SHAH ALAM - Kemenangan dalam dua pilihan raya kecil di Johor baru-baru ini dan disusuli kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu menunjukkan koalisi Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH) berjaya menyekat 'gelombang... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Kemenangan dalam dua pilihan raya kecil di Johor baru-baru ini dan disusuli kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu menunjukkan koalisi Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH) berjaya menyekat 'gelombang hijau' daripada terus membadai politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, keputusan itu juga menunjukkan rakyat pelbagai kaum termasuk orang Melayu dan Cina kini sudah mula menerima kerjasama BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan Pahang sekarang.

Beliau berkata, kemenangan BN itu menunjukkan strategi kempen digunakan Perikatan Nasional (PN) termasuk membawa pemimpin popular seperti mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor gagal meraih sokongan masyarakat di Pelangai.

"Walaupun mereka berusaha bersungguh berkempen dari rumah ke rumah, namun ia dilihat kurang berkesan dalam kalangan pengundi di Pelangai sekali gus menunjukkan gelombang hijau atau perubahan sokongan rakyat dari BN-PH kepada PN kini semakin surut.

"Gelombang hijau kurang berkesan di Pelangai ialah kerana pengundi masih mahu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meneruskan pentadbiran kerajaan negeri, bukan bertindak menukarnya dengan orang lain seperti didakwa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen PRK, baru-baru ini.

"Satu lagi punca kenapa gelombang hijau kurang berkesan adalah kerana rakyat percaya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya kini sedang berusaha keras mengekalkan kestabilan politik, menangani isu perubahan cuaca dan krisis makanan global termasuk pelaksanaan pengumuman menaikkan subsidi padi kepada petani," katanya.

AWANG AZMAN


Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam pertembungan tiga penjuru yang menyaksikan calonnya, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan PN yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 43 undi.

Bagaimanapun, majoriti undi diperoleh Amizar lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 undi berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, biarpun kemenangan itu menunjukkan orang Melayu di Pelangai kini kembali menyokong UMNO, namun kawasan seperti Felda Kemasol kekal menjadi kubu kuat Pas dan PN di Pahang.

"Pada masa sama, PN terbukti berjaya meningkatkan jumlah undi majoriti Melayu yang diterima calon mereka di beberapa pusat daerah mengundi kritikal, sekali gus memberi indikator momentum gelombang hijau' ada potensi untuk kembali bangkit sekiranya BN-PH tidak menanganinya dengan berhati-hati.

"Bagaimanapun, pengundi Pelangai malah rakyat seluruh negara perlu memberi tempoh masa secukupnya kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar untuk membuktikan kemampuannya," katanya.

SPR secara rasmi mengumumkan Amizar dan BN berjaya mengekalkan kawasan DUN Pelangai dengan 62 peratus bahagian undi atau sebanyak 7,324 undi mengatasi Kasim (4,375 undi) dan Haslihelmy (43 undi).


Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali menjelaskan kemenangan BN di Pelangai bukan kerana gelombang hijau tidak kuat, sebaliknya tindakan kepimpinan UMNO Pahang yang bijak menyelesai isu perbalahan dalam parti.

Che Hamdan berkata, perkara itu termasuklah krisis dalaman membabitkan keputusan pucuk pimpinan BN tidak meletakkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh sebagai calon di samping krisis perang dingin dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob berjaya didamaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kejayaan UMNO memujuk semula Long Nan (Adnan) menyebabkan PN gagal menembusi kubu kuat BN terutama di perkampungan Orang Asli seperti di Kampung Orang Asli Ulu Semei dan Sungai Gapoi.

"Selagi PN gagal menembusi kubu kuat BN di perkampungan Orang Asli di Sungai Gapoi mereka jangan mimpi dapat menawan DUN Pelangai," katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar pula menjelaskan PN gagal di dua PRK berturut-turut di Johor dan Pahang disebabkan gelombang hijau terbabit tidak berjaya menembusi kubu kuat PH di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram manakala Pelangai pula amat sinonim dengan dominasi BN.

Beliau berkata, kemenangan BN di Pelangai memang sudah dijangkakan oleh ramai penganalisis politik kerana kawasan DUN terbabit terutama Felda Kemasul, Kemahang dan Chemomoi adalah kawasan deposit undi tetap UMNO.

"Justeru itu saya tidak pelik jika PN kalah kerana gagal menembusi kawasan Felda yang menjadi kubu kuat BN-UMNO sejak dari dulu lagi.

"Bagaimanapun, situasi berlaku sekarang mungkin berubah 360 darjah jika 'Long Nan' (bekas Menteri Besar Pahang) beralih arah menyokong calon PN sepanjang kempen PRK Pelangai lalu," katanya. Klik di sini untuk terus membaca