SEORANG penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain mendedahkan terdapat perbincangan sedang diadakan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muafakat Nasional bagi membolehkan parti itu kembali menyertai UMNO dalam masa terdekat.
Ahmad Atory berkata, perbincangan itu difahamkan sudah memasuki peringkat lebih serius apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang menimbang kemungkinan memberi laluan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan jawatan itu walaupun beliau kembali menyertai UMNO kelak.
Menurutnya, kesahihan perbincangan itu menjadi semakin kuat apabila Muhyiddin dan Bersatu kini tidak lagi dibayangi oleh bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Walaupun Muhyiddin dipecat daripada UMNO, masih ramai pemimpin menyokong beliau kerana kekuatan hubungan antara mereka.
"Saya turut difahamkan penyertaan Bersatu dalam UMNO akan dimuktamadkan dalam satu majlis Muafakat Nasional meskipun terdapat usaha parti itu mewartakan kolisi Perikatan Nasional ketika ini.
"Mengenai kedudukan Muhyiddin, jika Abdul Hadi dan Ahmad Zahid bersetuju memberi beliau dan Bersatu ruang pengekalan jawatan Perdana Menteri secara konsensus, saya kira itu satu keputusan baik demi kepentingan perpaduan Melayu dan Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Ahmad Atory berkata, kebimbangan Bersatu akan diharamkan Pertubuhan Pendaftar (ROS) sekali gus mengulangi tragedi pengharaman UMNO pada tahun 1987 juga difahamkan menjadi faktor perbincangan penyertaan semula Muhyiddin dan Bersatu dalam UMNO yang giat dijalankan.
Menurutnya, ada sebahagian pemimpin kerajaan Perikatan Nasional bimbang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri tanpa parti jika Dr Mahathir menggerakkan usaha mengharamkan Bersatu sebagaimana dilakukan terhadap UMNO sebelum ini.
"Sekiranya perkara itu berlaku, saya fikir tidak salah pemimpin UMNO dan Pas berlapang dada menerima Muhyiddin menjadi Perdana Menteri mewakili blok UMNO.
"Mereka harus bersikap mengenang budi terhadap jasa Muhyiddin yang mempelawa mereka membentuk kerajaan Perikatan Nasional. Paling penting, segala kepentingan politik peribadi perlu diketepikan demi menjaga kepentingan bangsa dan agama,” katanya.
Politik bumiputera
Ahmad Atory turut berharap sesi perbincangan itu mengambil kira kepentingan mengekalkan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 11 ahli Parlimen yang menyokongnya dalam kerajaan.
Menurutnya, keupayaan Mohamed Azmin memainkan peranan penting mendapatkan kembali kuasa mentadbir kerajaan daripada tangan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipandang sepi.
"Bahkan, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO dan Muafakat Nasional tidak boleh menolak peranan Muhyiddin dan Mohamed Azmin kerana kedua-duanya masih mempunyai pengaruh penting dalam politik negara. Kena ada budaya mengenang jasa,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim ketika dihubungi enggan membuat sebarang pengesahan terhadap spekulasi itu.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat pemikiran dan usaha dilakukan pemimpin beberapa parti Melayu bagi merealisasikan ‘percantuman’ tersebut di peringkat nasional ketika ini.
Menurutnya, sebarang perundingan untuk mengukuhkan bangsa Melayu dan Islam harus diterima rakyat sebagai satu realiti yang amat mendesak.
"Kepentingan, keperluan dan penyatuan bumiputera amat mendesak dan jika pengakuan realiti tidak diterjemahkan segera, orang Melayu akan tergantung sebagai pewaris negara yang hilang kuasa.
"Dalam aspek perjuangan DAP dengan Dr Mahathir, kita lihat aspek kemelayuan tidak lagi menjadi satu tongkat atau perjuangan asas dengan generasi Melayu yang berkelulusan pada masa hadapan tidak lagi berfikir pasal Melayu, sebaliknya lebih teruja akan arus kemodenan.
"Justeru, usaha mencantumkan tenaga sekutu sangat baik, asalkan proses penguatkuasaan undang-undang wajib berjalan tanpa campur tangan politik di peringkat mahkamah,” katanya.
Rais juga enggan menentukan sejauh mana proses ‘percantuman’ parti Melayu itu akan dapat direalisasikan untuk satu tempoh masa tertentu.
Bagaimanapun, Rais mengakui usaha itu sangat dialu-alukan kerana beliau lebih berminat kepada kesungguhan menjadikan politik bumiputera realiti kepada pembangunan ekonomi Melayu dan Islam pada masa hadapan.
"Lagi segera orang Melayu bersatu, lebih baik kerana pada saat ini kita tidak lagi perlu bersikap apologetik untuk tuntut hak Islam dan Melayu.
"Lagipun, sebagai pengamal undang-undang, saya melihat perlembagaan parti Bersatu dengan UMNO sebenarnya tidak banyak beza. Jadi, kita harapkan yang terbaik akan berlaku kelak,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca