KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) terpaksa berdepan dengan cabaran wabak Covid-19 sejak tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun, tempoh tiga bulan yang terpaksa dilalui dengan penuh sabar itu nampaknya mula membuahkan hasil apabila pandemik yang... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) terpaksa berdepan dengan cabaran wabak Covid-19 sejak tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun, tempoh tiga bulan yang terpaksa dilalui dengan penuh sabar itu nampaknya mula membuahkan hasil apabila pandemik yang melanda seluruh dunia itu berjaya dikawal.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, rakyat berpuas hati dengan kerajaan yang ada pada ketika ini dan tidak minat dengan kerajaan yang terlalu berpolitik. Sebaliknya, rakyat mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil dan boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cara yang bijaksana, sederhana dan berhemah.

Beliau mengupas perkara itu ketika wawancara dalam program Sinar LIVE Khas bersama moderator Sinar TV, Haslina AR Kamaludin di Kompleks Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

SINAR HARIAN: Selepas tiga bulan menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, apakah hala tuju dan pembaharuan yang ingin Datuk laksanakan?

SAIFUDDIN: Saya baru tiga bulan dan kalau tiga tahun pun, saya tidak boleh berlagak macam menteri tahu semua benda dan pandai sangat. Dari awal saya mengatakan bahawa kita harus ada keseimbangan antara kesinambungan apa-apa yang telah dilaksanakan selama ini. Apa yang baik diteruskan dan pada masa sama, harus ada sedikit sebanyak pembaharuan. Jadi dari segi misi, visi, kesalinghubungan, internet dan kreativiti, keselamatan siber, penerangan penyiaran, dasar-dasar fundamental itu diteruskan namun kita harus ada beberapa pembaharuan.

Misalnya dari segi objektif spesifik, di bawah Finas, haruslah ada sasaran untuk filem Malaysia menang Oscar. Saya tahu bunyinya macam menggunung tetapi haruslah berbukit dulu dan sebagainya. Bunyi menggunung tetapi berbukit. Kalau busut pun tak nampak, tak ada ini. Ada beberapa komponen dalam kerja di kementerian yang harus diperteguhkan.

Sebagai contoh, kita dilantik untuk menggerakkan pasukan petugas ekonomi digital. Saya sebagai Pengerusi dan Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) sebagai pengerusi bersama. Kemudian saya akan mulakan satu lagi pasukan industri kreatif, saya sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Pengerusi bersama.

Itu adalah antara dua komponen utama yang kita nak gerakkan terutama semasa dan selepas Covid-19 namun, saya memperkenalkan satu matlamat (bukan matlamat baharu) yang merangkumkan semua. Saya pilih perkataan Melayu yang orang jarang guna iaitu cendekia. Kita harus memacu kecendiakaan dalam masyarakat supaya kita meraikan kecendekiawanan rakyat dalam menggunakan perkhidmatan yang tawarkan.

Saifuddin Abdullah

Apakah bentuk bantuan yang dapat kerajaan berikan untuk membantu media terutama media cetak?

Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bakal mengumumkan pakej pemulihan ekonomi. Saya tidak pasti sama ada dalam pakej itu ada atau tidak, perancangan pelan khusus untuk industri cetak. Tetapi saya telah berbincang dengan teman-teman di kementerian dan dalam dunia kewartawanan, apa yang boleh dibantu. Misalnya kita harus melihat semula percukaian. Kalau pun kita tidak boleh bantu dalam bentuk kewangan dan sebagainya tetapi kita mungkin boleh lihat soal percukaian import bahan cetak dan beberapa cukai yang lain.

Bagaimana kerajaan menangani penyebaran berita palsu ketika pandemik Covid-19?

Kita tidak mempunyai statistik yang terlalu spesifik tetapi yang nyata ialah penularan berita palsu pada zaman Covid-19 ini macam melonjak. Ada beberapa perkara yang kami cuba tangani, yang pertama dari segi undang-undang.

Saya rasa ada hampir 20 pendakwaan di mahkamah, ada yang daripada SKMM dan PDRM. Ada kes yang tertuduh mengaku bersalah dan sebagainya, itu banyak kes polis. Ini mengambil masa. Bila saya lihat tular berita palsu ini, saya tubuhkan satu pasukan dipanggil Pasukan Respon Pantas (PRP). Sehingga 31 Mei, kita sudah respons kepada lebih 320 pemakluman yang kita keluarkan pagi dan petang untuk menerangkan berita-berita yang tular. Kebanyakan yang kita jelaskan ialah yang tular berkaitan dengan KKM, PDRM, pihak berkuasa.

Katakanlah hospital tutup, kes orang Covid (pesakit) lari, memang ada kes lari tapi sesetengah kes itu tidak betul. Itu yang kita kata pemakluman tentang berita palsu. Ia menyedihkan dalam suasana kita harus berkongsi berita benar tetapi ada kalangan rakyat kita yang masih menularkan. Sebab itu kita ada kempen, kalau tidak pasti jangan kongsi.

Apakah perasaan Datuk apabila banyak berita palsu yang menimbulkan sentimen perkauman?

Saya fikir mana-mana rakyat Malaysia yang prihatin mesti rasa sedih kerana Covid-19 tidak mengenal agama, bangsa dan umur boleh kena sesiapa sahaja.

Pada peringkat awal dulu, kerisauan kita memang tinggi terutama apabila cerita Covid-19 ini datang dari China. Macam-macam yang tular menggunakan perkataan tidak senonoh, sekarang nampak sudah kurang.

Tetapi itu perlu dielakkan, saya harap ia tidak berlaku lagi. Ini pun ada kes yang memang sudah didakwa tetapi nampak sekarang reda, sesekali itu ada. Saya harap rakyat Malaysia dapat berfikir dengan waras, tularkan yang baik-baik. Sebab itu, kami buat kempen contoh tanda pagar komunikasi kita, yang positif itu kita tularkan.

Sebelum wujudnya Covid-19, bagaimana situasi penularan berita palsu berkaitan perkauman?

Antara masalah utama politik Malaysia adalah perkauman. Jadi ia sudah menjadi perkara lazim bagi sesetengah pihak. Ini yang harus diperangi habis-habisan. Kaedahnya tentulah panjang dan mendalam. Salah satu daripada seninya adalah demokrasi Malaysia yang berbagai kaum dan moderat. Andainya kita ada kefahaman sedemikian, saya kira kita boleh kurangkan politik perkauman.

Datuk sering menyebut tentang kerangka governance baharu, boleh Datuk jelaskan?

Saya dari dahulu lagi percaya bahawa hari di mana kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir. Jadi harus ada kerjasama akrab antara tiga sektor utama iaitu kerajaan, perniagaan atau sektor swasta dan masyarakat sivil termasuk orang muda, pekerja, profesional, pemikir, media dan sebagainya.

Kena ada kerjasama yang akrab dan perundingan yang formal antara ketiga-tiga kumpulan. Istilahnya macam-macam seperti sektor, pemegang taruh atau pihak berkepentingan. Kalau boleh biar dalam semua bidang di setiap peringkat dari nasional hingga ke akar umbi.

Saya masa dalam gerakan belia dulu, kita ada majlis perundingan belia dan kerajaan sebelum ini pun ada majlis perundingan ekonomi dan sebagainya. Semasa saya menjadi Ahli Parlimen Temerloh, kita mempunyai majlis perundingan Temerloh dan sekarang kita ada Majlis Perundingan Indera Mahkota.

Masa Kementerian Luar, kita ada majlis perundingan juga dan 9 Jun ini, saya akan adakan mesyuarat pertama Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia untuk pasukan bertugas industri kreatif. Ekonomi digital pun konsep yang sama, nama boleh berbeza, boleh panggil panel, pasukan bertugas, tapi yang penting ketiga-tiga sektor itu mesti dibawa bersama dalam struktur dan proses yang formal.

Saifuddin (kiri) ketika diwawancara di Kompleks Karangkraf, Shah Alam semalam.

Datuk telah membatalkan penggunaan spektrum jalur frekuensi 700MHz, iaitu jalur spektrum perintis bagi pelaksanaan rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G) negara. Boleh Datuk jelaskan?

Kita nak buat dengan cara lebih baik supaya ada bidaan dan vendor lebih telus dan semua pemain mendapat peluang yang saksama. Di sinilah timbul soal, misalnya, kita ada jumlah syarikat telekomunikasi yang agak besar untuk sejumlah penduduk yang agak kecil apabila dibandingkan dengan negara lain. Sekali lagi soal keutamaan. Apakah keutamaan kita ketika ini 5G atau pun kesalinghubungan? Kita lihat kembali supaya apabila diadakan semula atau spektrum jalur frekuensi 700MHz ini dianugerahkan atau diberikan semula dengan cara yang lebih telus.

Bagaimana Datuk melihat prestasi Perikatan Nasional (PN) ketika ini?

Tanya saya, bagus belaka. Saya tidak akan dapat memberi jawapan yang tidak bias. Itu harus tanya kepada rakyat, orang atas pagar, orang biasa dan mungkin kalau ada survey, saya fikir itu lebih baik daripada apa yang saya hendak cakap ini.

Cuma saya mengambil contoh bagaimana kita mengendalikan Covid-19. Ini soalan saya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah malam tadi (kelmarin). Kita nampak seperti berjaya berbanding negara lain dan ini memang ada artikel yang ditulis orang lain (bukan saya) yang membandingkan kita dengan negara jiran, Amerika, Itali dan lain-lain.

Tapi saya kena mengaku yang saya bias, tetapi ada dua perkara yang disebut Noor Hisham yang membezakan kita dengan orang lain, yang menjadi faktor kejayaan pengendalian Covid-19 oleh kerajaan PN. Yang pertama ialah kalau seorang itu memang telah disahkan positif, dia terus dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Ada waktunya kita siap jemput dengan ambulans.

