SERDANG - TEPAT jam 2 petang seperti dijanjikan, penulis sudah terpacak di bawah sebuah bangunan kediaman terletak di Seri Kembangan dekat sini yang menempatkan unit bilik sempit untuk disewa.
Namun setelah menunggu hampir satu jam, baru kelibat Mr Chong (nama samaran) yang bertanggungjawab mengurus kemasukan penyewa ke unit bilik sewa sempit itu tiba.
Tanpa berlengah, dia terus membawa kami ke sebuah unit rumah terletak di tingkat 11 bangunan tersebut.
Semuanya kelihatan normal dari luar, namun sebaik menjejakkan kaki ke dalam unit rumah itu, mata penulis terus tertumpu ke arah bilik-bilik kecil yang jelas kelihatan telah diubah suai.
Menurut Mr Chong, kesemua tujuh bilik dalam unit rumah tersebut dikhaskan untuk penyewa wanita sahaja dengan kadar sewa RM350 sebulan.
"Di sini senang semua ada, dekat dengan pengangkutan awam, di sebelah pun ada pusat beli-belah,” katanya.
Sebelum meninjau bilik yang kononnya mahu disewa, penulis sempat melihat longgokan kasut di depan pintu masuk utama yang menandakan ada penghuni di dalam bilik sewa tersebut.
Keadaan di dalam rumah pula agak bersepah dengan barang penghuni. Hidung penulis juga diasak bau kurang menyenangkan sambil sesekali kelihatan puluhan lipas kecil merayap di sudut rumah.
Mahu rasanya segera angkat kaki meninggalkan premis tersebut. Namun, misi meninjau bilik sewa sangkar burung itu harus diselesaikan penulis. Kami terus saja memasuki ruang bilik yang disyorkan.
Sekali pandang, bilik dilengkapi sebuah katil bujang, sebuah kipas dinding dan sebuah almari pakaian itu kelihatan agak bersih. Namun saiznya yang kecil mengundang perasaan klaustrofobia (fobia tempat sempit) dalam diri. Lagi-lagi bilik tersebut tidak bertingkap.
Sepanjang meninjau keadaan di dalam rumah berkenaan, Mr Chong tidak berenggang jauh dengan penulis sekali gus menyukarkan ‘operasi’ tinjauan ini.
Boleh dikatakan Mr Chong seperti curiga. Namun, ketika Mr Chong menjengah ke ruang dapur rumah, penulis sempat ‘mengukur’ keluasan bilik itu.
Dan ternyata bilik itu hanya seluas satu depa tangan, menjadikan ruang untuk bergerak amat terhad.
Selain kemudahan bilik yang sangat asas, penyewa perlu membayar bil elektrik sendiri mengikut jumlah penggunaan elektrik masing-masing. Bagi kemudahan dapur, tandas dan tempat jemur pakaian, penulis perlu berkongsi dengan penyewa lain.
Satu kebimbangan penulis berkenaan situasi rumah berkenaan adalah aspek keselamatan di mana setiap bilik mempunyai meter elektrik berasingan. Bayangkan jika berlaku lebihan bebanan elektrik, bukankah boleh mendatangkan risiko kebakaran?
Tidak dinafikan terdapat banyak bilik sewa bersaiz sangkar burung, liang lahad dan sempit ini di merata pelusuk ibu kota malah penulis sendiri mendapat tahu tentang bilik sewa sempit ini menerusi iklan di laman Facebook.
Hakikatnya, ini realiti kerakusan segelintir pemilik rumah tamak yang cuba mengaut keuntungan maksimum.
Klik di sini untuk terus membaca