ANDA boleh mengagumi beliau. Anda juga boleh membenci dirinya. Dan anda juga mungkin boleh menghormati jasa-jasanya. Tetapi apa jua perasaan anda yang terbuku di dalam hati, kita tidak dapat menafikan kehebatannya sebagai satu-satunya... Klik di sini untuk terus membaca

ANDA boleh mengagumi beliau. Anda juga boleh membenci dirinya. Dan anda juga mungkin boleh menghormati jasa-jasanya.

Tetapi apa jua perasaan anda yang terbuku di dalam hati, kita tidak dapat menafikan kehebatannya sebagai satu-satunya pemimpin yang pernah bergelar Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali.

Malah, jika disusur galur politiknya, ternyata beliau bukan seorang pemimpin yang mudah mengalah.

Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kertas merupakan seorang negarawan yang unggul. Ibarat kucing dengan sembilan nyawa, Dr Mahathir seorang pejuang yang jarang tumpas dalam karier politiknya yang sudah menjangkau tujuh dekad.

Pernah dipecat daripada UMNO pada tahun 1969, pernah parti yang dipimpinnya diharamkan sehingga memaksa ditubuhkan UMNO Baharu, malah dua tahun lalu beliau berjaya menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama lebih 60 tahun.

Sesungguhnya, tiada badai yang tidak pernah dilalui oleh Dr Mahathir iaitu bekas Perdana Menteri keempat dan bekas Perdana Menteri ketujuh negara. Kini Dr Mahathir pada usia 95 tahun berdepan dengan satu lagi tsunami politik dalam hidupnya.

Parti yang diasaskan Dr Mahathir mengumumkan pemecatan beliau bersama empat pemimpin utama Bersatu lain, sekali gus menjadikan beliau kini ‘bekas’ Pengerusi Bersatu.

Lantas banyak persoalan kini bermain dalam kalangan pemerhati politik. Apakah masa depan Bersatu tanpa Dr Mahathir? Dan ke manakah pula hala tuju politik Dr Mahathir selepas ini? Adakah bersama PKR, DAP, Amanah, Warisan atau menubuhkan parti baharu.

Bagi cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar, Bersatu tanpa Dr Mahathir sudah pasti akan memberi kesan memandangkan beliau merupakan pengasas parti itu dan tidak boleh dinafikan bahawa kekuatan personaliti beliau adalah antara faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Namun bagi Chandra, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri ketika ini juga mempunyai kelebihan kerana sebagai nakhoda Putrajaya, sudah tentu ia memberikan satu kekuatan kepada Bersatu.

Bagaimanapun, Chandra berpendapat Dr Mahathir sebagai pejuang politik tidak akan mudah menyerah kalah dan akan terus melawan. Misinya kali ini mungkin untuk menyasarkan Muhyiddin.

"Mungkin Dr Mahathir melihat Muhyiddin menjadi Perdana Menteri secara tidak adil. Tapi pada hemat saya, peranan Muhyiddin dalam merancang peralihan kuasa ini agak terbatas. Bukan beliau yang merancang, bukan menjadi hasratnya untuk bergelar Perdana Menteri.

"Muhyiddin ialah individu yang mendapat manfaat daripada keadaan yang wujud. Saya melihat, persidangan Raja-raja Melayu yang meletakkan nama Muhyiddin kerana dalam pengamatan Majlis Raja-raja Melayu, Muhyiddin ialah pemimpin yang tidak banyak terlibat kontroversi, selain Malaysia sudah terlalu lama berlegar dalam isu dua pemimpin iaitu Anwar dan Dr Mahathir,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Chandra Muzaffar

Walaupun Dr Mahathir dilihat masih ‘garang’ dalam pertembungan dengan Muhyiddin, namun Chandra berharap tatkala Malaysia sedang bergelut dengan masalah kesihatan dan ekonomi, Dr Mahathir dapat menggunakan pengalaman yang dimilikinya dengan menjadi pemimpin yang menasihati serta bersama-sama Muhyiddin.

