SEINDAH dan sebiru apa pun Sungai Thames, London, ia masih tak selamat untuk mandi-manda di dalamnya. Sungai Thames masih teruk cemarnya.
Sungai itu pernah jadi mangsa revolusi industri suatu ketika dahulu – bukan setakat sumber bekalan air penduduk dan industri di London, malah turut bertindak sebagai ‘longkang besar’ membawa sisa buangan manusia dan kilang dari seluruh kota ke laut.
Bau busuk bukan sahaja datang daripada asap kilang dan enjin kenderaan tetapi juga dari Sungai Thames sendiri.
Kemuncaknya, The Great Stinks yang berlaku pada musim kemarau 1958 membuatkan ia menjadi kota terkaya, namun terbusuk di dunia.
Banyak episod wabak korela yang melanda dan mengorbankan lebih 30,000 nyawa penduduk London ketika itu juga dikatakan berpunca daripada airnya.
Setelah berbulan mencari punca dan jalan penyelesaian, akhirnya kerajaan bersetuju cadangan seorang jurutera awam, Joseph William Balzagette dan melabur wang begitu besar untuk membina jaringan paip kumbahan sepanjang 1,800 kilometer di London.
Sisa buangan dan air hujan dikumpulkan, dibawa melalui jaringan kumbahan itu keluar dari tengah London.
Ia menjadi titik tolak sistem pengurusan air sisa moden hari ini, bukan sahaja di London, malah kebanyakan negara lain juga.
Kini setelah perkhidmatan air dan kumbahan diswastakan mulai 1989, Thames Water menjadi syarikat air yang bertanggungjawab memastikan perkhidmatan bekalan air dan kumbahan terus dinikmati 15 juta penduduk London setiap hari.
Namun, penduduk London nampaknya masih tak berpuas hati. Dengan caj agak tinggi, gangguan bekalan masih sering berlaku. Hosepipe ban juga terus dilaksanakan terutama ketika musim panas.
Penduduk dilarang guna air paip di kawasan terbuka termasuk menyiram pokok di taman atau mencuci kenderaan persendirian.
Sebenarnya, walaupun United Kingdom (UK) menerima purata hujan tinggi berbanding negara jirannya tetapi kawasan tenggara UK termasuk London masih menjadi kawasan paling kurang menerima hujan.
Justeru, sumber air yang ada amat terhad. Tak hairanlah catuan air perlu dilaksanakan.
Kemarahan orang awam bukanlah tertumpu pada hal tersebut semata-mata. Lebih dibimbangkan apabila syarikat air itu masih membuang sejumlah sisa kumbahan tak terawat ke dalam Sungai Thames saban tahun dengan alasan taburan hujan tinggi melangkau kapasiti loji.
Ia memaksa mereka melepaskan sebahagian air kumbahan ke sungai tanpa dirawat terlebih dahulu dan kerana itu Sungai Thames terus tercemar.
Kenyataan Thames Water kini mula diragui. Kajian Center Enviromental Policy, Imperial College London pada 2022 mendapati data pelepasan kumbahan tak terawat di seluruh UK tiada hubungan langsung dengan taburan hujan berlebihan.
Kajian itu memberi indikasi isu yang berlaku sebenarnya berpunca daripada keengganan Thames Water menaik taraf loji kumbahan yang ada di sekitar London sejak sekian lama. Ketidakcukupan dana sering dijadikan alasan.
Kata mereka, dengan caj perkhidmatan kumbahan air semasa yang rendah, ia tak cukup menampung kos operasi saban tahun.
Anehnya, dalam situasi defisit, Thames Water masih mampu membayar bonus tinggi kepada pemegang saham syarikat. Pelanggannya tentulah marah.
Kini mereka mula sedar, penswastaan syarikat bekalan air dan kumbahan yang dahulu dibanggakan sebagai model pengurusan air terbaik di dunia mungkin suatu kesilapan.
Rakyat sudah mendesak agar kerajaan kembali mengambil alih Thames Water dan syarikat air UK yang bermasalah. Ia tentulah tak semudah dikata. Itu cerita air di London.
Bagaimana pula di negara kita? Katanya, kebanyakan syarikat bekalan air kita meskipun dimiliki oleh kerajaan negeri, turut berdepan defisit lebih teruk.
Begitu juga nasib syarikat pengurusan kumbahan milik kerajaan Persekutuan.
Tambahan pula, caj perkhidmatan pembetungan kita bukan sahaja jauh lebih rendah berbanding UK, malah kekal terendah berbanding kebanyakan negara serantau. Ada juga negeri puluhan tahun tak pernah langsung naik tarif airnya.
Dalam situasi politik tak menentu dan krisis ekonomi, menaikkan tarif bekalan air serta pembetungan pasti bukan pilihan popular mana-mana kerajaan pun.
Ironinya, menaik taraf infrastruktur air memerlukan dana amat besar. Ia mungkin bukan masalah bagi kerajaan negeri yang kaya tetapi bagi negeri yang dananya cukup makan, rakyatlah terpaksa menjadi korban tak dapat perkhidmatan bekalan air seperti diharapkan.
Sedangkan London yang kaya itu pun masih buntu dengan masalah air, apatah lagi kita di Malaysia. Sekurang-kurangnya jika panas hati tak ada air di pancur mandi, kita masih boleh terjun ke sungai, bermandi-manda sambil memujuk jiwa.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca