MASALAH kos sara hidup tinggi yang menghimpit rakyat marhaen terutama golongan B40 bukan perkara baharu.
Saban tahun, tidak kira parti mana menjadi pemerintah, masalah utama adalah kenaikan harga barang.
Sebagai pihak yang sentiasa berada di akar umbi, Datuk Sabariah Saidan selaku Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang menjadi tempat bagi rakyat mengadu perihal kehidupan seharian.
Mahu tidak mahu, beliau terpaksa menangani dengan baik supaya rakyat tidak berkecil hati atau merajuk dengan pemimpin dan kerajaan hari ini.
Apakah yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai dalam menangani masalah itu?
Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, NORAWAZNI YUSOF bersama Sabariah di pejabatnya di Bera, Pahang.
SINAR HARIAN: Apakah antara isu dan permasalahan rakyat yang menjadi fokus ketika ini?
SABARIAH: Banyak isu rakyat membabitkan kepentingan awam diketengahkan kepada saya untuk ditangani seperti kos sara hidup.
Namun, fokus utama saya lebih kepada isu kepentingan kanak-kanak, wanita dan keluarga serta kebajikan masyarakat secara keseluruhan.
Saya amat menitikberatkan isu kebajikan masyarakat di Pahang seperti kos sara hidup semakin meningkat, pesakit dibebani kos rawatan tinggi dan ibu tunggal tiada sumber pendapatan bagi menyara kehidupan.
Selain itu, isu buang bayi dan keganasan rumah tangga juga amat saya titikberatkan serta cuba mengatasinya.
SINAR HARIAN: Difahamkan Datuk sering mendapat aduan daripada golongan wanita khususnya ibu tunggal B40 yang berdepan kepayahan hidup. Boleh ceritakan masalah dan keluhan dihadapi mereka ketika ini?
SABARIAH: Saya akui ada terima beberapa aduan daripada wanita bergelar ibu tunggal yang berdepan pelbagai kesukaran khususnya untuk kembali bangkit selepas berubah status.
Ibu tunggal ini ada beberapa kategori iaitu ibu yang diceraikan secara hidup atau mati tetapi masih menanggung anak atau wanita menjadi ketua keluarga mencari nafkah dan menanggung suami tidak berupaya bekerja disebabkan sakit atau masih mempunyai anak dalam tanggungan.
Jadi, dalam meneruskan kehidupan, saya dapat lihat mereka sebenarnya berdepan pelbagai kesulitan di mana pendapatan tidak mencukupi, kesusahan dalam menjaga selia anak selain isu rumah.
Pendapatan keluarga rendah adalah satu masalah utama dan jika mereka dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun tidak banyak dan hanya mencukupi untuk perbelanjaan sebuah keluarga. Oleh itu, ibu tunggal terpaksa keluar mencari kerja.
Tetapi masalahnya adalah tiada sesiapa menjaga anak-anak semasa mereka bekerja. Anak-anak yang pulang dari sekolah tidak dikawal.
Ramai golongan wanita berstatus ibu tunggal yang berjumpa saya, menceritakan masalah mereka kepada saya.
Ada yang tiada sumber pendapatan tetap, nak beli pampers, susu tiada duit dan ada juga mengadu mendapat notis keluar dari rumah.
Masalah ketiga adalah penginapan. Ramai keluarga ibu tunggal menghadapi masalah membayar sewa bulanan sehingga terpaksa diusir keluar. Ini semua terjadi kerana mereka tidak mampu membayarnya.
Setakat ini, tiada kes menyedihkan sangat kerana saya rasa mereka mendapat bantuan kerajaan.
Jika tiada bantuan diberikan, mesti ada yang sudah tidur di bawah jambatan, pokok atau sebagainya.
SINAR HARIAN: Apakah langkah yang sudah dan akan diambil bagi meningkatkan taraf ekonomi ibu tunggal negeri ini serta bentuk bantuan disediakan selain apakah kejayaan dicapai setakat ini?
SABARIAH: Kita tahu kerajaan Pahang tidak akan meminggirkan golongan ibu tunggal dan disebabkan ini, kita memperkenalkan program Anggun Niaga bagi membantu mereka.
Program tersebut diperkenalkan mantan Exco portfolio yang saya pegang sekarang iaitu Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin pada penggal lalu. Jadi, saya meneruskan kesinambungannya.
Malah, kita juga mewujudkan satu unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pahang. Unit ini akan memantau perkembangan perniagaan mereka selain memberi sokongan dari semasa ke semasa.
Program Anggun Niaga memperuntukkan RM1,000 kepada setiap ibu tunggal sebagai suntikan semangat bagi mereka menambah baik perniagaan kecil.
Kebanyakan mereka adalah usahawan kecil yang menjalankan perniagaan seperti menjual makanan di warung, menjahit di rumah dan sebagainya.
Bantuan ini berjaya melahirkan beberapa usahawan antaranya Hasnorliah Abd Hamid dari Bentong yang berniaga Cendol Bentong selain membuka dua kiosk di sekitar daerah itu dengan bermodalkan bantuan Anggun Niaga ini pada tahun lalu.
Untuk tahun ini, sebanyak 700 ibu tunggal akan menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan, sekali gus membantu mereka selain menyediakan pelbagai kursus bagi memantapkan lagi perniagaan diusahakan mereka berdasarkan syarat ditetapkan.
SINAR HARIAN: Di sebalik usaha yang sudah dan akan dilaksanakan berkaitan kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan keluarga di negeri ini, apakah cabaran paling besar yang dihadapi?
SABARIAH: Cabaran dihadapi adalah perlu melayani pelbagai kerenah rakyat apabila mereka mendakwa tidak mendapatkan bantuan selayaknya.
Ada dalam kalangan rakyat datang mengadu tidak terpilih untuk mendapat bantuan dan sebagainya. Cabaran sebegini terpaksa dihadapi dan bukan senang hendak memuaskan hati semua pihak.
Pada saya, cabaran besar macam mana sekali pun kita kena bekerja dengan jiwa. Kita kena menjiwai mereka sebab saya pun bukan orang senang.
Saya akan membantu menyelesaikan masalah mereka walaupun bantuan diberikan tidak banyak tapi yang paling penting mereka tidak balik tangan kosong.
SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk melihat langkah yang dilakukan kerajaan selama ini dan penambahbaikan yang perlu dilakukan di dalam usaha membela nasib ibu tunggal terbela?
SABARIAH: Terlalu banyak kerajaan menyalurkan bantuan kepada ibu tunggal dalam memastikan kehidupan mereka terbela antaranya Bantuan Prihatin Rakyat, Pride Kid, Pride Kasih, bantuan ibu tunggal dan sebagainya.
Meskipun begitu, saya berpendapat perlu ada penambahan bantuan dan mempelbagaikan lagi program dan kursus kepada golongan sasar seperti ibu tunggal bagi membolehkan mereka berusaha dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.
Tapi, penambahbaikan dilaksanakan tidak mungkin terjadi sekiranya kerajaan gagal mentadbir ekonomi dengan baik.
PROFIL
Nama: Datuk Sabariah Saidan
Tempat lahir: Bera, Pahang
Umur: 55 tahun
Pendidikan: Diploma Pengurusan Open Universiti
Status: Berkahwin
Nama suami: Abdul Rashid Mahmud
Pekerjaan suami: Ahli Perniagaan
Bilangan anak: 3
Kerjaya dan jawatan dalam politik
- Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang
- ADUN Guai
- Pegawai Khas Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
- Ketua Wanita UMNO Bahagian Bera
Klik di sini untuk terus membaca