"Itu peranan yang paling penting dan rakyat akan lebih menghormatinya. Bila Dr Mahathir bagi gambaran kepada rakyat yang beliau ingin jadi Perdana Menteri kali ketiga, ia satu mesej yang kurang disenangi. Beliau seorang negarawan hebat, saya sedih sekiranya melihat Dr Mahathir pada penghujung karier beliau, diakhiri dengan perkara yang menjejaskan namanya,” kata Chandra.

Sokongan

Sementara itu, menurut penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, apa yang dialami Bersatu hari ini sama seperti yang dilalui UMNO pada tahun 1951 apabila pengasas parti keluar atau digugurkan daripada parti yang mereka tubuhkan sendiri.

Bagaimanapun, katanya, berbeza dengan Datuk Onn Jaafar yang keluar daripada UMNO selepas parti itu tidak bersetuju membuka keahlian parti kepada pelbagai kaum, dalam kes Dr Mahathir, keahliannya terpecat kerana duduk di blok pembangkang pada persidangan Parlimen baru-baru ini.

"Dalam konteks Dr Mahathir dan rakan-rakannya, sama ada mereka sedar atau tidak, memang ada satu istilah dalam institusi Parlimen yang kita ambil dari Britain iaitu dipanggil 'crossing the floor'.

"Istilah itu merujuk, katakan parti kerajaan memerintah tapi ada ahli parti yang duduk di kerusi pembangkang, secara automatik ahli berkenaan terkeluar daripada partinya,” katanya.

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Tambah Mohd Azizuddin, dalam krisis dalaman yang sedang didepani Bersatu kini, beliau tidak melihat parti itu akan berkubur seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak, apatah lagi jawatan Perdana Menteri kini dipegang oleh parti itu.

"Bersatu tanpa Dr Mahathir mungkin tidaklah sampai berkubur. Dulu masa PKR ditubuhkan ada macam-macam krisis juga dan orang kata akan berkubur, PKR masih tetap ada sehingga pernah jadi kerajaan. Cumanya kita tidak dapat nafikan sebagai sebuah parti baharu yang kini sedang berpecah, berpecah pula bukan sedikit, tentunya Muhyiddin memerlukan sokongan daripada BN, Pas dan Gabungan Parti Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, bagi ahli politik veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad yang pernah menjadi menteri dan ahli Parlimen, mengenali Dr Mahathir selama berpuluh-puluh tahun, beliau yakin pemimpin itu tetap tidak akan mudah menyerah kalah dalam karier politiknya walaupun pada usia 95 tahun.

"Mengenali Dr Mahathir, beliau akan terus dan terus bercakap ikut suka beliau. Namun, soalnya kekuatan itu, Dr Mahathir perlu bergantung kepada orang lain. Kalau hanya harap beliau sendiri, tidak ada kekuatan.

"Persoalannya kini, kekuatan itu bergantung juga kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi saya tidak fikir Anwar akan beri sokongan. DAP pula mungkin, sebab DAP mahu kacau (ambil kesempatan) situasi kerajaan Muhyiddin sendiri yang tidak stabil,” katanya.

Shahrir Samad

Bagaimanapun, Shahrir berpendapat, Dr Mahathir sebenarnya masih mempunyai pengaruh dalam Bersatu kerana masih ada pemimpin parti itu yang lebih menyokong beliau.

"Contoh, kalau kita tengok pemimpin UMNO yang awal lompat Bersatu seperti Datuk Mas Ermieyati Samsudin, beliau lebih condong kepada Dr Mahathir.

"Tetapi kalau Datuk Seri Hamzah Zainudin dan rakan-rakannya yang masuk kemudian, mereka mungkin kekal dengan Muhyiddin, sebab misi mereka tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri,” kata Shahrir kepada Sinar Harian semalam.

Namun, Shahrir mengakui dalam situasi semasa hari ini, bukan sahaja di pihak kem Dr Mahathir dan PH tidak stabil, kerajaan Muhyiddin sendiri agak goyah.

"Kekuatan kerajaan sekarang pun adalah kerana pentadbiran awam. Ketua Pengarah Kesihatan, polis, tentera dan agensi awam menjalankan tugas yang baik. "Sekarang negara berpecah, rakyat berpecah, kerajaan pun tidak kuat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca