SEANDAINYA logik bisnes sajian diguna pakai apabila harga bahan mentah yang diperlukan untuk menyediakan pelbagai hidangan meningkat, seperti yang berlaku sekarang, maka harga produk makanan siap ditawarkan kepada pelanggan turut akan dinaikkan.
Dalam kalangan para peniaga makanan, terutama berstatus kayangan yang menawarkan produk premium memang ada berbuat demikian. Ini kerana pelanggan mereka lazimnya golongan berwang. Mereka tidak berkira sangat dengan peningkatan harga. Keanjalan harga tidak menjadi isu di sini.
Asalkan makanan atau minuman ditawarkan memenuhi cita rasa mereka, dari segi kualiti, tekak dan poket, pelanggan mengekalkan tabiat pembelian, bukan sekali malah berulang kali. Sebab itu restoran dan pelbagai kafe berjenama senantiasa penuh sesak dengan pelanggan.
Ada sanggup berbaris panjang untuk tempoh agak lama semata-mata mahu menikmati makanan kegemaran masing-masing. Kocek mereka seolah-olah tidak pernah kempis untuk melayan selera/nafsu makan mereka. Jika tiada tunai, mereka membayarnya dengan kad debit atau kredit. Hutang dulu, bayar kemudian sudah menjadi amalan mereka.
Tetapi bagi peniaga makanan bukan berstatus kayangan, jalan cerita yang dilalui apabila harga bahan mentah meningkat tentulah tidak sama. Oleh kerana pelanggan mereka terdiri daripada kalangan tidak begitu berkemampuan, mereka berhati-hati untuk menaikkan harga produk makanan siap yang ditawarkan.
Misalnya di sebuah kedai makan yang kerap saya kunjungi di Sri Hartamas, pemiliknya mengadu harga sekampit beras dibeli dulunya berharga RM30 kini RM40 sekampit. Harga ayam, telur, gula,rempah ratus yang lain juga meningkat, tetapi taukenya masih mengekalkan harga sama.
Bagi beliau, biarlah margin keuntungan kurang sedikit, asalkan pelanggannya tidak lari. Selagi boleh bertahan, beliau akan bertahan dan kekal dalam bisnes makanan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.
Hal ini pula berbeza dengan sebuah restoran kari kepala ikan asam pedas yang saya kunjungi apabila ada kesempatan selepas solat Jumaat di Surau Mutiara Damansara. Pemiliknya memberitahu secara purata harga bahan-bahan mentah dalam tempoh 10 bulan pemerintahan kerajaan Malaysia Madani berkuasa sejak November 2022 lalu meningkat 20 hingga 30 peratus.
Harga beras import yang dibeli meningkat RM9 sekampit. Dulu harganya RM32 sekarang RM41. Harga gula pasir premium pula naik kepada RM4.50 sekilo. Beliau cuba mencari gula paket bersubsidi, tetapi gagal.
Justeru dalam keadaan itu beliau tiada pilihan, kecuali menaikkan harga nasi sebanyak 50 sen sepinggan, manakala harga pelbagai sajian yang ditawarkan pula dinaikkan pada tahap minimum dan mungkin tidak disedari para pelanggannya.
Menurut beliau: "Alhamdulillah, para pelanggan saya memahami tindakan peniaga makanan yang dihimpit kenaikan harga barang-barang semacam tidak berupaya dikawal oleh kerajaan sekarang. Setakat ini restoran ini masih dikunjungi macam hari ini. Menu istimewa kami, nasi daun pisang buatan kita orang Melayu pada hujung minggu kekal menjadi tarikan.”
Tetapi nasib seorang wanita yang menjadi peniaga makanan yang beroperasi dari rumah setelah tidak lagi bekerja agak malang. Kerana kesukaran mendapatkan beras putih tempatan, dia menghentikan perniagaan nasi lemaknya kerana sekiranya beras import digunakan, harga yang dijual melebihi RM3 sebungkus.
Pengalamannya menunjukkan pelanggannya yang terdiri daripada kakitangan kerajaan tidak akan membeli sebungkus nasi lemak sekiranya dijual pada harga melebihi RM3. Lalu dia hanya memfokuskan kepada perniagaan menjual bergedel serta beberapa produk makanan lain seperti lempeng dan minuman untuk dijual adiknya yang bekerja di sebuah agensi kerajaan. Itupun hari jualannya ditentukan pada hari-hari tertentu secara giliran dengan persetujuan kakitangan lain yang juga ingin menjual produk makanan masing-masing.
Buat waktu ini perniagaan kecil-kecilan wanita itu dan ramai peniaga lain yang sewaktu dengannya dapat bertahan sekalipun ada antara mereka berada pada tahap nazak menunggu mati.
Tetapi tidak mustahil sekiranya harga barang-barang asas untuk menjalankan perniagaan terus mencanak dan kerajaan berpeluk tubuh, mereka akan gulung tikar suatu hari nanti.
*Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual.
Klik di sini untuk terus membaca