PENULISAN sastera antarabangsa kontemporari dikuasai genre autobiografi dan sastera perjalanan. Inilah dua buah genre yang sangat popular dan mendominasi. Begitu ramai penulis yang terlibat dalam penulisannya dalam pelbagai genre, baik... Klik di sini untuk terus membaca

PENULISAN sastera antarabangsa kontemporari dikuasai genre autobiografi dan sastera perjalanan. Inilah dua buah genre yang sangat popular dan mendominasi. Begitu ramai penulis yang terlibat dalam penulisannya dalam pelbagai genre, baik novel, cerpen, puisi dan drama.

Di pasaran begitu banyak karya yang diterbitkan. Dan, pembaca mencari dan membeli kedua-dua buah jenis teks tersebut.

Sastera autobiografi berkembar dengan penulisan biografi, kedua-duanya memiliki konsep dan prinsip yang hampir sama, cuma berbeza dari sudut teknik dan jurus pandangan penulisnya. Sebuah lagi penulisan pecahan daripada autobiografi ialah memoir.

Biografi adalah karya yang mencitrakan sejarah hidup atau kisah kehidupan seseorang yang ditulis oleh orang lain. Pencitraannya biasanya bermula dengan masa kelahirannya, sehinggalah saat-saat mutakhirnya.

Segala peristiwa, sumbangan, keistimewaan, jasa dan budinya dibuktikan dengan dokumen, catatan, surat menyurat dan semua dokumentasi yang menjadi bahan serta rujukan, supaya apa yang dihasilkan adalah benar. Bagaimana pun unsur perasaan dan pemikiran, boleh diturut-sertakan sebagai bunga-bungaannya.

Berbeza dengan autobiografi, pencitraan adalah tentang kehidupan individu yang ditulis oleh pengarangnya sendiri. Dapatlah dirumuskan, terdapat perbezaan antara keduanya, biografi ialah riwayat atau kisah hidup seseorang yang ditulis oleh orang lain, manakala autobiografi ditulis oleh diri sendiri.

Ciri penting dalam penulisan biografi, autobiografi dan memoir ialah menggunakan maklumat yang benar, first hand, wajib disokong oleh pelbagai dokumen untuk membenarkannya, serta ia relevan dengan khalayaknya. Tokohnya manusia pujaan dan idola sezaman.

Penulisannya juga tidak boleh ditokok tambah dengan elemen rekaan. Penulis hendaklah benar-benar mengenal pasti dan memberi tujahan kepada peranan tokoh, yang paling penting ialah sumbangan yang signifikan kepada bangsa dan negara. Di samping itu, peristiwa dan pengalaman tokoh ialah yang luar biasa, malah bernilai sejarah.

Penceritaan Dengan itu jelas bahawa sumber biografi adalah berdasarkan penceritaan individu kepada penulisnya dengan dibuktikan oleh fakta, peristiwa dan sejarah kehidupan. Segala macam dokumen seperti surat-menyurat, catatan, diari dan sebagainya diguna pakai.

Justeru biografi menceritakan tentang manusia pilihan, tokoh-tokoh terbilang dan pernah menempa sejarah, dia ingin berkongsi maklumat dan pengalaman bersama-sama dengan khalayak.

Kehidupannya yang memiliki hikmat, motivasi dan teladan baik, yang dapat membangunkan sesuatu di jiwa masyarakat. Kehidupan manusia luar biasa, lazimnya menjadi kebanggaan dan inspirasi.

Autobiografi juga bermuara daripada pengalaman, sama ada yang menggembirakan atau yang mendukacitakan. Semuanya hasil daripada perjalanan kehidupan senang atau sukar yang sulit dan yang gelap kepada yang bercahaya dan penuh bahagia.

Namun, autobiografi lazimnya jejak kepada peristiwa yang positif. Manusia lebih suka berkongsi pengalaman atas sesuatu yang menggembirakan, supaya ia menjadi ibrah kepada orang lain.

Memoir pula penulisannya digantungkan kepada sesebuah ingatan terhadap aspek kehidupan istimewa, aneh dan mengajaibkan. Pencerita bukan sahaja merasa terpanggil untuk mencitrakannya, sebaliknya untuk kenang-kenangan pada dirinya sendiri. Sebuah rakaman peribadi, di samping ingin menyuguhkan sesuatu yang bermanfaat kepada khalayaknya.

Sastera perjalanan ialah naratif pengembaraan daripada pengalaman pengarang yang pergi ke sesebuah tempat, menemui suasana dan budaya yang belum disaksikannya. Karya kreatif yang dihasilkan itu menunjukkan adanya perpindahan tempat, dengan mencitrakannya berdasarkan pemikiran dan idealisme pengarang.

Karya perjalanan itu bergantung kepada penceritaan peribadi (self-telling), juga bersifat self-fashioning orang pertama, indikator terhadap naratif peribadi, individualistik, hasil pergerakan dan pertemuan ruang berbeza antara tempat-tempat kunjungannya.

Pengarang mendapat sumber inspirasi asli dan autentik dengan terikat kepada suara pesonanya yang kadang-kadang bersifat objektif dan subjektif. Reaksi dan respons terhadap penemuan baharu itu juga akan memberi impak kepada kesan yang impresif dan juga ilusi pengarang.

Dalam perjalanan manusia biasanya mendapat anjakan. Pancainderanya tajam. Merenung dengan pengamatan. Melakukan coretan dan catatan. Mengumpul pengalaman eksotik. Berkenalan dengan manusia baharu dan masuk dalam sosial, budaya, sejarah dan psikologinya.

Sejarah kehidupan Semuanya berbeza dari segi fizikal dan metafzikalnya. Kebaharuan itulah yang mendorongnya, meneliti dan menguasai bagi mengenal manusia yang beraneka dan menembusi konsep abstrak bangsa itu.

Perjalanan bagaikan sebuah lambang kebebasan untuk memasuki gerbang kegembiraan bagi mengubat kesukaran dalam kehidupan. Tradisi perjalanan itu memberi imbak besar dalam pembangunan sastera.

Pengarang sebagai pencipta, mengolah pengalaman perjalanan yang kompleks itu, dengan jamahan inderawiah peribadinya ke dalam suatu penciptaan yang kadang-kadang konkrit dan realistik; tetapi ada masanya abstrak dan samar-samar. Pewujudan teks kreatif itu muncul sebagai simbol, tanda, penanda, langka, taksa, lugas, siklus, dan pelbagai wajah lainnya untuk berangkat ke jalan raya khalayak.

Kita menemui beberapa buah karya autobiografi dalam sastera Melayu. Antaranya Menjejaki Puisi karya Zurinah Hassan (2015), Jejak Seni karya Johan Jaaffar (1917), Cerita Saya karya Anwar Ridhwan (2018) dan Sebuah Hikayat Diri tulisan Muhammad Haji Salleh (2021). Membacanya kita akan dapat mengikuti sejarah kehidupan para penulisnya.

Antara karya sastera perjalanan ialah Sebuah Perjalanan karya Abdullah Husain (1984), Detik-Detik Diri di Daerah Daif (1995) dan Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi karya Shahnon Ahmad (2009), Muhammad Haji Salleh dengan Aksara Usia (2002) dan Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair (2019).

Sastera antarabangsa terutama di barat begitu ramai pengarang berkarya dengan sastera autobiografi dan sastera perjalanan yang menjadi katalis kepada kelahiran teori sastera. Teori sastera autobiografi ditabalkan pada tahun 1995, dan teori sastera perjalanan diisytiharkan pada tahun 1997. Tujuannya untuk mengkritik dan menganalisis karya-karya tersebut secara lebih bersistematis, fungsional dan pragmatik kepada khalayaknya.

Teori sastera autobiografi dan sastera perjalanan termasuk dalam kategori teori sastera pascamoden. Kedua-dua buah teori tersebut telah hadir dalam sastera Melayu. Dengan penguasaannya akan membantu para penulis tempatan bagaimana untuk menghasilkan karya autobiografi dan teks perjalanan.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca