ada tidak lagi dapat menampung kapasiti penggunaan yang semakin meningkat.
Hampir 300,000 warga Malaysia menyeberang ke Singapura setiap hari. Angka harian itu jauh lebih tinggi daripada jumlah rakyat Malaysia yang merentasi sempadan Malaysia-Thailand setiap minggu. Ia satu refleksi mudah pentingnya meningkatkan kelancaran pergerakan Johor–Singapura dalam konteks landskap ekonomi wilayah selatan Malaysia.
Singapura yang saiznya jauh lebih kecil berbanding Kelantan, Terengganu atau Kedah mempunyai rekod perdagangan dua hala dengan Malaysia - nilai melebihi 100 billion dolar Singapura pada 2022.
Setelah sekian lama bergelut dengan masalah kesesakan yang sama, akhirnya Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan projek Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura atau RTS.
Apabila siap dibina, RTS dijangka dapat menggerakkan 10,000 penumpang setiap jam, dengan setiap pergerakan keluar masuk sempadan antara dua perhentian hanya akan mengambil masa lapan minit bagi setiap penumpang secara purata.
Lapan minit dalam konteks lebih besar bakal merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi dua hala merentasi pelbagai sektor di Johor Bahru. RTS yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027 adalah manifestasi prakmatisme kumpulan pembuat dasar yang bertindak atas kesedaran demi kepentingan jangka panjang negara dan rakyat secara total.
Laluan projek RTS sepanjang empat kilometer bakal melibatkan kos kira-kira RM4 bilion tetapi ia talian hayat penting kepada ratusan ribu warga Malaysia yang mencari rezeki di Singapura setiap hari, mengambil kira kadar tukaran mata wang antara ringgit dan dolar Singapura yang dilihat akan berkekalan untuk satu jangka waktu panjang.
Sinergi ekonomi yang dapat dijana oleh faktor mobiliti manusia dan logistik lebih lancar akan menjadikan sektor ekonomi wilayah selatan Malaysia lebih mapan serta berdaya saing.
Mudah-mudahan sinergi yang sama dapat dicipta apabila wilayah utara mula melombong nadir bumi.
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Klik di sini untuk terus membaca