TANAH runtuh adalah ancaman kepada kesejahteraan hidup manusia dan harta benda di negara ini. Umumnya, tanah runtuh merupakan satu kejadian geologi yang melibatkan sebahagian besar pergerakan tanah, jatuhan batuan atau cantuman daripada keduanya.
Walaupun graviti yang bertindak pada cerun curam merupakan punca utama tanah runtuh, terdapat faktor tambahan lain, iaitu faktor alam dan juga faktor manusia.
Faktor alam berkaitan dengan jenis bahan dan ketebalan, geomorfologi dan pemendakan manakala faktor manusia pula termasuklah pengubahsuaian cerun bagi tujuan pembangunan infrastruktur, lebuh raya dan perumahan, pengubahsuaian saliran dan pemindahan tumbuh-tumbuhan, namun hujan dianggap sebagai faktor pencetus utama kepada kejadian tanah runtuh.
Peningkatan kes bencana tanah runtuh di negara ini kebiasaannya berlaku pada cerun buatan manusia, terutamanya cerun potong dan cerun tambakan yang berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, jalan raya, empangan dan kawasan penempatan baharu.
Rekod Jabatan Kerja Raya (JKR) menunjukkan antara tempoh tahun 1961 hingga 2007, sebanyak 441 kejadian tanah runtuh berlaku di Malaysia dengan jumlah korban 577 atau purata 12 orang setahun. Malahan, jumlah kerugian ekonomi bagi kes-kes tanah runtuh yang dilaporkan dari 1973 hingga 2007 adalah amat tinggi, iaitu dianggarkan RM3.0 bilion.
Bukit Antarabangsa dan sekitarnya adalah penempatan di atas perbukitan yang terletak di bahagian hulu kepada Sungai Klang yang kebanyakannya terdiri daripada perumahan rumah tunggal atau banglo, rumah teres dan apartmen atau kondominium.
Berdasarkan fotograf udara terawal yang diperoleh pada tahun 1966, sejarah guna tanah di Bukit Antarabangsa dapat dikesan bermula sebelum tahun 1960-an lagi.
Bencana
Kawasan Bukit Antarabangsa sering dikaitkan dengan fenomena kegagalan cerun. Antara tahun 1993-2008, sekurang-kurangnya 21 kejadian tanah runtuh direkodkan di sekitar kawasan Hulu Kelang.
Antaranya tragedi Highland Towers (berlaku tahun 1993), sekitar Kondominium Athenaeum Peak dan Wangsa Height (berlaku tahun 1999), Taman Hillview (berlaku tahun 2002) dan Taman Bukit Mewah (berlaku tahun 2008).
Seterusnya, pada Disember tahun 2019, sebuah banglo di Jalan Kelab Ukay 2 diarahkan untuk dirobohkan susulan berlaku pergerakan tanah yang serius.
Kejadian terbaharu adalah pada bulan Mei tahun 2020 di Taman Kelab Ukay, juga berpunca daripada pergerakan tanah akibat hujan yang berterusan. Bencana ini menjejaskan tujuh rumah membabitkan kira-kira 40 penghuni.
Kesemua tanah runtuh ini didapati berlaku di sekitar kawasan perbukitan yang memanjang dalam lingkungan 1.8km di sekitar Bukit Antarabangsa di Hulu Kelang.
Kawasan ini menjadi pilihan golongan tertentu untuk dihuni mereka yang memiliki taraf ekonomi dan sosial yang tinggi kerana kawasan tersebut khususnya di kawasan lereng, cerun dan tanah tinggi dianggap berprestij.
Lantaran mereka membeli dan membina kediaman mewah di kawasan tersebut sedangkan dalam tempoh jangka panjang jangka panjang ianya ibarat bom jangka yang boleh 'membunuh diri dan ahli keluarga'.
Apabila wujud permintaan tinggi, maka pihak pemaju sebagai golongan kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan berlumba-lumba membina kawasan perumahan di situ.
Pemaju perumahan melobi untuk memajukan cerun skala 3 dan skala 4 dengan alasan akan menggunakan teknologi penampan cerun yang terkini.
Atas alasan tersebut, cerun bukit ditarah secara melampau malahan pokok-pokok yang menjadi pasak bumi dan rumput tutup bumi tidak dijaga dengan rapi.
Pihak kerajaan Selangor pula tidak boleh membatalkan kontrak pembangunan yang diberikan kepada pihak pemaju kerana ia membabitkan implikasi undang-undang.
Bukit Antarabangsa adalah kawasan yang bertopografi berbukit bukau, dicirikan iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun dan mempunyai jumlah hujan tahunan sebanyak 2500 sehingga 3000mm.
Keadaan ini menyebabkan cerun di situ tidak mampu mengawal dan menyokong kekuatan tapak bagi sebarang pembinaan.
Menurut Muhammad Barzani et al, (2011), secara keseluruhannya, keadaan cerun di kawasan Bukit Antarabangsa dianggap kurang stabil (fragile) disebabkan keadaan struktur geologinya yang lemah seperti kawasan bertopografi tinggi, kemiringan cerun yang besar dan kandungan ketakselanjaran yang tinggi.
Kajian mendapati kesemua sampel tanah di situ mempunyai kadar keplastikan tinggi serta berkecenderungan untuk berlakunya runtuhan di masa hadapan. Natijahnya, kawasan ini adalah satu contoh yang mana aktiviti manusia turut menjadi punca penyebab tanah runtuh yang utama!
* Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca