SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatatkan keuntungan untuk suku tahun pertama yang berakhir pada 31 Mac lalu iaitu rekod tertingginya sejak tersenarai di Bursa Malaysia.
Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, walaupun bermula dengan perlahan pada tahun 2020, pihaknya memulakan suku pertama tahun 2021 dengan memberangsangkan.
"Syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM17.07 juta, peningkatan lebih enam kali ganda berbanding RM2.78 juta pada suku pertama tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya lagi, Sedania mencatatkan keuntungan operasi sebelum cukai sebanyak RM5.5 juta berbanding RM1.69 juta pada suku pertama tahun 2020.
Jelas beliau, peningkatan melonjak tersebut adalah hasil pendapatan dan sumbangan positif daripada dua segmen perniagaan terbesar iaitu GreenTech dan HealthTech.
"Dengan keadaan ekonomi yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, Sedania berjaya merekodkan prestasi terbaiknya setakat ini.
"Ini membuktikan Sedania bukan sahaja beroperasi dalam bidang perniagaan yang tepat pada waktu ini, namun bidang-bidang yang diceburi berjaya dipelopori dengan efektif dan bijak," ujarnya.
Sementara itu, Azrin berkata, pemulihan kukuh pada suku pertama 2021 adalah hasil inisiatif strategik kumpulan untuk terus mencari peluang perniagaan baharu dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
"Sedania telah memuktamadkan pengambilalihan 51 peratus kepentingan daripada Offspring Inc Sdn. Bhd. (Offspring) pada Januari 2021 dan ia dilihat sebagai langkah strategik yang memberi hasil positif kepada kami.
"Segmen HealthTech menyumbang kira-kira 32 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan pada suku tersebut," jelasnya.
Mengulas lanjut, menurut beliau, Sedania yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil bagi baki tahun 2021.
Tambahnya, perkara itu turut didorong perkembangan memberangsangkan oleh segmen lain serta perbincangan strategik yang berterusan bersama rakan kongsi Sedania.
"Covid-19 secara tidak langsung telah menyuntik transformasi digital secara global dan mendorong penggunaan digital secara menyeluruh ke tahap baru," katanya.
Sementara itu, Azrin juga dilantik sebagai salah seorang ahli Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara.
"Sumbangan beliau dilihat sebagai pendorong utama kepada transformasi digital negara.
"Sedania akan terus membina landasan yang kukuh untuk meletakkan kumpulan pada kejayaan untuk tempoh jangka panjang.
"Kami tetap optimis memberikan prestasi yang kukuh pada tahun 2021 dengan langkah transformatif yang akan memperluas peluang pendapatan dan keuntungan bersih kami," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca