SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dianggap sekadar menumpang tuah pengundi DAP yang menjadi parti sekutu Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi berkata, sokongan pengundi bukan Melayu itu membantu menjarakkan sedikit jumlah undi yang diperoleh BN-Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional (PN).
"Namun begitu, ketaranya pengurangan majoriti daripada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas menjadikan kemenangan BN kali ini hanyalah satu amaran rakyat terhadap kerajaan BN-PH.
"Pengundi DAP-PH menjadi kelebihan BN yang membantu memberikan sedikit majoriti. Hakikatnya, hal ini akan terus menambahkan dilema hala tuju BN dalam gabungan BN-PH selepas ini,” katanya pada Ahad.
BN pada Sabtu berjaya mengekalkan kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 2,949 undi namun keputusan itu menyaksikan majoriti diperoleh merosot berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya memperoleh 47 undi.
Nazir menegaskan, jika BN terus menafikan hakikat bahawa mereka berdepan dilema hala tuju, parti itu perlu bersedia untuk menerima amarah rakyat yang bakal membawa satu perubahan yang lebih besar selepas ini.
Menurutnya, keputusan PRK itu turut menyaksikan peningkatan undian terhadap PN yang agak ketara, terutama sekali dalam keputusan undi di Unit Daerah Mengundi (UDM) di Felda yang menghasilkan keputusan luar biasa bagi calon PN.
"Hal ini memberi isyarat jelas bahawa Felda bukan lagi deposit tetap bagi BN. Jadi khusus untuk jentera PN, tahniah atas usaha keras kalian kali ini. Ayuh terus tingkatkan usaha untuk memenangkan calon PN dalam PRK akan datang sekiranya berlaku lagi,” ujarnya.
Senada dengan Nazir, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, PN tidak mampu menyekat kemaraan BN kali ini kerana pengundi bukan Melayu iaitu pengundi Cina masih lagi belum dapat menerima perjuangan PN.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana DAP berada dalam PH namun apa yang jelas, keputusan PRK tersebut membuktikan bahawa Felda bukan lagi kubu kuat UMNO dan BN.
"Sokongan beralih kepada PN ketika ini malah undian yang BN terima tidak memberangsangkan, sepatutnya mereka boleh menang lebih besar kalau gabungan PH-BN itu benar-benar melahirkan pemindahan undi.
"Tetapi itu tidak berlaku, malah pemindahan undi berlaku kepada PN. Undi UMNO beralih kepada PN. Kami menang dua peti undi Felda, kalah hanya di Felda Chemomoi. Ini satu peningkatan kerana kawasan itu kubu kuat BN dan kita berjaya menerobos masuk,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca