KETIKA mata masyarakat dunia sedang melihat kepada perang Rusia dan Ukraine, tiba-tiba Sabtu lalu kita semua dikejutkan dengan serangan mengejut sekitar 5,000 roket oleh pejuang Palestin pimpinan Hamas ke atas Israel.
Jika selama ini warga dunia melihat dengan penuh kasihan beberapa wilayah Ukraine yang diserang bertubi-tubi oleh Rusia, kejadian Sabtu lalu mungkin mengingatkan semua orang betapa ada juga wilayah lain di dunia ini yang wajar dikasihani juga.
Palestin sebuah negara yang agak aneh, mempunyai dua wilayah, satunya di Semenanjung Gaza dan sebahagiannya pula berada di Tebing Barat. Agak pelik apabila sebuah negara terpisah dan tak bersambungan. Tapi begitulah cara dunia Barat bersekongkol dengan dunia Arab melukiskan peta negara Palestin, menjadikan ia sebuah negara yang dianggap tak pernah ada.
Semenanjung Gaza sendiri adalah wilayah yang pelik. Walaupun ia dianggap negara, tetapi sempadan udara dan lautnya milik Israel. Sempadan daratnya pula perlu melalui Israel, negara yang menjadi musuhnya sejak sekian lama. Walaupun ada pintu masuk melalui Mesir, itu pun banyak kali ditutup dan dibuka mengikut situasi politik semasa.
Begitulah wilayah Gaza yang juga disebut orang sebagai penjara terbuka. Sejak dipimpin oleh Hamas yang dianggap bukan sekutu Barat, Hamas telah dilabel sebagai pengganas.
Penganggurannya dianggap antara tertinggi dunia. Keadaan di Tebing Barat pula agak baik.
Menurut laporan, kadar pengangguran di Semenanjung Gaza bagi mereka yang berumur 19 hingga 29 tahun ialah sekitar 70 peratus. Di Tebing Barat kadar pengangguran sekitar 30 peratus. Apalah yang boleh rakyatnya lakukan jika pintu sempadan ke negara luar yang hanya dibuka atas ehsan sahaja. Israel mengawal banyak perkara.
Sebenarnya kisah perjuangan rakyat Palestin ialah cerita warga tertindas. Manusia apabila telah tiada apa-apa lagi dalam hidupnya, mereka tidak takutkan apa pun lagi. Orang yang bekerja mungkin takut hilang pekerjaan. Orang yang ada kekayaan akan takut menjadi miskin. Tetapi, orang yang tiada apa-apa, mereka tidak akan takut kepada apa pun.
Jadi serangan mengejut pada Sabtu lalu, dari semua jalan baik darat, udara atau laut, ia sewajarnya membuka mata masyarakat dunia bahawa semakin manusia ditindas, semakin kuat mereka melawan. Ia bukan kisah pertembungan Islam dan Yahudi, tetapi kisah masyarakat yang sedang dipencilkan.
Palestin sendiri telah banyak dilupakan orang, sama seperti masyarakat Rohingya di Myanmar juga. Pada era Donald Trump menjadi Presiden Amerika, menantunya, Jared Kushner menjadi pelobi agar negara Islam mengiktiraf negara Israel. Antaranya ialah Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.
Agak baharu, Arab Saudi juga telah membenarkan ruang udaranya digunakan untuk penerbangan komersil dari atau ke Israel. Amerika Syarikat juga telah memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Jerusalem, kota suci yang menjadi rebutan masyarakat Islam dan Yahudi, seolah-olah membelakangkan perasaan orang Islam.
Semua ini adalah cerita-cerita betapa akhirnya warga Palestin sebenarnya sedang bersendirian. Tapi untuk mengharapkan dunia Islam yang lain membantu, banyak negara Islam sendiri sebenarnya sedang sakit. Ada yang masih terjebak dengan perang saudara, dan ada pula yang berada dalam keadaan ekonomi yang teruk.
Jadi, sepertinya konflik Palestin dan Israel akan terus menjadi cerita yang tak kunjung padam.
Yang mungkin boleh kita lakukan hanyalah sekadar memboikot produk Amerika Syarikat untuk beberapa hari, tetapi kemudiannya terlupa lalu menonton filem Hollywood yang juga produk Amerika. Dan rakyat Palestin akan terus bersendirian berperang untuk memiliki sebuah negara.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca