SEBULAN yang lalu Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menetapkan harga siling bagi beras dalam usaha memastikan kos makanan ruji negara terkawal.
Menurut pejabat presiden dalam satu kenyataan, langkah itu dibuat untuk menangani 'kenaikan yang membimbangkan' dalam harga runcit beras.
Tetapi selepas sebulan, timbul masalah besar apabila berlaku aktiviti sorok, penyeludupan dan manipulasi harga beras serta inflasi melambung tinggi.
Ekoran daripada itu, Marcos mengambil keputusan untuk membatalkan dan menghentikan kawalan tersebut dan harga makanan ruji rakyat di Asia mengikut pasaran.
Petani Filipina begitu seronok dengan langkah yang diambil oleh pemerintah, namun ia tidak menggembirakan pengguna dan pembeli beras.
Sementara di Malaysia, Jawatankuasa Bertindak Petani Mada, tidak berpuas hati dengan tindakan pengilang yang menurunkan harga belian padi daripada RM1,700 per metrik tan ke harga lantai RM1,200.
Harga baharu itu adalah lebih rendah berbanding RM1,285 yang diterima pada musim lalu menyebabkan pesawah berasa tertipu atas pengumuman kenaikan harga padi.
Bagaimanapun, kerajaan pula mengatakan pemberian insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 per tan kepada pesawah tetap diteruskan dan kerajaan hanya meletakkan harga lantai belian padi oleh pengilang iaitu pada kadar RM1,200 per tan sejak 2014.
Dengan itu, pesawah masih lagi boleh menikmati pendapatan sebanyak RM1,700 per tan walaupun pengilang menurunkan harga mereka mengikut harga lantai.
Sejak dua bulan lalu, negara-negara di Asia mengalami masalah beras selepas pengeksport beras terbesar dunia, India mengenakan larangan eksport beras hancur dalam usaha mengawal harga domestik komoditi tersebut.
Ia dilakukan kerana negara itu dilanda musim tengkujuh Barat Daya antara Jun dan Oktober sehingga menyebabkan penghasilan beras jatuh sebanyak 10 hingga 12 juta tan.
Kesannya, harga beras import meningkat dan orang ramai mula beralih kepada penggunaan beras tempatan, namun ia didapati tidak dapat menampung keperluan semasa.
Maka timbulah banyak dakwaan tentang kewujudan kartel, kegiatan sorok beras dan perbuatan tukar peket beras tempatan kepada beras import untuk mendapatkan harga lebih tinggi.
PENGILANG TAMAK
Kerajaan sudah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut, namun untuk menyelesaikan masalah dalam masa yang singkat tidak berlaku.
Ada dakwaan mengatakan pengilang beras di negara ini sebenarnya tamak dan jadi punca utama masalah bekalan beras sukar diatasi.
Mereka sebenarnya mahu mendesak supaya harga beras ikut harga pasaran sama seperti dilakukan Filipina yang terpaksa tunduk dengan tekanan.
Sudah lama sebenarnya pengilang beras tindas petani miskin di negara ini. Taktik paling jahat yang dilakukan ialah dengan menentukan kadar pemotongan mutu padi sesuka hati.
Kadar paling sedikit dan menggembirakan petani ialah sebanyak 14 peratus tetapi kadar paling tinggi yang diberikan ialah 22 peratus.
Mutu padi ditentukan melalui tiga perkara iaitu hampa atau benda asing dalam padi, padi angin atau kosong dan kadar kelembapan padi atau padi basah.
Walaupun ada badan yang kawal selia perkara tersebut tetapi pengilang beras ini begitu ‘besar kepala’ dan di sinilah timbulnya istilah kartel yang popular sekarang.
Memang benar ada banyak lagi kelemahan-kelemahan dalam industri padi negara dan ia perlu diatasi dengan bijaksana.
Antara yang paling penting dan utama ialah penggunaan teknologi baharu, pengairan atau sistem perparitan sempurna, peruntukan mencukupi dan benih padi berkualiti.
Itu belum cerita lagi tentang kadar stok beras negara yang diragui oleh sesetengah pihak terutama golongan petani.
Ada dakwaan mengatakan stok yang terdapat pasaran itu turut diambil kira sebagai kadar stok beras negara.
Jadi kita memang berharap sangatlah supaya semua masalah-masalah ini dapat diatasi oleh kerajaan.
Kita harap pak menteri dapat turun padang dan dengar sendiri rintihan para petani tentang realiti yang berlaku di bawah dan tidak sekadar mendengar laporan pegawai sahaja.
Orang Kedah kata, kena turun dan bergelumang dengan keleboq (lumpur dan selut) baru boleh tahu apa yang berlaku supaya dapat mencari penyelesaian lebih baik.
* Junhairi Alyasa adalah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca