SHAH ALAM - Konflik Israel-Palestin menjadi semakin tegang apabila tentera Israel membalas serangan mengejut Hamas dengan melancarkan serangan terhadap beberapa kawasan di bumi Gaza termasuk menyasarkan bangunan penempatan rakyat Palestin dan hospital.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, tindakan itu menyebabkan angka korban rakyat Palestin melonjak tinggi serta ribuan tercedera akibat serangan berkenaan.
"Sekarang ini adalah serangan balas daripada tentera rejim Zionis Israel yang penuh dengan kemarahan ke beberapa kawasan di bumi Gaza termasuk meranapkan bangunan-bangunan penempatan penduduk yang menyebabkan angka kematian tinggi dan ribuan cedera.
"Setakat yang kami dapat kemas kini, sehingga lewat semalam lebih 250 orang telah maut dan ribuan cedera,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam Hamas mengisytiharkan serangan balas terhadap pencerobohan rejim Israel di Palestin.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif berkata, Israel tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan, sehingga mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan membunuh ratusan warga Palestin.
Operasi tersebut akan menyasarkan lapangan terbang dan kubu tentera, dengan menggunakan lebih 5,000 peluru berpandu.
Perang berskala besar itu berlaku apabila pihak berkuasa Israel menutup lintasan sempadan Karem Abu Salemm (Kerem Shalom) yang menghubungkan wilayah Gaza selama dua minggu.
Sebagai respon terhadap hujan roket tersebut, tentera Israel juga bertindak melancarkan serangan udara ke atas beberapa kedudukan Hamas di Genting Gaza yang berada di bawah kepungan haram sejak 2007.
Ujar Muhammad Nadir, serangan mengejut Hamas itu jelas bagi mendapatkan tawanan-tawanan tentera yang boleh dijadikan sebagai negosiasi dengan pihak berkuasa Israel untuk melepaskan tahanan Palestin di penjaranya.
"Serangan mengejut itu berlaku atas beberapa faktor. Ia berlaku dalam keadaan luar biasa sebab serangan itu dalam bentuk menyerang, bukan pertahanan seperti sebelum ini.
"Selain itu, serangan tersebut dilakukan melalui jalan darat dan udara, bukan melalui terowong-terowong seperti mana yang dijangka oleh Israel,” ujarnya.
Tambahnya, serangan balas menerusi pengeboman dan serangan udara daripada tentera Israel dilihat masih lagi berterusan di bumi Gaza.
"Operasi yang dibuat untuk mendapatkan tahanan Palestin secara asasnya telah tamat, misi mereka telah selesai.
"Kebangkitan masih lagi berlaku di kawasan tebing barat dan juga kawasan Palestin dari tahun 1948. Serangan balas daripada zionis Israel sahaja yang masih berlaku sehingga kini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Nadir berkata, pihaknya turut membuka tabung kecemasan bagi memberi sokongan serta menyampaikan bantuan kepada warga Palestin yang terjejas susulan konflik Israel-Palestin.
Sumbangan boleh dimasukkan menerusi pautan https://emergency4gaza.com/kecemasan atau ke akaun Maybank CGM 564810507826 bagi rujukan kecemasan.
Rakyat Palestin di Malaysia bimbang, gagal hubungi keluarga
Sementara itu, rakyat Palestin yang kini berada di Malaysia bimbang dengan keselamatan keluarga dan kenalan yang berada di Gaza berikutan gagal menghubungi mereka ekoran konflik Israel-Palestin yang berlaku sejak Sabtu.
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Rayyan Abdallah, 32, berkata, sehingga kini, dia terputus hubungan dengan keluarganya ekoran tindakan kerajaan Israel yang memutuskan bekalan elektrik di Gaza selain internet.
"Beberapa kawan saya dan anak saudara mereka meninggal dunia semalam (Sabtu),” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Ujar Rayyan, sehingga kini, keluarganya masih menetap di kediaman mereka iaitu Deir al-Balah, bandar Palestin yang berada di tengah-tengah Semenanjung Gaza.
Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi keluarganya pada pagi Sabtu, mereka memberitahu bahawa kediaman sekitar Gaza dikejutkan dengan bunyi letupan daripada roket-roket yang dilancarkan ke kawasan berkenaan.
"Semua orang pada ketika itu agak terkejut dan panik dengan situasi tersebut. Kami pun tidak tahu apa yang jadi pada masa itu.
"Kami sebenarnya turut risau kerana ramai rakyat Palestin yang menjadi mangsa akibat serangan udara tentera Israel dan kita harap situasi tersebut dapat berakhir tidak lama lagi tanpa mengakibatkan lebih ramai lagi nyawa terkorban,” ulasnya.
Klik di sini untuk terus membaca