BERITA paling utama sejak tiga hari lalu ialah bagaimana pasukan pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel.
Serangan ini dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap sekatan tidak berperikemanusiaan selama lebih 16 tahun yang dikenakan rejim Zionis terhadap lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza.
Pasukan pejuang Hamas bukanlah sebuah angkatan tentera tradisional milik sebuah negara berdaulat.
Jika dibandingkan kekuatannya dengan negara rejim Zionis, ia tidak mempunyai sistem senjata berat seperti kereta kebal, pesawat udara canggih mahupun kapal perang.
Hamas hanya memiliki kenderaan pacuan empat roda, paramotor dan dron serta bot-bot kecil.
Satu-satunya kekuatan senjata berat dimiliki hanyalah roket permukaan ke permukaan bebas. Sistem tersebut tidak pun mempunyai sistem panduan elektronik seperti sistem GPS atau panduan video.
Apa yang mengejutkan pakar-pakar ketenteraan Israel dan Barat ialah bagaimana serangan dilancarkan ini tidak dapat dikesan lebih awal oleh pihak perisikan Israel yang dikatakan mempunyai kelengkapan dan keupayaan dianggap sebagai antara terhebat di peringkat global.
Salah satu elemen utama bagi mana-mana agensi perisikan moden ialah perisikan elektronik atau ‘Electronic Intelligence’ (ELINT).
Medan tempur moden tidak lagi mempunyai sempadan fizikal khusus dan elemen elektronik adalah kritikal dalam usaha menilai, merancang dan melaksana apa jua strategi berkaitan ketenteraan.
Era komunikasi dan elektronik digital dan penggunaannya secara meluas di peringkat global oleh semua pihak, dari pasukan gerila kepada angkatan tentera merubah corak bagaimana konflik dan perang dirancang dan dilaksana.
Ini termasuklah perisikan atau pemintasan komunikasi, gangguan gelombang elektro magnetik terhadap sistem radar, kawalan senjata pintar dan pelbagai lagi.
Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa hari ini, sebahagian besar pasukan tentera negara global mengukur keupayaan atau kekuatan mereka dengan mengambil kira pemilikan aset ELINT dalam inventorinya.
Berbeza dengan ELINT, satu faktor yang telah wujud sejak manusia mula berkonflik ialah perisikan manusia atau Human Intelligence (HUMINT).
Ia perisikan fizikal yang berpaksikan hubungan antara dua individu bagi mendapat dan mengumpul maklumat.
HUMINT bakal memakan masa serta berisiko tinggi kerana memerlukan kehadiran fizikal individu yang mungkin terdedah kepada kebocoran maklumat atau pendedahan identiti.
Sebahagian besar tentera moden hari ini menumpukan lebih fokus kepada ELINT berbanding HUMINT.
Keadaan ini telah dieksploitasikan oleh pasukan Hamas yang telah mengkaji sekian lama mengenai strategi bagaimana tentera rejim Zionis bertindak balas sebelum dan apabila konflik tercetus.
Perancangan teliti dengan meminimumkan atau menutup penggunaan komunikasi elektronik apabila merancang dari strategi sehinggalah tahap pelaksanaan bermakna, ELINT perisikan Israel berada dalam kegelapan.
Kajian ELINT Israel oleh Hamas bukan saja terhad kepada sistem komunikasi, tetapi juga terhadap sistem pintasan roket oleh sistem Iron Dome yang selama ini dianggap sebagai payung penyelamat Israel dari roket-roket yang dilancar dari Gaza.
Pada konflik tahun 2014, Hamas melancarkan 4,500 roket ke arah Israel dalam masa beberapa hari dan 90 peratus daripadanya berjaya dipintas Iron Dome.
Pada konflik kali ini, pemikir Hamas melancarkan jumlah roket hampir sama ke Israel, namun kesemuanya dalam tempoh kurang 30 minit!
Sebahagian roket dilancarkan adalah roket baharu jenis Rajum kaliber 114mm yang dihasilkan sendiri mereka.
Jumlah roket terlalu banyak serta dilancarkan hampir serentak telah ‘memeningkan’ sistem elektronik Iron Dome menyebabkan ia gagal mencapai 90 peratus pemintasan seperti sebelumnya.
Serangan terhadap pos dan pusat kawalan sempadan yang dilakukan serentak juga hanya menggunakan senjata ringan, tiada serangan udara dari pesawat canggih, melainkan oleh dron kerdil, tiada sistem peluru berpandu anti-kereta kebal atau kenderaan berperisai.
Pejuang dibawa masuk ke kawasan pertempuran oleh kenderaan pacuan empat roda komersial, motosikal dan dengan berjalan kaki, bersenjatakan raifal dan pelancar roket grened atau RPG.
Apa yang berlaku jelas sekali membuktikan bahawa ELINT masih belum mampu mengatasi kepentingan HUMINT walaupun ada pihak-pihakhari ini begitu taasub dengan faktor seperti Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI).
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca