SERINGKALI kita mendengar cerita mengenai pengalaman dan luahan orang ramai tentang bilik sewa yang indah khabar daripada rupa.
Antaranya adalah perkongsian seorang remaja yang terkejut melihat penyaman udara dibahagikan antara dua bilik sewa dengan harga ditawarkan RM350 sebulan di Lembah Klang.
Tidak cukup itu, ada juga ruang balkoni rumah yang diubah suai menjadi bilik sewa dengan pintu gelangsar sebagai dinding pemisah tanpa memikirkan keselesaan dan keselamatan penyewa.
Siapa sangka bilik yang hanya cukup untuk meletakkan sebuah katil bujang, meja kecil, kipas dinding dan lampu itu disewa pada harga RM700 dengan alasan penyewa boleh menikmati pemandangan indah dari balkoni.
Baru-baru ini, tular lagi sebuah bilik sewa sebesar ‘liang lahad’ di pinggir bandar raya dengan kadar bayaran tidak masuk akal.
Bilik itu hanya boleh memuatkan sebuah tilam bujang serta kipas dinding.
Terletak di tingkat dua rumah kedai, bilik tersebut ditawarkan pada kadar RM300 sebulan.
Alasannya, ia berhadapan dengan aksesibiliti perkhidmatan awam. Penyewa juga hanya mengambil masa lima minit berjalan kaki ke sebuah pasar raya besar.
Sebaik melangkah ke premis tersebut yang berukuran 21 meter x 6 meter dan menempatkan 38 bilik seperti kapsul, penulis Sinar Premium terpana dengan ruang yang sangat sempit dan berbau hapak. Setiap pijakan di ruangan itu kaki terasa melekit seperti ada air manis tertumpah ke lantai.
Lebih mengejutkan, bilik yang ingin disewakan berkeluasan sedepa tangan itu kelihatan sangat sempit dan daif sehingga tidak logik dek akal untuk seorang manusia menginap mahupun bermalam di situ.
Bagi menjiwai keluhan perantau yang bersusah payah mencari tempat untuk berteduh demi sesuap nasi, penulis telah menyewa sendiri bilik tersebut dan bermalam di situ.
Bayangkan, penulis tidak betah bertahan walaupun hanya 10 minit di dalam bilik itu. Keadaannya amat menyesakkan dada. Seolah-olah terkurung di dalam sebuah sangkar yang sempit.
Paling menyedihkan, penyewa tidak boleh berdiri dan terpaksa membongkok untuk masuk ke bilik berkenaan. Bilik tersebut betul-betul boleh digunakan untuk tidur dan berehat sahaja.
Penghuni juga tidak mampu melakukan aktiviti lain kecuali berbaring dan melunjurkan kaki.
Pada waktu malam, penulis tidak dapat melelapkan mata akibat keadaan bilik yang sangat tidak selesa.
Sudahlah sempit, pijat pula berkeliaran di atas tilam sehinggakan badan berasa gatal-gatal akibat digigit serangga berkenaan.
Disebabkan dinding di antara bilik dengan bilik yang lain cuma diperbuat daripada papan partition dan bukannya dinding konkrit, tidur penulis kerap terganggu dengan pelbagai bunyi yang datang dari kawasan sekeliling.
Dengan hanya berbekalkan sebuah kunci mangga, penulis juga bimbangkan keselamatan diri serta penghuni lain.
Apabila bangun pagi, penulis terpaksa bersesak-sesak menunggu giliran dengan penghuni lain semata-mata untuk menggunakan dua tandas dan dua bilik air yang perlu dikongsi bersama.
Penulis juga terpaksa bersiap di dalam tandas kerana bilik disewa itu terlalu sempit untuk menukar pakaian. Walaupun menyewa hanya sehari, ia ibarat mimpi ngeri bagi penulis.
Sementara itu, penulis sempat bersembang bersama salah seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Alif.
Berusia 20-an, pemuda itu berkata, harga sewaan yang murah berbanding rumah sewa biasa di samping jarak ke tempat kerja tidak sampai dua kilometer menyebabkan dia tidak kisah tinggal di situ.
"Saya sudah tinggal di sini selama lima bulan. Susah hendak cari harga bilik sewa semurah ini di bandar, lebih-lebih lagi saya hanya kerja biasa-biasa saja. Jadi ini satu-satunya pilihan yang ada.
"Namun, saya ada rancangan untuk mencari bilik sewa yang lebih baik jika ada rezeki lebih,” katanya yang berasal dari negeri Pantai Timur.
Klik di sini untuk terus membaca