SHAH ALAM - Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) menyokong cadangan supaya kumpulan atau kartel yang mengkhianati subsidi diberikan kepada rakyat dengan memanipulasi bekalan beras dalam negara dikenakan hukuman lebih berat seperti penjara wajib dan sebat.
Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, hukuman lebih keras itu penting bagi memberi pengajaran kepada pihak lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.
Menurutnya, kewujudan pelbagai kartel sebelum ini dan terbaru melibatkan beras jelas menunjukkan jenayah itu pelu segera diselesaikan.
"Kompaun atau denda yang dikenakan terhadap kartel ketika ini masih belum mencukupi untuk memberi pengajaran kepada mereka. Ditambah pula mereka mampu untuk membayar denda tersebut.
"Jadi, saya melihat penjara wajib menjadi kaedah terbaik untuk mengekang kewujudan kartel ini. Kita tidak boleh lagi melihat perkara ini isu biasa tetapi perlu ditangani segera.
"Saya juga ingin turut mencadangkan supaya kumpulan yang terlibat dengan kartel ini dikenakan hukuman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana apa yang dilakukan itu satu memberi kesan cukup besar kepada rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Ahad.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pada Selasa mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula hukuman lebih berat seperti penjara dan sebatan kepada pihak yang memanipulasi serta melakukan penyelewengan terhadap subsidi kerajaan.
Exco Melaka itu berkata, hukuman tersebut bagi memberi pengajaran terutama kartel agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi rakyat sedang tertekan dengan ketiadaan bekalan beras tempatan.
Menurut Muhammad Akmal, setakat ini hukuman yang dikenakan ke atas pesalah dan pelaku yang memanipulasi bekalan beras hanyalah berbentuk kompaun dan denda, yang mana mereka mampu untuk melunaskan bayaran tersebut meskipun mencecah RM100,000.
Sementara itu, mengulas mengenai hukuman sebat terhadap kartel, Wan Azliana berkata, beliau secara peribadi menyokong pelaksanaan tersebut, namun realitinya mungkin sukar untuk dicapai.
Katanya, ia memandangkan hukuman sebat lebih menjurus kepada jenayah berat seperti bunuh, samun dan rogol.
"Kalau inginkan pelaksanaan hukuman lebih berat kepada kartel ini disegerakan kita tumpukan kepada hukuman penjara wajib.
"Kita yakin dengan hukuman berat sebegini ia akan memberi pengajaran kepada pihak lain,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca