HAMPIR dua bulan negara kita diselubungi khabar angin rombakan kabinet yang belum mencecah usia setahun.
Gosip ini tidak dapat dielakkan berikutan terdapat kekosongan bagi portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Penjawatnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah kembali ke rahmatullah pada 23 Julai lalu.
Portfolio ini menjadi sangat penting apabila rakyat kini sedang berhadapan tekanan kenaikan harga dan masalah kekurangan stok makanan asas seperti beras, minyak masak dan telur.
Terbaharu, gula juga dikatakan mula mengorak langkah mengambil peranan dalam krisis ini. Semua ini menuntut tanggungjawab KPDN yang kini hanya diterajui pemangku daripada portfolio lain.
Sifir mudah politik semasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya tiada masalah melantik pengganti Salahuddin dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Parti tersebut hanya mempunyai lapan orang ahli Parlimen dan tiga senator yang boleh dipertimbangkan bagi jawatan terbabit. Dengan Mohamad Sabu telah menjadi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, hanya ada beberapa nama pemimpin kanan Amanah yang boleh dilantik sebagai menteri.
Antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Salahuddin ialah bekas Ketua Menteri Melaka dan sekarang Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; bekas Menteri Agama, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof; dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun, penggantian yang dianggap mudah itu tidak berlaku dengan segera. Terdapat beberapa kemungkinan mengapa pelantikan belum dibuat.
Kemungkinannya ialah parti Amanah gagal menamakan pengganti dan masih berlaku pergelutan kuasa dalaman bagi menentukan calon layak. Namun Amanah bukan parti siasah yang terlalu kompleks untuk mengambil masa terlalu lama.
Kemungkinan lebih rasional ialah kerana Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan prestasi kabinet sedia ada, dan sedang merancang untuk merombaknya.
Mungkin Perdana Menteri mahu menunggu selepas pembentangan Belanjawan 2024 pada jumaat ini sebelum melakukan rombakan kabinet.
Apabila negara dilanda masalah, rombakan kabinet selalu dicadangkan sebagai jalan alternatif. Seolah-olah dengan melakukan rombakan kabinet banyak masalah boleh selesai.
Tidak dinafikan mengadakan rombakan kabinet boleh memberi masa dan ruang kepada Perdana Menteri meredakan kritikan dan kesinisan rakyat buat sementara waktu.
Namun, ini hanya boleh berlaku sekiranya Perdana Menteri mempunyai keberanian menggugurkan pemimpin kanan parti politik yang gagal mempamerkan prestasi baik dan menjadi sasaran kritikan rakyat sejak sepuluh bulan ini; dan membawa masuk ‘pemain’ baharu lebih segar dan dipercayai rakyat.
Bagaimanapun, rombakan kabinet juga boleh menjerumuskan situasi pentadbiran yang lebih mundur jika ia sekadar acara menukar potfolio dan kerusi- cabinet merry-go-round.
Seorang menteri dan timbalan menteri yang dilantik akan mengambil masa berbulan-bulan untuk memahami selok belok pentadbiran kementerian, mengenali para pegawai di bawahnya, memahami fungsi setiap agensi dan syarikat berkaitan kerajaan terlibat.
Ini akan mengganggu kelicinan pentadbiran dan hanya akan mengulangi masalah-masalah sepanjang 10 bulan lalu apabila menteri tidak menguasai portfolio mereka, mengambil masa untuk melaksanakan polisi dan banyak lagi perubahan kosmetik terpaksa dibuat kerana memenuhi visi dan misi menteri baharu.
Kerajaan juga akan diejek sebagai kabinet kitar semula, kabinet dapur, kabinet musical chair dan sebagainya.
Anwar pasti berhadapan cabaran untuk memuaskan hawa nafsu kuasa para pemimpin politik dari parti-parti yang menyokong beliau. Sukar untuk beliau membuat perubahan drastik tanpa menjejaskan sokongan kepada kedudukan beliau.
Bagaimanapun, satu hal yang perlu diberi perhatian ialah tidak melakukan rombakan kabinet - setelah menangguhkan pelantikan menteri KPDN sekian lama - boleh memberi gambaran yang lebih negatif.
Perdana Menteri akan dilihat sebagai seorang pemimpin cemerkap dan tidak bertiwikrama dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.
Imej pentadbiran seperti ini bukan sahaja akan memalitkan imej negatif kerajaan di mata rakyat tetapi juga bakal menimbulkan syak wasangka dalam kalangan para pelabur mengenai hala tuju negara ini.
Saya fikir kemungkinan terakhir ini tidak benar sama sekali, dan berharap ia tidak berubah menjadi satu realiti.
*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca