MUKTAMAR Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung pada bulan ini agak menarik selepas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan lima jawatan Top 5 tidak akan berlaku sebarang pertandingan sempena pemilihan parti itu... Klik di sini untuk terus membaca

MUKTAMAR Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung pada bulan ini agak menarik selepas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan lima jawatan Top 5 tidak akan berlaku sebarang pertandingan sempena pemilihan parti itu kelak.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, apabila tempoh pencalonan dibuka, tiada pemimpin Pas yang berminat untuk bertanding merebut lima jawatan utama parti itu bersempena Muktamar Pas.

Kecuali Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kemudiannya menarik balik pencalonan bagi merebut jawatan Naib Presiden parti manakala seorang lagi penyandang Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Abdullah mengakui sejumlah sejuta akar umbi Pas lebih berminat untuk mengekalkan status quo kepimpinan sedia ada.

Keputusan itu bagaimanapun mengundang kecaman hebat daripada pemerhati dan seteru politik mereka, terutama daripada UMNO.

Mereka menempelak Pas tidak mengamalkan demokratik berbanding UMNO, susulan kritikan parti itu sebelum ini terhadap keputusan perwakilan UMNO meluluskan usul tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dalam Perhimpunan Agung UMNO 2023.

Bahkan terdapat sebilangan pemimpin UMNO mempersoalkan kedudukan Abdul Hadi dianggap terlalu lama memegang jawatan utama parti sejak 21 tahun lalu dan seolah-olah mengambil kesempatan daripada pendekatan walak akar umbi Pas untuk terus kekal berkuasa.

Bagaimanapun, dakwaan itu ditepis Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki yang menegaskan akar umbi Pas tidak pernah taasub kepada pemimpin parti sehingga sanggup mengusulkan agar jawatan tertinggi Pas tidak perlu dipertandingkan sebagaimana UMNO.

"Kepimpinan sedia ada Pas terbukti membawa kejayaan kepada parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri di enam negeri, berbeza dengan UMNO yang masih mahu mengekalkan Presiden pada saat parti kalah teruk dalam PRU15.

"Jadi akar umbi parti mana sebenarnya lebih taasub kepada pemimpin? Dengan Pas buat pertama kali memiliki bilangan majoriti ahli Parlimen teramai di Dewan Rakyat pasca PRU15, sudah pasti ahli-ahli Pas mahu mengekalkan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan sedia ada,” jelasnya.

Individu paling layak

Menjelang Muktamar Pas, satu lagi topik yang menjadi perbualan hangat akar umbi Pas dan pemerhati politik tempatan adalah siapa sosok individu paling layak dalam kalangan kepimpinan parti itu untuk menjadi pengganti kepada Abdul Hadi kelak.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian mengunjurkan Ahli Parlimen Marang itu akan kekal menerajui Pas sehingga akhir hayatnya, tokoh akademik itu berpandangan Pas hakikatnya sudah perlu menyediakan pelan transisi peralihan kepimpinan parti bermula sekarang.

"Saya fikir antara faktor lain mengapa jawatan Top 5 Pas tiada pertandingan tahun ini kerana keputusan itu isyarat tidak langsung Abdul Hadi sudah merestui pelan transisi peralihan kepimpinan parti itu dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat sebagai calon pengganti terbaik,” katanya kepada Sinar Premium.

Foto Facebook Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Foto Facebook Dr Mohd Zuhdi Marsuki

Pandangan Sivamurugan selari dengan seorang lagi AJK Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang bersetuju dengan cadangan Tuan Ibrahim sebagai calon pengganti Abdul Hadi paling sesuai.

Jelas Mohd Zuhdi, beliau percaya bekas Menteri Air dan Sumber Asli itu mempunyai sifat ketenangan dan kepimpinan terbaik untuk menggalas jawatan penting itu, meskipun Tuan Ibrahim dianggap belum mencapai taraf ‘tokoh pemimpin spiritual’ sebagaimana dicapai Abdul Hadi dan bekas Mursyidul Am, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun, Mohd Zuhdi tidak menolak kemungkinan era pelantikan pemimpin utama Pas dalam kalangan tokoh pemimpin spiritual bakal berlalu dengan tidak mustahil seorang pemimpin profesional akan diangkat sebagai presiden parti itu kelak.

"Kalau rujuk Perlembagaan Pas, tiada satu garisan khusus mengelaskan sifat spesifik untuk seorang presiden parti wajib dilantik dalam kalangan tokoh ulama. Selagi mana pemimpin itu memenuhi sifat-sifat ditekankan Majlis Syura seperti tidak fasik dan tidak melakukan dosa besar, sesiapa sahaja daripada aliran agama atau profesional boleh dilantik.

"Namun secara konvensional, pemilihan Presiden Pas kebiasaannya datang dalam kalangan pemimpin yang ada asas aliran agama.

"Apa pun, sekiranya pada masa hadapan seorang pemimpin profesional dilantik sebagai Presiden, kepimpinan Pas berwajah baharu perlu melaksanakan keputusan secara kolektif dan melibatkan semua peringkat kepimpinan,” ujarnya.

Jawatan amanah, bukan habuan

Bagi Pengerusi Sidang Assabiqun Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula, pasca kepimpinan Abdul Hadi wajib menyaksikan Pas meneruskan dasar kepimpinan ulama yang menguasai siasah agama, politik, pentadbiran negara dan undang-undang.

Sambil mendoakan agar hayat Abdul Hadi, 75, kekal panjang, Mahfodz menggesa kepimpinan pelapis Pas mengambil kesempatan daripada bekas Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu untuk cepat belajar memahami agenda perjuangan dibawa beliau.

"Di sebalik tohmahan Tuan Guru Haji Hadi gila kuasa kerana terus kekal menjadi presiden parti, ramai tidak mengetahui dalam Pas, jawatan itu dianggap amanah dan bukan habuan.

"Hakikatnya sewaktu kerajaan Perikatan Nasional, saya difahamkan Tuan Guru menolak untuk menjadi menteri meskipun telah menerima tawaran daripada Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau juga tidak pernah bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri. Bagi Tuan Guru, Pas bukan mahu jawatan dalam kerajaan, tetapi tegas memastikan dasar perjuangan Pas dapat diimplementasi dalam kerajaan. Dalam bab ini, saya percaya Pas kena belajar daripada DAP yang berada dalam Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 dan Kerajaan Perpaduan hari ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, Misbahul Munir mendedahkan sejarah Pas membuktikan parti itu tidak bermasalah mencari calon pengganti Presiden dan Mursyidul Am yang berwibawa pasca Abdul Hadi, meskipun ramai mempersoalkan siapa calon sesuai yang mampu menyaingi ketokohan bekas Menteri Besar Terengganu itu.


Senarai Presiden Pas

1. Ahmad Fuad Hassan (1951 - 1953)

2. Dr Abbas Ilias (Pemangku) (1953 - 1956)

3. Dr Burhanuddin Mohd Noor (Al-Helmi) (1956 - 1969)

4. Tan Sri Mohd Asri Haji Muda (1969 - 1982)

5. Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (1982 - 1989)

6. Datuk Haji Fadzil Mohd Noor (1989 - 2002)

7. Tan Sri Abdul Hadi Awang (2002 - kini)

Senarai Mursyidul Am Pas

1. Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (1987 - 1994)

2. Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat (1994 - 2014)

3. Allahyarham Datuk Dr Haron Din (2015-2016)

4. Datuk Hashim Jasin (2016 - kini)

Klik di sini untuk terus membaca