ANGIN kencang yang sedang bertiup mengenai kedudukan rapuh Kabinet Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya rupa-rupanya turut sampai tempiasnya ke negeri paling selatan Semenanjung Malaysia.
Sama seperti di peringkat Pusat, sejak beberapa hari lalu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Johor juga sudah mula memukul canang mengenai kemungkinan berlaku peralihan kuasa kerajaan di peringkat negeri.
Tersebar desas-desus mengenai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu mungkin beralih arah untuk kembali bersama PH sekali gus mungkin menumbangkan kerajaan negeri di bawah PN.
Sejauh mana benarnya desas-desus tersebut masih gagal dipastikan kerana dalam politik biasanya khabar angin mungkin senjata perang propaganda politik semata-mata.
Mengulas mengenai isu kerajaan negeri Johor yang sudah dua kali bertukar kerajaan dan tiga kali bertukar Menteri Besar, pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Md Akbal Abdullah berkata, seandainya situasi di Johor semakin tidak stabil, Pilihan Raya Negeri (PRN) wajar diadakan bagi membolehkan blok parti politik mendapat mandat rakyat untuk menerajui negeri ini.
Ini kerana dalam keadaan sekarang, katanya, PN Johor dibentuk hasil gabungan ADUN dan bukannya persetujuan antara parti.
"PN dibentuk berdasarkan persetujuan ADUN Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu.
"Justeru, timbul persoalan sejauh mana kekuatan gabungan berdasarkan persetujuan antara mereka (ADUN) ini. Pada pandangan saya, mereka (PN) tidak kukuh. Kerajaan negeri yang dibentuk mungkin bertahan dua atau tiga tahun sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor masih boleh digunakan dengan budi bicara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam menangani isu politik di negeri itu.
"Jika PH mendakwa sudah mendapat sokongan majoriti ADUN, negeri ini masih ada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor. Banyak bergantung kepada budi bicara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.
Macam kartun
Beliau menambah, rakyat sudah tentu mahukan kerajaan negeri yang stabil dan boleh mentadbir. Sebaiknya bukanlah kerajaan negeri yang asyik bertukar-tukar.
"Macam kartun, kalau kerajaan negeri sering bertukar pentadbirannya. Sekejap PH, sekejap PN. Jadi di mana kestabilan yang hendak dinikmati rakyat?” soalnya.
Jelas Md Akbal, beliau melihat serangan politik dibuat PH ke atas PN Johor terutama Bersatu dan isu lompat parti itu tidak lebih sekadar memanaskan keadaan.
"Keadaan politik di peringkat Pusat kini panas, jadi tak mustahil ia terbawa-bawa sampai ke Johor. Tuduhan tentang lompat parti itu meningkatkan lagi suhu politik di Johor,” katanya.
Beliau turut mengulas tentang sokongan ahli-ahli Bersatu di Johor yang dilihat masih belum memberi gambaran sebenar sama ada menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, keadaan itu membuka ruang untuk orang bercakap mengenai PN Johor beralih arah berikutan krisis politik yang terjadi antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.
Ketika ini, DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dengan 14 kerusi masing-masing dimiliki UMNO dan DAP, Bersatu (11), Amanah (sembilan), PKR, (empat), MIC (dua) dan Pas serta Bebas satu kerusi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed melihat ‘kapal’ Bersatu kini bagaikan sedang dilambut ombak kuat berikutan pergolakan di peringkat pusat antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.
Sebagai salah seorang orang lama dalam politik di Johor, Nur Jazlan berpendapat, sekiranya Bersatu gagal menyelesaikan isu ‘rumah tangganya’ dalam kadar segera, mungkin parti itu tidak mampu mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang.
"Bersatu boleh hancur disebabkan oleh perebutan kuasa, apatah lagi timbul dakwaan isu perebutan kuasa ini akan diheret sampai ke mahkamah.
"Bersatu mungkin tidak akan mampu mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Malah ramai pemimpinnya sedang berunding untuk masuk UMNO,” dedah Nur Jazlan yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pulai.
Mengulas mengenai khabar angin peralihan kuasa sekali lagi di Johor, kata Nur Jazlan, PH Johor seakan-akan menidakkan demokrasi dengan percubaan mereka menarik ADUN Bersatu ikut pintu belakang, sedangkan Bersatu pusat telah pun menjalinkan komitmen dalam PH.
"PH Johor takut untuk menyerahkan balik kuasa memilih kerajaan Johor kepada rakyat. Sebab itu mereka masih kembali menggunakan taktik gempur di media sosial untuk memanipulasi rakyat,” dakwanya.
Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang semalam mengenai khabar angin ADUN Bersatu ingin beralih arah gagal selepas beliau tidak membalas sebarang mesej dan tidak mengangkat talian telefon.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim kemudian mengesahkan 11 ADUN Bersatu masih bersatu hati untuk bersama-sama Muhyiddin dan menyokong PN Johor.
"Setakat ini, PN Johor okay, masih kuat. Mungkin sebab kedudukan kerusi PN dan PH tipis (PN 29 kerusi, PH 27 kerusi) sebab itu isu lompat parti digembar-gemburkan.
"Bersatu Johor ada strateginya sendiri untuk kekalkan ADUN Bersatu ini,” katanya penuh yakin.
Bagaimanapun, dengan luahan hati mengejutkan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Salleh yang sanggup membuat pusingan U untuk kembali bersama PH demi survival Bersatu, ia sedikit sebanyak menimbulkan persoalan sejauh mana kesetiaan ADUN Bersatu di Johor.
Adakah akan ada ADUN Bersatu Johor yang mengambil semangat yang sama dengan Shahruddin? Dengan hanya dua kerusi membezakan PN dan PH di Johor, tidak mustahil pelobi-pelobi masing-masing kini giat menjalankan tugas mereka.
Kedudukan kerusi
PN dan PH Johor
PN: 29
PH: 27
Pecahan ikut parti
UMNO: 14
Bersatu: 11
MIC: 2
Pas: 1
Bebas (sokong PN):1
DAP: 14
Amanah: 9
PKR: 4
* ADUN Pemanis daripada PKR, Dr Chong Fat Full keluar PKR menjadi wakil Bebas Mac lalu
Klik di sini untuk terus membaca