SHAH ALAM - Sejumlah 50,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro berasaskan komuniti akan gulung tikar apabila pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terus dilanjutkan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sejumlah 50,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro berasaskan komuniti akan gulung tikar apabila pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terus dilanjutkan oleh kerajaan.

Jawatankuasa Bertindak Peniaga-peniaga Mikro Malaysia berkata, jangkaan data penutupan premis PKS dan perniagaan mikro itu adalah berasaskan kajian dibuat Persatuan PKS Malaysia yang dilaporkan pada 8 Jun lalu.

Jelas jawatankuasa itu, laporan Persatuan PKS Malaysia turut mendedahkan sejumlah 100,000 syarikat PKS dikenal pasti sudah menutup operasi perniagaan sejak pelaksanaan PKP 1.0 bermula Mac tahun lalu.

"Berdasarkan kaji selidik dijalankan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Klang pula, impak PKP kepada perniagaan mikro merangkumi 3,370 kedai gunting dan dandanan rambut, 37,500 restoran, 700 kedai runcit, 8,000 klinik swasta, 545 pusat tauliah kemahiran serta 4,000 farmasi di seluruh negara.

"Setakat hari ini, sejumlah 30 peratus premis khidmat gunting dan dandanan rambut atau 1,011 premis sudah ditutup, diikuti 6,500 restoran (18 peratus), 200 klinik kecil, 16 pusat tauliah kemahiran, 30 farmasi dan 70 premis peruncitan telah ditutup susulan impak PKP.

"Selain itu, sejumlah 6,546 premis khidmat gunting dan dandanan rambut, 1,000 klinik, 320 pusat tauliah kemahiran, 150 farmasi, 67,500 restoran dan 210 premis runcit terpaksa melaksanakan pemberhentian pekerja sehingga kini," katanya kepada Sinar Harian.

Jawatankuasa bertindak itu berkata demikian setelah membentangkan hasil kaji selidik kemampanan perniagaan sepanjang tempoh PKP disediakan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Klang yang mengambil sampel 1,196 responden daripada pelbagai industri PKS.

Jawatankuasa Bertindak Peniaga-peniaga Mikro mengadakan sidang media secara maya pada Rabu lalu bagi mengetengahkan nasib mereka yang semakin terhimpit.

Jawatankuasa itu diketuai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang bertindak sebagai pengerusi.

Jawatankuasa Bertindak Peniaga-peniaga Mikro Malaysia terdiri daripada Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma), Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, Persatuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) dan Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia (Femac).

Berikutan itu, jawatankuasa bertindak berkenaan mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan RM1.7 bilion bagi menjayakan program bantuan pembiayaan sewa premis niaga bulanan kepada peniaga-peniaga mikro terkesan.

Jelas jawatankuasa itu, kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian subsidi pembiayaan sewa premis bulanan sehingga 70 peratus dengan nilai biaya tertinggi sebanyak RM7,000 bagi tempoh dua bulan.

"Pembiayaan ini akan ditumpukan kepada sektor perniagaan berasaskan komuniti yang mengalami penyusutan pendapatan tahunan sehingga 40 peratus.

"Melalui cadangan struktur ini, kerajaan hanya perlu menyediakan peruntukan RM1.7 bilion yang dijangka menyelamatkan 59,615 perniagaan mikro berasaskan komuniti serta memastikan 591,820 pekerja akan terus bekerja," jelas jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa bertindak itu turut menjelaskan kerajaan bertanggungjawab untuk menyelamatkan sektor perniagaan mikro berasaskan komuniti kerana majoriti perniagaan ini tidak dapat beroperasi sewaktu PKP atau tidak boleh beroperasi pada kapasiti penuh.

"Sektor ini penting kerana menjadi hab komuniti untuk mendapatkan keperluan harian tanpa perlu keluar daripada radius 10 kilometer.

"Sekiranya tiada bantuan sewajarnya diberikan, golongan peniaga ini akan terdedah kepada masalah kewangan dan risiko terpaksa meminjam ah long," katanya.

Info kaji selidik jumlah dan jenis perniagaan yang telah 'bungkus'

1,011 premis khidmat gunting dan dandanan rambut

6,500 restoran

200 klinik kecil

16 pusat tauliah kemahiran

70 premis peruncitan

Klik di sini untuk terus membaca