ALOR SETAR - Penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras Kedah berjaya merampas kira-kira 10 metrik tan beras hancur bernilai RM21,187 di sebuah kilang beras di Kota Sarang Semut, Alor Setar di sini pada Sabtu.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, pemeriksaan di kilang berkenaan pada jam 1.30 petang itu menemui 96 guni beras hancur selain stok yang direkodkan tidak sama dengan stok fizikal yang ditemui.
Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati sebahagian beras hancur berkenaan dipercayai sudah dicampurkan dengan beras gred tempatan dipercayai untuk diedarkan kepada pemborong.
"Ini adalah kesalahan yang serius dan hasil siasatan ke atas penyelia kilang berkenaan turut mengakui bahawa beras hancur itu telah dicampurkan dengan beras gred tempatan untuk tujuan mengurangkan kos.
"Mereka ingin kaut keuntungan mudah dan keseluruhan kilang berkenaan kita telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Azman berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen (82) Akta 522 (Akta Kawalan Padi dan Beras 1994) dan Peraturan 12 (b) PU(A) 626 (Pelesenan Pemborong dan Peruncit 1996) yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM25,000 bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua tidak lebih RM50,000.
Difahamkan operasi dijalankan hasil pendedahan dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendakwa terdapat pihak menggunakan beras hancur sebagai beras tempatan kerana ia boleh dijual dengan bukan harga kawalan.
"Terima kasih atas maklumat yang diberikan oleh Dr Muhamad Akmal dan pihak Kawalselia Padi dan Beras tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar Akta 552.
"Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seperti ini agar melaporkan kepada kami dengan identiti setiap pemberi maklumat juga akan dirahsiakan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca