GENTING GAZA - Isteri Amer Ashour yang sedang sarat hamil mula menunjukkan tanda-tanda hendak bersalin ketika rejim Zionis melancarkan serangan balas bertubi-tubi ke atas Genting Gaza pada akhir minggu lalu.
Pasangan itu yang baru dikurniakan seorang bayi lelaki bagaimanapun tidak dapat meraikan kegembiraan menyambut kelahiran anak kedua mereka apabila kembali semula ke rumah dan melihat segala-galanya sudah musnah akibat dibedil.
Serangan udara Israel telah meranapkan bangunan kediaman setinggi 11 tingkat yang didiami keluarga itu di kawasan kejiranan al-Nasr di barat Bandar Gaza.
"Saya sangat bimbang ketika konflik itu bermula dengan keadaan isteri saya pada masa tersebut. Saya mula terfikir bagaimana kami mahu ke hospital dengan hujan peluru semakin ganas," kata Amer yang tidak menyangka rumahnya akan dibom dan musnah sama sekali.
Dianggarkan terdapat kira-kira 80 keluarga yang mendiami apartment tersebut.
"Hari ini, kesemua keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang. Ke mana harus kami tuju pada waktu tegang seperti ini," ujar Amer lagi ketika menggali bawah runtuhan struktur tersebut untuk melihat jika ada barangan yang masih terselamat.
Sementara itu, Shadi al-Hassi bersama abangnya bergegas meninggalkan kediaman mereka di timur Genting Gaza selepas ia musnah akibat impak bedilan ke atas sebuah struktur berhampiran.
Kedua-duanya kini menetap di apartment milik keluarga mereka di Menara al-Watan di pusat bandar Gaza.
"Pada jam 4 pagi kami dikejutkan dengan laungan suara meminta segera berpindah kerana ancaman serangan udara Israel," menurut Shadi ketika menceritakan detik cemas tersebut.
Kenderaan pasukan pertahanan awam dan ambulans turut dikerahkan ke kawasan itu untuk memindahkan penduduk.
"Sehingga kini, saya masih terkejut kerana bangunan orang awam jadi sasaran bedilan. Di situ hanya menempatkan klinik, syarikat dan pusat kecantikan.
"Bagaimana mereka boleh dakwa ada aktiviti gerakan penentangan di situ?" soalnya lagi sambil menambah keluarganya kini kehilangan tempat tinggal dan tidak tahu apa nasib mereka pada masa akan datang.
-SH: BEDIL SECARA RAWAK Bedil secara rawak
Youssef al-Bawab yang tinggal di bangunan bersebelahan Menara al-Watan juga berkongsi detik mendebarkan ketika menerima ancaman serangan daripada rejim Zionis.
"Kami sangat takut kerana menara itu hanya terletak beberapa meter dan bakal dibedil. Israel dakwa mereka hanya sasarkan anggota puak penentang dan bangunan milik Hamas.
"Hakikatnya, rejim Zionis turut menyasarkan orang awam kerana mahu beri tekanan kepada Hamas. Apa salah kami? Ke mana harus kami pergi?" katanya yang menetap di apartment tersebut bersama 150 penghuni lain.
Mohammed Salah dari kawasan kejiranan Beit Lahia di utara Gaza juga terkesan konflik tersebut.
"Jet pejuang tentera Israel membedil tempat kediaman kami secara rawak. Situasi semakin berbahaya. Oleh itu, saya bersama keluarga lain terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing," ujarnya yang kini berlindung di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya, rejim Zionis membedil secara 'membabi buta' tanpa mengira kawasan orang awam atau lokasi markas puak penentang seperti dicanangkan mereka.
"Penduduk lari untuk menyelamatkan diri kerana kempen pengeboman yang semakin menggila.
"Kami tinggal di sini sudah bertahun-tahun dan tiada siapa pertahankan kami. Oleh itu, kami berhak untuk menentang penindasan dan kekejaman penjajah," tambahnya lagi ketika merujuk kepada pendudukan Israel dan tindakan pengepungan haram selama 16 tahun ke atas Genting Gaza yang berpopulasi kira-kira dua juta penduduk. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca