SHAH ALAM - Stres dan depresi adalah pembunuh senyap kerana individu akan mengalami gangguan ingatan hingga boleh mengancam keselamatan diri dan nyawa.
Ketua Program Bimbingan dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Sa'ad berkata, golongan yang menghidap masalah itu kebiasaannya cenderung mengalami masalah ingatan hingga tidak mampu menguruskan diri.
Katanya, perkara itu boleh berlaku berdasarkan beberapa faktor iaitu persekitaran individu tersebut seperti tiada sokongan atau tempat untuk meluahkan perasaan, masalah keluarga dan tempat kerja serta pengurusan rumah tangga.
"Ia juga bergantung kepada tahap daya tahan individu, sekiranya tinggi mereka mungkin mampu mengawal tekanan dan masalah dalam kehidupan harian,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan lebih 10 jam di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kenderaan di sebuah hospital di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa berumur lingkungan 30-an itu bertugas sebagai doktor di hospital tersebut.
Sementara itu, Fauziah menjelaskan, kejadian menyayat hati itu perlu dilihat dari pelbagai aspek kerana tiada ibu yang mahu membunuh anaknya sendiri dengan melakukan perkara di luar jangkaan.
Ujarnya, ada pelbagai faktor daripada sudut psikologi hingga perkara itu terjadi, maka tindakan perlu diambil untuk mengenalpasti masalah sebenar dengan melakukan saringan untuk mengetahui tahap kesihatan mental wanita terbabit.
"Dalam situasi ini, kita tak boleh salahkan dia sebab kita tak tahu tahap kesihatan mentalnya kerana kebiasaan orang yang ada depresi akan jadi pelupa dan tidak mampu menguruskan diri dengan baik.
"Keluarga dan orang sekeliling perlu memberi sokongan dan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi mangsa, sikap toleransi antara suami isteri juga penting terutamanya dalam pengurusan rumah tangga,” ujarnya.
Tambah beliau, depresi mempunyai beberapa peringkat dan boleh dirawat sekiranya dikenal pasti serta mendapat rawatan awal tetapi jika dibiarkan ia akan menjadi semakin parah hingga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
Klik di sini untuk terus membaca