HARI ini 16,456 pengundi berdaftar akan mengundi bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai. Selepas itu 22,804 pengundi di DUN Jepak, Sarawak dan mungkin 139,423 pengundi di Parlimen Kemaman, Terengganu juga akan melakukan perkara sama di tempat mereka.
Disebabkan mood pilihan raya dijangka berpanjangan, artikel hari ini cuba mengupas maksud mengundi itu sendiri berbanding pilihan raya secara bermakna.
Ia lebih molek dilakukan pada hari sebegini kerana fokus kepada mengundi sebagai tonggak demokrasi sering tercicir dan terpinggir dalam mana-mana wacana pilihan raya.
Lazimnya, perbincangan umum ketika pilihan raya lebih terarah kepada calon, parti politik, kempen dan manifesto. Jarang perbincangan tentang hak dan kuasa mengundi bagi pengundi itu sendiri diketengahkan, seolah-olah mereka adalah ‘business as usual’ dalam proses pilihan raya.
Dalam politik dan demokrasi, hak serta kuasa mengundi adalah tonggak yang membentuk sesebuah masyarakat demokratik. Hak mengundi (suffrage) menjadi konsep asas pembinaan demokrasi moden yang memastikan setiap rakyat biasa mempunyai hak bersuara dalam kerajaan dan memutuskan kemahuan mereka terhadap keputusan serta dasar yang menentukan kehidupan mereka.
Hak dan kuasa mengundilah yang memberikan makna kepada ‘kuasa rakyat’ (people power) sebenar.
Hak mengundi bukan sekadar hak yang dijamin perlembagaan bagi membolehkan rakyat biasa mengundi dan mengambil bahagian dalam proses demokasi, ia turut membawa beberapa peranan penting bagi menghidupkan serta menyuburkan pembentukan masyarakat demokratik.
Pertama, hak mengundi berperanan memainkan fungsi perwakilan yang berkesan pada pilihan raya. Dengan mengundi, rakyat bebas memilih perwakilan dirasakan mampu mewakili dan membuat keputusan bagi pihak mereka.
Ia memastikan kerajaan dipilih kelak akan mencerminkan kehendak umum dan bertanggungjawab kepada mereka sebagai pengundi.
Kedua, hak mengundi menjadi kuasa kuat untuk mempengaruhi tindakan parti politik dan kerajaan memerintah. Di sinilah kuasa sebenar satu undi yang dimiliki rakyat dan paling signifikan.
Kuasa undi sangat berharga dan menjadi senjata buat rakyat untuk mempengaruhi dasar serta tindakan kerajaan. Dengan membuang undi, setiap pengundi boleh membentuk hala tuju negara dan memperjuangkan kepentingan masa depan mereka sebagai rakyat biasa.
Mungkin bagi mereka yang pernah menonton filem Tamil berjudul Mandela tahun 2021 lakonan Yogi Babu, masih ingat bagaimana hidup seorang tukang gunting rambut berkasta rendah tiba-tiba berubah sekelip mata setelah mereka yang bertanding mengetahui undinya yang satu itu boleh menentukan siapa akan memenangi pilihan raya kelak.
Begitulah keadaannya kalau rakyat faham hak dan kuasa undi sebenar.
Ketiga, hak mengundi mempromosikan prinsip kesetaraan. Dalam praktik demokrasi sebenar, setiap rakyat yang sah mempunyai hak sama dalam proses pilihan raya tanpa mengira jantina, bangsa, agama, status sosioekonomi atau wilayah mereka.
Prinsip satu rakyat satu undi menjadi penegak kesetaraan yang menjamin setiap suara (undi) adalah sama dan berharga di sisi negara tanpa prejudis, sekali gus menyokong konsep kedaulatan rakyat (popular sovereignty).
Terakhir, hak mengundi berfungsi menjadi penggalak penyertaan dan penglibatan rakyat dalam aktiviti berpolitik.
Aspek inilah paling utama dalam pengundian - hak dan kuasa mengundi perlu menjadi pemangkin kepada penglibatan sivik serta penyertaan aktif dalam proses politik.
Ia memupuk rasa tanggungjawab dan hubungan dengan kerajaan, mengukuhkan fabrik demokrasi, di samping menyuburkan kebebasan bersuara serta mengemukakan pandangan kepada pemerintah secara langsung, selain aspek perwakilan.
Seperti kenyataan paling berpengaruh tentang demokrasi oleh Abraham Lincoln tentang kerajaan dan pemerintaan, sesebuah kerajaan boleh benar-benar mengaku sebagai kerajaan ‘dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat’ hanya kalau hak mengundinya dapat memperkasakan rakyat untuk bersuara dalam tadbir urus negara dan memastikan tindakan kerajaan mencerminkan kehendak mereka.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Klik di sini untuk terus membaca