PENGUMUMAN Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PREPR) bernilai RM260 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Mac lalu benar-benar melegakan.
Dalam konteks bantuan buat industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), secara keseluruhannya kerajaan telah melancarkan lima inisiatif iaitu:
1. Tabung Bantuan Kemudahan Khas PKS bernilai RM5 bilion
2. Dana kemudahan semua sektor ekonomi bernilai RM6.8 bilion
3. Skim Kredit Mikro bernilai RM700 juta
4. Skim Jaminan Kredit Malaysia Berhad berjumlah hingga RM300,000
5. Skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan bernilai RM5 bilion
Di samping itu, terdapat beberapa lagi bantuan lain seperti program subsidi upah, penangguhan automatik pembayaran pinjaman bank untuk tempoh enam bulan, penangguhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, rebat levi pekerja asing, pengecualian dan diskaun atas sewa di premis kerajaan dan GLCs dan lain-lain lagi.
Benar, semua ini amat melegakan tetapi sejauh manakah mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus bantuan ini iaitu institusi kewangan memudahkan segala urusan PKS yang memohon?
Terdapat banyak rungutan didengar dalam kalangan PKS khususnya berkaitan syarat-syarat sukar yang ditetapkan oleh kerajaan dan juga institusi kewangan. Sewajarnnya tidak berlaku dikala seluruh dunia di ambang krisis ekonomi yang maha dahsyat dalam sejarah dunia.
Pastinya kerajaan sedar risikonya tetapi adakah institusi kewangan sudah bangun daripada mimpi iaitu masih mahu kekal membuat keuntungan berbilion ringgit atau ratusan juta ringgit pada setiap tahun seperti tahun-tahun sebelum ini?
Sedarlah bahawa 480,000 PKS akan gulung tikar dan ini akan menyebabkan sekitar 8 juta rakyat hilang pekerjaan. Malahan dalam satu laporan BBC London, 3.3 bilion orang akan kehilangan pekerjaan di seluruh dunia. Jelas bahawa dunia diambang krisis dan begitu juga Malaysia.
Untuk itu, kerajaan disarankan melakukan lima strategi berikut dalam membantu memudahkan proses permohonan bantuan atau pinjaman kewangan buat PKS.
Strategi 1: Minimun halangan
Mengguna pakai 'rule of 80/20' dalam aspek mengenalpasti sebab 80 peratus kegagalan yang berpunca daripada 20 peratus masalah utama contohnya isu 'credit rating' yang bergantung sepenuhnya kepada laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Mansuhkan atau mudahkan syarat hingga halangan itu dapat diatasi. Inisiatif ini akan memberi kelegaan besar kepada PKS dalam mendapatkan bantuan.
Strategi ini amat kritikal dalam memastikan PKS terus bernafas untuk tempoh beberapa bulan akan datang atau berkubur. Terdapat juga PKS hanya boleh bertahan di bulan ini sahaja atau hingga Mei. Jadi strategi ini amat kritikal dan penting dalam misi menyelamatkan mereka.
Strategi 2: Insritusi kewangan sebagai frontliners
Institusi kewangan perlu kehadapan, telus, cekap dan proaktif dalam usaha pemulihan ekonomi negara. Cara kerja mereka perlu berubah.
Proses permohonan bantuan atau pinjaman PKS baik dalam talian mahupun bercetak perlu diproses dengan cepat, tepat dan mesra pelanggan.
Untuk itu sewajarnya institusi kewangan beroperasi 24 jam atau sekurang-kurangnya 12 jam operasi kaunter dan 18 jam jika tidak 24 jam operasi untuk tujuan memproses permohonan. Institusi kewangan perlu ada 'sense of urgency' dalam penyampaian perkhidmatan mereka dan 'true north' mereka mestilah membantu sebanyak mungkin PKS.
Strategi 3: Membentuk sistem pemantauan bersepadu
Kerajaan perlu bentuk satu portal atau aplikasi khas yang mana semua PKS terlibat dalam permohonan bantuan kewangan bawah PREPR disenaraikan diportal tersebut.
Kerajaan boleh mengarahkan setiap institusi kewangan membekalkan senarai pemohon sebaik permohonan itu dibuat oleh PKS. Inisiatif ini akan membolehkan kerajaan tahu berapa permohonan telah dibuat oleh PKS dan berapa yang berjaya mahupun gagal.
PKS sendiri dan persatuan mereka pula boleh melihat perkembangan permohonan mereka di portal ini. Kerajaan boleh mengambil langkah intervensi segera khususnya jika ada institusi kewangan itu merekodkan kadar kegagalan permohonan yang tinggi.
Strategi 4: Kadar faedah pinjaman rendah
Kerajaan menerusi Bank Negara wajar menurunkan lagi kadar faedah pinjaman daripada 3.5 peratus kepada 1.5 ke 2 peratus untuk sebarang kemudahan kredit yang ditawarkan melalui institusi kewangan ini.
Sekarang bukan masa institusi kewangan mahu kekal menjana keuntungan berbilion atau ratusan juta ringgit tetapi membantu menyelamatkan ekonomi negara.
Runtuh PKS akan membawa kepada runtuhnya ekonomi negara termasuk institusi kewangan. Apa akan berlaku apabila 8 juta rakyat yang berkerja di PKS hilang pekerjaan, mereka tidak akan mampu membayar pinjaman rumah, kereta dan lain-lain dan ini pastinya akan membawa kepada keruntuhan institusi kewangan juga.
Strategi 5: Menbentuk sistem penarafan
Kerajaan wajar memberi penarafan kepada institusi kewangan. Contohnya beri lima bintang kepada yang mesra PKS. Kepada yang rendah penarafan bintang boleh dikenakan 'windfall tax' untuk kadar tertentu atas keuntungan mereka.
Strategi ini dijangka mampu mengubah sikap institusi kewangan dalam usaha mendidik mereka agar lebih komited dalam mendukung inisiatif kerajaan dan memdengar keluhan PKS.
Kesimpulannya, kerajaan perlu peka dan efisien dalam memastikan segala inisiatif yang dilancarkan berjalan seperti disasarkan.
Adalah satu malapetaka kepada kerajaan apabila institusi kewangan terus berada di kayangan dan masih belum turun ke bumi dalam keadaan segenting sekarang ini dalam usaha memahami denyut nadi dan realiti keperitan yang dihadapi oleh PKS dan rakyat. Semoga Covid-19 mampu meningkatkan kesatuan hati seluruh rakyat Malaysia.
**Prof Dr Haim Hilman ialah Profesor Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca