SAYA menyambung dan mengemas kini tulisan saya dalam kolum ini mengenai cadangan penjualan saham syarikat perladangan, Boustead Plantations Berhad. Penjual adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat pegangannya, Boustead... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA menyambung dan mengemas kini tulisan saya dalam kolum ini mengenai cadangan penjualan saham syarikat perladangan, Boustead Plantations Berhad.

Penjual adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat pegangannya, Boustead Holdings Berhad. Pembeli adalah syarikat perladangan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

Apabila cadangan penjualan itu dilaporkan media massa pada Ogos lalu, ia mendapat tentangan banyak pihak dalam masyarakat Melayu tetapi disokong oleh pendokong pasaran bebas.

Akhirnya, beberapa hari lalu cadangan itu dibatalkan dengan meninggalkan kesan yang negatif kepada KLK dan Boustead Plantations. Harga saham mereka di Bursa Malaysia sama mendatar atau jatuh dan keyakinan pelabur kepada mereka terjejas.

Memandangkan kesungguhan LTAT dan Boustead Holdings hendak menjual 33 peratus saham dalam Boustead Plantations kepada KLK, pembatalan cadangan itu mungkin ada kaitan dengan campur tangan rasmi.

Pihak yang menentang tidak mahu melihat saham yang mereka takrifkan sebagai milik bumiputera jatuh ke tangan syarikat bukan bumiputera.

KLK adalah syarikat tua yang dikuasai pelabur Cina tempatan. Pelabur kedua terbesarnya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penyokong pasaran bebas bersetuju dengan cadangan itu kerana harga tawaran oleh KLK adalah berpatutan dan ia mempunyai rekod menguruskan ladang yang lebih baik berbanding Boustead Holdings. KLK adalah antara syarikat perladangan paling untung di Malaysia.

KLK menawarkan RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham untuk membeli 33 peratus saham Boustead Plantations itu. Menurut laporan media massa, selepas penjualan itu pun, LTAT dan Boustead Holdings masih memiliki 35 peratus saham Boustead Plantations.

Malangnya, oleh kerana orang Melayu amat sedikit yang faham ekonomi dan media massa bahasa Melayu pula tidak banyak menyiarkan maklumat ekonomi dan perniagaan, maka hal-hal yang positif mengenai cadangan tersebut tidak diketahui.

Akibat pembatalan urus niaga itu, harga saham Boustead Plantations jatuh kepada RM1.39 pada Jumaat lepas, manakala saham KLK jatuh sedikit kepada RM21.40.

Bagi mengatasi kegagalan tawaran kepada KLK itu, LTAT dan Boustead Holdings kini bercadang membeli balik semua saham Boustead Plantations di pasaran melalui tawaran am wajib (MGO) dan membatalkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia.

Ini akan menelan belanja yang besar dalam keadaan di mana kewangan LTAT dan Boustead Holdings tidak kukuh sehingga memerlukan bantuan kerajaan.

Misalnya Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau baru saja meluluskan bantuan kewangan RM300 juta kepada Boustead Holdings dan sedang menimbangkan RM2 bilion lagi bagi menyokong LTAT daripada terus membuat kerugian.

Apabila Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan pada tahun 2018, ia mendedahkan banyak penyelewengan dan kegagalan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi banyak orang, khususnya bumiputera, tidak percaya.

Inilah akibatnya apabila pengurusan bumiputera tidak cekap atau tidak amanah menjalankan tanggungjawabnya walaupun diberikan upah serta modal yang lumayan.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ahli politik dan pihak-pihak yang tidak berkenaan masuk campur secara rasuah dalam projek-projek awam.

Melayu macam inilah yang menghampakan dasar dan rancangan kerajaan membangunkan orang Melayu dan bumiputera.

Amalan rasuah, pecah amanah dan ketidakcekapan mereka telah menyebabkan semakin banyak bumiputera menjadi miskin, manakala jurang ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera semakin luas.

Khusus berkenaan LTAT, ahli lembaga pengarah dan pengurusnya bukan calang-calang orang. Mereka adalah eksekutif korporat terkenal dan bekas-bekas pemerintah tentera yang disanjung.

Dari awal ditubuhkan sampai sekarang, itulah barisan kepemimpinannya.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca