PHNOM PENH - Seorang remaja lelaki ditahan kerana disyaki membunuh kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun selepas dipercayai berang apabila dipanggil dengan panggilan 'gay' kelmarin. Ketua Polis Jenayah Wilayah, Kolonel Heng Vuthy berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

PHNOM PENH - Seorang remaja lelaki ditahan kerana disyaki membunuh kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun selepas dipercayai berang apabila dipanggil dengan panggilan 'gay' kelmarin.

Ketua Polis Jenayah Wilayah, Kolonel Heng Vuthy berkata, tertuduh Touch Naly, 19, yang bekerja sebagai petani itu ditahan selepas mereka membuka semula kes kematian kanak-kanak tersebut yang berlaku pada awal tahun lalu.

Difahamkan, Naly tinggal di Kampong Siem, Kien Chrey dan mangsa Srean Sokchea, adalah merupakan jirannya.

Naly didakwa melakukan pembunuhan di bawah Kanun Jenayah Kemboja dan menghadapi hukuman penjara hingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Mejar Noun Socheath berkata, berdasarkan siasatan polis dan pengakuan Naly menunjukkan bahawa pada jam 10 malam (waktu tempatan) Februari tahun lalu, Naly dan Sokchea pergi ke rumah jiran mereka untuk menonton televisyen sebelum Sokchea dikatakan memanggil Naly 'gay' di hadapan jiran lain di rumah itu.

Difahamkan, pada malam tersebut Naly memujuk Sokchea untuk mengikutnya pergi ke sungai di mana dia bertindak menolak kanak-kanak itu ke dalam sungai dan membiarkannya lemas sebelum dia pulang ke rumah.

Mayat Sokchea kemudian ditemui di sungai pada keesokan harinya.

Polis pada mulanya menolak terdapatnya unsur jenayah dalam kejadian itu selepas melakukan pemeriksaan pada mayat mangsa dan menyimpulkannya sebagai kemalangan.

Bagaimanapun, ibu bapa Sokchea dikatakan curiga dengan kematian anak perempuan mereka dan meminta agar kes itu dibuka semula oleh Unit Perlindungan Kanak-kanak, Kementerian Dalam Negeri. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca