KUALA LUMPUR- Lapan anggota Geng Bengali yang terdiri daripada warga tempatan dan asing dari India, China, Bangladesh, Indonesia dan Rohingya ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pecah masuk pejabat di Plaza Damansara, Bukit... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR- Lapan anggota Geng Bengali yang terdiri daripada warga tempatan dan asing dari India, China, Bangladesh, Indonesia dan Rohingya ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pecah masuk pejabat di Plaza Damansara, Bukit Damansara, di sini, awal bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, anggota Bahagian Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur menerusi Op Pintu berjaya menahan dua lelaki dan lima wanita di sebuah rumah di Klang, Selangor, Ahad lepas.

Menurutnya, susulan itu seorang lagi lelaki tempatan ditahan di kawasan perumahan flat di ibu negara, semalam.

"Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk pistol, peluru, pisau, telefon bimbit, komputer riba, kamera yang nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM20,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, tiga daripada suspek itu mempunyai 16 rekod jenayah bagi kes mengikut Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 380 KK, dan Seksyen 372B KK.

Siasatan mendapati kumpulan itu aktif sejak tahun lepas dan menyasarkan pejabat dan kediaman sekitar ibu negara dan Selangor untuk dipecah masuk serta melarikan barang berharga yang mudah dijual semula seperti komputer riba, televisyen dan telefon bimbit.

Menurut beliau, berikutan penangkapan ‘Geng Bengali’ ini, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes jenayah di Kuala Lumpur dan Selangor serta kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Kami masih mengesan saki baki ahli kumpulan ini dan orang awam yang mempunyai maklumat individu lain yang turut terbabit dengan kumpulan ini boleh hubungi Gerakan Khas 24 jam JSJ Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2146 0670 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.-Bernama

Klik di sini untuk terus membaca