BERDEPAN tekanan kerja yang tinggi merupakan fitrah profesion yang perlu ditanggung oleh doktor dan jururawat. Namun, itu tidak pernah melunturkan semangat warga perubatan untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada pesakit.
Bagi Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang baharu, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, soal kesejahteraan doktor-doktor di perkhidmatan awam dan swasta menjadi keutamaan beliau.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, MUKHRIZ MAT HUSIN bersama Dr Azizan dalam mengupas isu penting melibatkan institusi kesihatan termasuk masa depan sektor perubatan, isu lantikan kontrak, kelesuan kerja serta nisbah antara doktor dan pesakit dalam negara selain penjagaan kesihatan rakyat Malaysia yang dikatakan masih lagi berada pada tahap yang kurang memuaskan.
SINAR AHAD: Apakah perkara atau isu yang menjadi fokus utama Dr selaku presiden MMA?
DR AZIZAN: Saya lebih mengambil berat tentang soal kesejahteraan doktor-doktor di perkhidmatan awam dan swasta. Jadi kalau ada isu-isu ini saya akan cuba selesaikan. Seperti yang kita tahu dalam sektor perkhidmatan awam, antara isu sekarang adalah doktor kontrak yang membimbangkan banyak pihak.
Pertama, kita tidak tahu berapa lama tempoh perkhidmatan sebab ia adalah lantikan kontrak. Keadaan itu asyik berubah. Sekarang ini kerajaan telah maklumkan seramai 12,800 doktor kontrak akan diserap dalam tempoh tiga tahun tetapi kita mesti ingat juga bahawa setiap tahun tiga hingga empat ribu doktor baharu pula akan keluar berkhidmat.
Dalam lantikan kontrak ini, motivasi mereka jadi rendah sebab mereka tidak nampak masa depan atau perjalanan kerjaya mereka. Bagi doktor swasta pula, melibatkan isu caj jadual perkhidmatan.
Mereka bukan boleh sembarangan letak caj pesakit, ia dikawal oleh Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. Namun, akta yang kerajaan terapkan adalah pada tahun 2006.
Kadar yang doktor klinik swasta boleh caj pesakit adalah pada RM10 hingga RM35. Cuba bayangkan dari tahun 2006 sehingga sekarang tidak ada perubahan lagi. Inflasi setiap tahun, harga barang naik dan doktor juga perlu bayar sewa klinik serta gaji staf.
Pada Disember 2019, Menteri Kesihatan pada masa itu memaklumkan bahawa kerajaan deregulate (nyah kawal selia) caj jadual perkhidmatan. Maksudnya doktor bebas letakkan harga berpatutan untuk perkhidmatan mereka. Tetapi, perkara itu belum sempat dibawa ke Parlimen memandangkan berlaku pertukaran kerajaan. Jadi kita masih lagi berpandukan kepada akta tahun 2006. Itu antara isu yang kita bawa.
SINAR HARIAN: Mengenai masa depan sektor perubatan di negara ini dalam tempoh 15 tahun akan datang, apa perubahan besar yang boleh berlaku?
DR AZIZAN: Perkara pertama saya fikir adalah Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini. Itu adalah dokumen mengenai hala tuju sistem kesihatan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang.
Ia menggariskan cabaran utama yang dihadapi oleh sistem kesihatan serta mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian bagi memastikan sistem kesihatan yang berkualiti, mampan dan berdaya tahan.
Selain itu, apa yang saya tengok adalah dari segi pendigitalan. Apa yang akan membantu dalam kualiti penjagaan pesakit adalah bila kita ada rekod perubatan elektronik. Katakan kalau pesakit pergi dari pusat kesihatan ke satu pusat kesihatan yang lain, contohnya Hospital Ipoh, Perak kemudian pergi ke Hospital Kota Bahru, Kelantan, informasi mereka tetap ada.
Dengan adanya data-data ini, penjagaan pesakit akan lebih baik dan teratur. Macam di hospital swasta, semua sudah menggunakan rekod elektronik, jadi mungkin satu hari nanti, rekod hospital swasta dan kerajaan dapat digabungkan.
Perkembangan teknologi pula seperti sistem kecerdasan buatan (AI) dan pembedahan robotik, yang mana sekarang pun sudah berlaku. Itu antara yang saya boleh tengok dalam 15 tahun akan datang.
SINAR HARIAN: Pada pandangan Dr, bagaimana dengan tahap penjagaan kesihatan diri rakyat Malaysia ketika ini?
DR AZIZAN: Pada saya, tahap penjagaan kesihatan rakyat Malaysia kurang memuaskan. Melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, kita dah jadi jaguh dalam pelbagai arena.
Diabetes satu dalam lima orang dewasa yang melebihi 18 tahun sudah mencecah 3.9 juta orang yang menghidapnya.
Hipertensi, tiga dalam 10 orang dewasa maksudnya 6.4 juta yang menghidap hipertensi. Kalau ada kolesterol tinggi, hipertensi dan tambah lagi diabetes, ini meningkatkan lagi risiko untuk mendapatkan sakit jantung.
Tabiat makan di luar juga mendorong kepada tahap kesihatan masyarakat. Bila kita makan di luar, kita tidak boleh kawal minyak, gula, garam dalam makanan. Selain itu, gaya hidup kurang sihat pun boleh mendorong kepada faktor kesihatan kita juga.
SINAR HARIAN: Doktor dan jururawat menjadi antara profesion yang berdepan tekanan kerja tinggi. Apa pandangan Dr?
DR AZIZAN: Doktor dan jururawat memang mengalami tekanan kerja yang tinggi sebab fitrah profesion itu yang perlu berdepan dengan pesakit terutamanya yang menhidap penyakit serius dan mempunyai pelbagai komplikasi.
Maknanya kita perlu jaga, beri rawatan dan perhatian sebab penyakit ini kita susah nak jangka kerana ia berbeza dan bergantung pada badan pesakit.
Selalu kita tengok doktor dan jururawat di hospital atau klinik-klinik mempunyai ramai pesakit, masa menunggu pun lama. Kadangkala orang tak faham, mereka merungut dan hentam di media sosial menyatakan ketidakpuasan hati kerana terpaksa menunggu lama dan sebagainya.
Doktor nak buat macam mana kalau terlampau ramai pesakit. Tambah pula hospital kerajaan tidak boleh tolak pesakit-pesakit yang datang.
SINAR HARIAN: Adakah nisbah doktor kepada pesakit di negara ini masih rendah? Kenapa dan apa syor daripada MMA?
DR AZIZAN: Sekarang ini dikatakan nisbah doktor kepada pesakit adalah 1: 420. Tetapi angka itu untuk nisbah satu negara keseluruhan. Katakan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur yang mana jumlah orang yang tinggal di sana ramai, jumlah nisbah itu akan menjadi lebih kecil.
Contohnya, satu tempat itu ada 1,000 penduduk dan ada satu doktor. Lagi satu tempat, ada 400 penduduk, doktor pun ada satu. Jadi ia berlaku ketidakseimbangan nisbah. Sebab boleh jadi sesetengah kawasan itu ada jumlah pesakit yang ramai, tetapi bilangan doktor tetap sama.
Sebab itu kita cadangkan supaya ada data untuk setiap fasiliti kesihatan. Mungkin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada data tersebut, tetapi kita sebagai orang awam, kita tidak tahu perkara itu.
Jadi, ia mesti ada rekod seperti berapa hospital ada di negara ini, berapa jumlah pesakit yang pergi ke setiap hospital dan berapa jumlah doktor yang patut dihantar.
Oleh itu, perlu ada komunikasi. Misalnya, pihak hospital boleh maklumkan kepada KKM bahawa mereka mempunyai ramai pesakit dan memerlukan lebih ramai doktor di situ.
SINAR HARIAN: Doktor dan jururawat terpaksa kerja lebih masa dan sukar pulang pada waktu tepat menyebabkan timbul isu kelesuan kerja. Bagaimana cara untuk atasi masalah ini tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan?
DR ZIZAN: Sebab itu kita perlukan data. Jadi kita boleh tahu berapa ramai doktor dan jururawat di dalam setiap jabatan yang diperlukan. Berapa berat beban kerja dan berapa ramai yang sepatutnya ada di sana.
Mereka perlu ikut satu waktu kerja yang tetap jika tidak ada kecemasan. Maksudnya mereka ada shif tertentu. Yang jadi masalahnya apabila mereka tidak cukup staf, jadi kesudahannya yang kerja pada ketika itu perlu sambung shif seterusnya.
Itu yang menyebabkan kelesuan kerja sebab mereka tidak ada keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Itu juga akan menganggu tahap prestasi mereka. Kadangkala apabila terlalu letih, ia boleh mempengaruhi keputusan kita terhadap pesakit dan akhirnya membuat kesilapan.
Fokus kita adalah memastikan pesakit mendapatkan rawatan yang sebaiknya dan selamat.
SINAR HARIAN: Boleh Dr ulas lanjut isu doktor kontrak yang sebelum ini mencetuskan kegusaran ramai?
DR ZIZAN: Apa yang menyebabkan ramai tidak puas hati adalah disebabkan lantikan kontrak. Seperti yang saya beritahu, banyak manfaat yang diterima oleh mereka yang mendapat lantikan tetap. Begitu juga dengan tahap kenaikan gaji.
Tetapi kita berterima kasih kepada kerajaan kerana seperti yang dimaklumkan seramai 12,800 doktor kontrak akan diserap dalam tempoh tiga tahun. Kita harap kerajaan dengan lebih sumber kewangan daripada Kementerian Kewangan (MOF), kita dapat lebih bajet untuk tingkatkan lagi penetapan tetap.
Sekarang ini pun kerajaan telah beri kelebihan kepada doktor kontrak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Biasanya doktor yang mendapat lantikan tetap sahaja yang boleh memohon, tetapi sekarang lantikan kontrak pun dibenarkan.
SINAR HARIAN: Masih terdapat segelintir masyarakat yang takut dengan istilah pesakit ditidurkan sehingga ada waris enggan membenarkan hospital berbuat demikian. Apa pandangan Dr?
DR AZIZAN: Pesakit ditidurkan ini biasanya dalam dua keadaan. Pertama, pesakit ditidurkan selalunya apabila mereka perlu membuat pembedahan. Mereka perlu ditidurkan sebab doktor hendak meletakkan alat bantuan pernafasan ke dalam tekak.
Kalau tidak ditidurkan, macam mana doktor nak masukkan peralatan pernafasan. Saya rasa semua orang faham mengenai keadaan itu.
Mereka kurang faham kenapa saudara atau ahli keluarga mereka ditidurkan. Mungkin antara sebabnya pesakit menghidap penyakit serius seperti jangkitan paru-paru yang mana mempengaruhi pernafasan mereka.
Jika pernafasan udara melalui paru-paru pesakit itu tidak bagus, ia menyebabkan oksigen dalam darah turun. Bila dalam keadaan itu, doktor perlu tidurkan pesakit dahulu sebelum meletakkan peralatan pernafasan dalam tubuh mereka. Itu dapat membantu pernafasan pesakit.
Ada banyak faktor yang menyebabkan kematian, bukan sekadar ditidurkan. Kadangkala walaupun kita letakkan alat pernafasan, pesakit tersebut meninggal juga sebab penyakit sudah terlalu serius.
Katakanlah kita telah terangkan kepada ahli keluarga pesakit, tetapi mereka tidak mahu pesakit ditidurkan, kita boleh buat begitu tetapi ia berbahaya kepada pesakit sebab paru-paru mereka sukar mendapat oksigen.
SINAR HARIAN: Mengenai caj perkhidmatan di klinik dan hospital swasta, berapa peratus purata kenaikan berbanding lima tahun lepas dan bagaimana pula dalam lima tahun akan datang?
DR AZIZAN: Isu utama dalam sektor kesihatan swasta yang saya akan cuba selesaikan ialah jadual bayaran pengamal perubatan swasta dan isu-isu berkaitan dengan third party administrators (TPA).
Had bayaran perundingan yang kini diguna pakai oleh pengamal perubatan swasta berdasarkan Jadual 7 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, perlu penyahkawalseliaan dengan segera.
Pada masa ini, pengamal perubatan swasta hanya boleh mengenakan bayaran perundingan di antara RM10 hingga RM35, manakala pegawai perubatan (yang mempunyai kelayakan yang sama dengan pengamal perubatan am swasta) di hospital swasta boleh mengenakan bayaran antara RM30 hingga RM125 di bawah Jadual 13.
MMA menetapkan kadar-kadar ini sebagai panduan pada tahun 1992, namun pihak KKM telah menerima pakai dan menguatkuasakannya pada tahun 2006.
Mengikut undang-undang, kadar-kadar ini sepatutnya dikemas kini dari masa ke masa, tetapi malangnya tiada pengemaskinian dilaksanakan dengan alasan yang hanya diketahui oleh pihak KKM.
SINAR HARIAN: Hospital swasta kini dibenarkan mengambil khidmat jururawat asing. Apa faktor yang menyebabkan hospital swasta kekurangan jururawat tempatan?
DR AZIZAN: Isu jururawat tempatan ini seingat saya memang tidak mencukupi. Permintaan jururawat pun sebenarnya tinggi. Terdapat segelintir jururawat yang bekerja di luar negara disebabkan gaji yang tinggi serta tawaran insentif lebih baik.
Hospital swasta di negara ini pun sudah mula berkembang pesat dan mereka memerlukan jururawat. Di mana mereka nak dapatkan? Sudah tentu kita berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pengambilan jururawat dari luar negara tetapi kita perlu ikhtiar macam mana nak ramaikan jururawat tempatan.
Kita perlukan data dalam hal ini. Berbalik kepada data, kita dapat ikhtiar bagaimana hendak mendapatkan jururawat tempatan mencukupi. Kalau kita boleh tawarkan kenaikan gaji atau insentif yang lebih, mungkin mereka tidak perlu pergi ke luar negara.
SINAR HARIAN: Houseman sering didakwa menjadi mangsa buli. Adakah benar?
DR AZIZAN: Sebenarnya kita perlu tahu dahulu definisi buli itu. Pada saya tidak buli, tetapi bagi orang lain mungkin buli. Jadi buli definisinya adalah tindakan dengan niat untuk menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada seseorang.
Houseman ini adalah doktor siswazah, dalam erti kata lain mereka masih belajar, perlu banyak latihan dan banyak prosedur untuk menjadi mahir. Katakanlah mereka perlu buat 10 prosedur yang sama, tetapi oleh sebab belum mahir lagi, mereka ambil masa yang lama.
Kemahiran itu perlu ada sebelum mahu menjadi pegawai perubatan. Saya rasa tidak ada yang sengaja buli, tiada faedah yang pembuli itu dapat jika berbuat demikian, sebab fokus adalah untuk memberi perkhidmatan dan layanan kepada pesakit.
Walaupun begitu, MMA mempunyai talian aduan iaitu HelpDoc. Talian itu telah dilancarkan pada tahun 2017. Katakan ada pengamal perubatan yang mempunyai masalah di tempat kerja, mereka boleh menghubungi talian itu.
Dari tahun 2017 sehingga kini, kita menerima sebanyak 36 kes buli. Untuk angka kes yang terbaharu ini, saya belum pasti lagi. Setakat tahun 2022, kita dimaklumkan 36 kes buli diterima melalui talian HelpDoc.
SINAR HARIAN: Bercakap mengenai gaya hidup, apa aktiviti Dr pada waktu lapang?
DR AZIZAN: Saya suka membaca. Biasanya saya membaca majalah-majalah berkaitan wanita, kesihatan atau yang lebih santai. Buku-buku seperti itu membolehkan saya tahu hal-hal semasa atau masakan apa yang orang sekarang suka.
Saya juga suka menonton program televisyen seperti dokumentari, komedi dan misteri untuk rehatkan minda dan diri.
Siapa individu yang Dr kagumi atau menjadi sumber inspirasi?Idola saya adalah suami saya. Sebab dia adalah seseorang yang berbudi bahasa, lemah-lembut dan suka menolong semua orang.
Suami saya adalah pakar bedah kanak-kanak, jadi dia memang suka budak-budak. Sikap dia yang suka bantu semua orang menjadi contoh teladan buat saya.
Klik di sini untuk terus membaca