MINGGU lalu, Bank Dunia telah menurunkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 3.9 peratus bagi 2023, daripada 4.3 peratus pada April tahun ini disebabkan pelbagai faktor, antara lain kerana pertumbuhan global lebih rendah dan penyusutan... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Bank Dunia telah menurunkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 3.9 peratus bagi 2023, daripada 4.3 peratus pada April tahun ini disebabkan pelbagai faktor, antara lain kerana pertumbuhan global lebih rendah dan penyusutan permintaan luar.

Situasi tersebut tidak banyak beza dengan pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia pada suku kedua tahun 2023.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus selepas merekodkan 5.6 peratus pada suku tahun pertama 2023.

Hal itu berlaku disebabkan permintaan luaran lebih perlahan yang turut memberikan kesan terhadap pertumbuhan KDNK.

Selain itu, jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan nilai RM213 bilion, menguncup 19.8 peratus atau RM52.7 bilion pada Ogos 2023.

Secara perbandingan bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, berbanding tempoh sama tahun 2022, perdagangan Malaysia dengan negara ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, kesemuanya turut menyusut.

Eksport Malaysia juga menunjukkan trend menguncup iaitu 3.3 peratus (suku pertama 2023) dan 9.4 peratus (suku kedua 2023).

Pada masa sama, prestasi ringgit juga tidak menentu dan Bank Dunia melihat penyusutan prestasi ringgit sebanyak 15 peratus berbanding dolar AS dari Januari 2021 hingga Jun 2023 disebabkan tiga faktor utama iaitu harga minyak, perbezaan kadar faedah serta kedudukan pelaburan antarabangsa.

Faktor prestasi ringgit turut memberikan kesan terhadap nilai pengimportan barangan dari luar negara.

Malaysia sebenarnya amat terdedah kepada isu tersebut, lebih-lebih lagi kebergantungan Malaysia terhadap barangan import terutama bekalan makanan amat tinggi.

Berdasarkan laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan pada 2022, berbanding RM63.59 bilion pada 2021.

Berdasarkan situasi semasa mengambil kira negara sedang berdepan kekurangan stok makanan tertentu dan terpaksa mengimport lebih banyak bahan makanan dari luar negara, kos import makanan akan lebih tinggi tahun ini yang berkemungkinan mencecah melebihi RM80 bilion.

Pada masa sama, prestasi ringgit turut mempengaruhi harga barang import – berpotensi lebih mahal susulan pengimport sebahagiannya menaikkan harga disebabkan mereka menggunakan transaksi dolar AS dalam urusan perniagaan.

Selain itu, faktor perubahan iklim juga menjejaskan sekuriti makanan negara. Apabila permintaan lebih tinggi daripada pengeluaran, maka ia berpotensi menyebabkan harga barangan melambung.

Oleh itu, amat penting kita memperkasa ekonomi negara melalui peningkatan pengeluaran makanan dalam negara.

Selagi kita bergantung kepada bekalan makanan import dari negara lain, selagi itu masalah tidak akan selesai dan berkemungkinan semakin melebar.

Saya telah mencadangkan beberapa bulan lalu sebelum berlaku krisis beras agar kerajaan pusat dan negeri mempertingkatkan simpanan Bank Makanan untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan krisis makanan lebih mencabar.

Masih belum terlambat untuk berbuat demikian dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak industri agar kita mempunyai stok makanan mencukupi bagi menghadapi tahun-tahun mencabar.

Sekiranya krisis makanan meruncing, maka stok makanan yang disimpan boleh digunakan untuk disalurkan kepada rakyat.

Ia juga boleh digunakan ketika berdepan krisis lain, contohnya bencana alam seperti kemarau berterusan dan banjir bagi memastikan rakyat ada makanan sekiranya keadaan luar biasa berlaku.

Amat penting kita mengambil ibrah sejarah yang telah berlaku sebelum ini dan sejarah berkemungkinan boleh berulang.

Justeru, kita perlu buat persiapan dengan ketidaktentuan ekonomi dan gelombang krisis makanan yang sedang melanda di peringkat global ketika ini tanpa ada tanda ia bakal berakhir dalam masa terdekat.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca