PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor berusaha keras dalam memastikan kebajikan barisan pegawai dan pemain akan keadaan terjaga dan dibela ketika menempuhi detik sukar pandemik Covid-19.
Itulah yang diakui Raja Muda Selangor (RMS) merangkap Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah, baginda memahami kesulitan yang dialami kesemua pihak khususnya pasukan Selangor selepas Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan sejak 18 Mac lalu.
Tengku Amir Shah yang sedang mengkaji program kecergasan efektif buat Gergasi Merah turut berharap pasukan akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Titah baginda, sikap saling bekerjsama dan tolong-menolong antara satu sama lain menjadi elemen penting buat Selangor dalam menempuhi detik sukar pandemik Covid-19 ketika ini.
"Saya berdoa agar semua kakitangan dan ahli keluarga dalam keadaan sihat sejahtera dan terpelihara daripada sebarang jangkitan wabak Covid-19. Walaupun kita semua tidak sabar untuk turun ke padang untuk memulakan latihan, namun perhatian yang secukupnya perlu diberikan kepada garis panduan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa.
"Di samping itu, saya berharap agar barisan kejurulatihan mengambil peluang ini untuk menganalisa corak permainan dan menyediakan program-program latihan untuk para pemain berlatih dan mengekalkan tahap profesional yang tertinggi ketika menjalankan latihan di mana jua mereka berada,” titah baginda kepada Sinar Harian kelmarin.
Tengku Amir Shah turut berharap pandemik Covid-19 tidak akan mematahkan semangat skuad kendalian B Sathianathan dalam usaha memburu trofi kejuaraan musim ini.
"Harapan saya agar pasukan Selangor memberi yang terbaik dalam persaingan Liga Super dan Piala Malaysia yang telah dipendekkan. Sasaran utama musim ini adalah bagi melayakkan diri ke peringkat Asia. Ini dapat dicapai jika mendapat tempat pertama atau kedua Liga Super atau menjuarai Piala Malaysia.
"Walaupun terpaksa berjauhan dan menonton dari rumah, saya yakin semua penyokong Selangor akan terus memberi sokongan penuh kepada para pemain bagi mengecapi sasaran pada tahun ini,” titah baginda.
Sebagai rekod, FAS tidak melaksanakan pemotongan gaji pegawai dan pemain pada Mac dan April lalu, namun melakukan sistem berkenaan bermula bulan lalu. Di bawah penstrukturan semula skim gaji tersebut, terdapat sedikit perubahan mengikut skala pemotongan gaji selepas persetujuan dicapai daripada semua pihak.
FAS turut menunjukkan profesionalisme dengan menyediakan pelan kewangan berdasarkan sasaran bajet bermain tanpa penyokong dan juga dengan kehadiran penyokong sehingga hujung tahun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula memberitahu, pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama selain memiliki hubungan cukup baik dengan pihak pengurusan juara 33 kali Piala Malaysia itu.
Senada dengan Tengku Amir Shah, Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor akan berusaha keras untuk membantu Gergasi Merah dalam menghadapi pandemik Covid-19.
"Kerajaan negeri sentiasa komited dengan pembangunan sukan bola sepak di Malaysia. Kita akan lihat pada keperluan dan akan berbincang dengan FAS dari masa ke masa untuk memastikan kebajikan dan nasib para pemain dan pasukan terus terbela akibat bencana Covid-19,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca