PADA saat Perikatan Nasional (PN) menerusi calon Pas, Kasim Samat diunjurkan melakukan kejutan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) sebaliknya bangkit mempertahankan kubu kuat parti... Klik di sini untuk terus membaca

PADA saat Perikatan Nasional (PN) menerusi calon Pas, Kasim Samat diunjurkan melakukan kejutan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) sebaliknya bangkit mempertahankan kubu kuat parti itu dengan kemenangan bergaya.

Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam ternyata mempamerkan kehebatan tersendiri mengenepikan prediksi-prediksi liar segelintir pemerhati politik sebelum ini terhadap keputusan PRK berkenaan.

Kebanyakan mereka menjangkakan Amizar sukar untuk memenangi PRK Pelangai disebabkan faktor peralihan sokongan pengundi Melayu terhadap PN yang ketara sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Di samping itu, kempen BN-PH turut terkesan dengan beberapa isu nasional yang memberi tekanan kepada kesejahteraan rakyat seperti krisis kenaikan harga barang, kekurangan stok bekalan makanan asas dan kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia.

Terdahulu, beberapa penganalisis politik turut menjangkakan sekiranya Amizar tewas kepada Kasim atau seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli di Pelangai, keputusan itu bakal menjadi pemangkin kepada perpecahan UMNO pada masa hadapan.

Lebih menarik, kemenangan Amizar turut diiringi dengan beberapa perkembangan positif yang mungkin tidak berlaku pada beberapa siri pilihan raya sebelum ini, seperti kejayaan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong itu meraih sokongan majoriti undi kaum Cina yang mewakili sekitar 12 peratus jumlah keseluruhan pengundi PRK Pelangai.

Di pusat daerah mengundi Manchis, Sungai Gapoi, Telemong dan Sungai Perdak yang mejoritinya terdiri pengundi bukan Melayu, ternyata kelompok itu berjaya mencatatkan bukti pemindahan undi kepada Amizar yang sangat tinggi.

Pada masa sama, Amizar turut berjaya menjana pertambahan undi di beberapa pusat daerah mengundi majoriti Melayu seperti Kampung Jawi-Jawi, Simpang Pelangai, Manchis, Sungai Gapoi, Telemong dan Sungai Perdak.

Bagaimanapun, PN turut mencatatkan prestasi memberangsangkan pada PRK Pelangai apabila gabungan parti pembangkang itu berjaya memenangkan dua daripada tiga pusat daerah mengundi yang pengundinya terdiri majoriti kelompok peneroka FELDA.

BN berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Pelangai dengan keputusan yang lebih baik, menawarkan sedikit kelegaan selepas dipukul 'gelombang hijau' pada pilihan raya negeri 12 Ogos lalu.

Sebagai contoh, di Felda Kemasul, PN memperolehi 57 peratus undi, meningkat berbanding 38.4 peratus undi pada PRU15. Di Felda Kemahal pula, PN berjaya merebut 50 peratus, meningkat berbanding 35.6 peratus pada pilihan raya umum tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan Amizar dan BN berjaya mengekalkan kawasan DUN Pelangai dengan 62 peratus bahagian undi atau sebanyak 7,324 undi mengatasi Kasim (4,375 undi) dan Haslihelmy (43 undi).

Untuk rekod, bekas penyandang DUN itu yang juga Exco Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun menang DUN Pelangai pada PRU15 dengan meraih sebanyak 57.7 peratus undi.

Mengulas mengenai kejayaan BN itu, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis merumuskan keupayaan Amizar meraih kemenangan bergaya adalah disebabkan kejayaan jentera BN-PH membendung peralihan undi penyokong UMNO kepada PN secara besar-besaran sebagaimana berlaku pada PRU15 dan PRN enam negeri.

Pada masa sama, kejayaan BN memenangi empat pusat daerah mengundi yang majoriti pemilih berdaftar terdiri kelompok bukan Melayu juga menjadi indikasi penting bahawa segmen bukan Melayu seperti kaum Cina dan Orang Asli ternyata menjadi penyelamat kepada Amizar.

"Dengan berlakunya transisi peralihan pengundi PH atau DAP kepada calon BN yang sangat tinggi pada PRK Pelangai, ini membuktikan akar umbi BN-PH sudah mula yakin untuk menerima kerjasama politik dua parti berkenaan melalui Kerajaan Perpaduan bagi mendepani cabaran politik akan datang.

"Satu lagi faktor penting membantu kemenangan calon BN adalah dengan kembalinya bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob untuk membantu kempen calon BN sewaktu kempen PRK berlangsung, meskipun beliau pada awalnya dikatakan memihak kepada PN.

"Adnan atau lebih dikenali Tok Nan yang pernah menabur bakti di DUN Pelangai selama lebih 36 tahun sudah tentu mempunyai pengaruh unik dalam mempengaruhi kelompok pengundi di situ untuk terus kekal menyokong BN," ujarnya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

MUJIBU

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain menjelaskan kemenangan calon BN sudah dijangka kerana parti itu yang dibantu jentera PH, mempunyai kelebihan besar sebagai penyandang.

Pada masa sama, beliau turut melihat PN gagal memainkan sebarang isu besar yang mampu menangkap imaginasi pengundi DUN berkenaan.

"Kemenangan ini juga disumbangkan dengan sokongan undi BN dan PH. Kali ini PH berkempen membantu calon UMNO. DAP ada kata, kempen DAP seperti calon DAP bertanding.

"Sudah pasti kesungguhan jentera PH dan DAP kali ini bagi membalas bantuan BN dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor sebelum ini," jelas Mohd Izani.

Ujarnya, kemenangan Amizar dan BN kali ini juga menzahirkan kekuatan kerajaan perpaduan di Pahang dengan aspek kestabilan politik yang dapat dipertahankan di negeri itu bakal menjamin kesinambungan pembangunan seperti yang disebut dalam manifesto parti sebelum ini.

"Sokongan pengundi Cina kepada calon BN kali ini membuktikan mereka boleh menerima calon yang bersama-sama berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Satu lagi aspek penting adalah sebarang jangkaan berlaku fenomena teori domino di Pahang sebagaimana terjadi kepada dua negeri Pantai Timur lain seperti di Kelantan dan Terengganu pada PRN enam negeri Julai lalu turut meleset.

"Kesimpulannya, pengundi Melayu di Pahang masih kekal menaruh kepercayaan kepada BN-PH untuk terus memimpin mereka dan kejayaan ini pastinya memberikan suntikan moral paling penting kepada UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneruskan pentadbiran kerajaan sedia ada," katanya lagi.

DR MOHD IZANI

Klik di sini untuk terus membaca