Yang kedua ialah kuatkuasakan kuarantin. Misalnya, kalau balik dari luar negara, kita periksa dan letak kuarantin selama 14 hari. Bukan di rumah tapi di tempat tertentu. Pokoknya, ia dua kaedah yang tidak dilakukan oleh semua negara hatta oleh negara yang maju sekali pun dan ini adalah antara faktor utama kejayaan kita mengendalikan Covid-19. Bagi saya ini satu indikator yang mustahak.

Adakah dengan isu Covid-19 itu, PN mampu terus mentadbir negara?

Hal ini akan ditentukan oleh rakyat dan ini hanya diketahui apabila adanya pilihan raya umum. Tetapi pada saya ialah pokok pangkal, selamanya saya lihat rata-rata rakyat berpuas hati dan tidak minat sangat dengan terlalu banyak politik. Rakyat nak lihat sebuah kerajaan yang stabil dan boleh menyampaikan apa-apa yang boleh disampaikan kepada mereka dengan cara yang bijaksana, sederhana dan berhemah. Setakat yang kami cuba buat, itulah yang kami lakukan. Tetapi sekali lagi saya katakan, saya tidak boleh mendakwa kerana saya dalam kerajaan maka saya berperasaan semuanya nampak baik.

Pada PRU-14, rakyat meletakkan PH sebagai kerajaan. Namun sekarang, kelihatannya bukan rakyat yang menentukan kerajaan sebaliknya 222 ahli Parlimen itu sendiri?

Saya melihat debat yang hangat ini dan bagaimana penghujahannya di sampaikan oleh pihak-pihak yang berbeza-beza. Misalnya, ada yang menyatakan kalau dikumpulkan jumlah yang mengundi Pas dan UMNO maka sekian-sekian banyak berbanding dengan jumlah undi yang dikumpulkan untuk mereka yang mengundi PH, itu satu penghujahan.

Ada satu lagi penghujahan yang menyatakan dalam sistem demokrasi Malaysia di mana pilihan raya itu keputusannya ditentukan dengan first past the post ada waktunya yang menang itu bukannya majoriti. Sebagai contoh, di satu kawasan pilihan raya ada tiga orang calon. Calon A dapat 40 peratus undi, calon B dapat 30 peratus dan calon C dapat 30 peratus.

Saifuddin (kiri) ketika diwawancara di Kompleks Karangkraf, Shah Alam semalam.

Jadi yang menang itu (calon) mendapat 40 peratus tetapi kalau bercampur pula B dan C, maka yang itu menang. Jadi saya fikir hujah ini tidak akan berakhir. Yang boleh mengakhirkan mungkin, kalau ada undang-undang yang melarang ahli Parlimen daripada melompat parti, mungkin. Mungkin itu satu daripada kaedah untuk menghentikan bukan perbuatannya tetapi perdebatannya kerana tidak ada jaminannya perkara ini tidak akan berlaku dan di sesetengah negara lain sekali lagi saya tidak mengatakan ini mesti betul dan ini mesti salah.

Ada sesetengah negara di Barat, rundingan kerajaan itu tidak berlaku sebelum pilihan raya tetapi selepas pilihan raya dan dalam situasi sedemikian itulah sistemnya tidak sama dengan kita. Saya menyatakan penghujahan ini boleh datang dalam pelbagai sudut dan tiada pengakhirannya. Saya lebih berminat untuk berhujah mencari bagaimana kita cuba meredakan, menghentikan atau meminimumkan perkara sedemikian dan mungkin salah satu daripada caranya ialah mengadakan, mewujudkan undang-undang yang tidak membenarkan seorang wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Rakyat daripada melompat parti.

Perang psikologi Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional

Perikatan Nasional diuar-uarkan sebagai kerajaan pintu belakang yang tidak sah dari sudut moral. Apakah kunci PN menghadapi perkara ini?

Pada saya, PN itu hanya nama yang digunakan buat masa ini. Pokok pangkalnya ialah kerajaan mesti melaksanakan tugas dan amanahnya itu dengan sebaik-baiknya demi untuk manfaat rakyat, dan kita berdoa mudah-mudahan dapat berkat daripada itu dan kerajaan yang seumpama ini walau apa pun namanya, ia tidak bolehlah nak berlagak pandai, ia tidak bolehlah nak kata ia yang terbaik. Saya sudah sebutkan di mana hari-hari kerajaan adalah segalanya, mengetahui segala-galanya, sudah berakhir lama.

Apakah perasaan Datuk apabila Datuk sendiri dituduh sebagai pengkhianat?

Tiada orang yang berfikiran waras yang tidak berasa sedih apabila dituduh sedemikian tetapi sekali lagi definisi yang perlu digunakan, situasi dan konteksnya dan saya fikir kalau kita benar-benar melihat persoalan politik yang sedemikian itu, sejarahnya ada juga sebelum ini.

Jadi kalau kita nak menuduh itu biarlah kita berlaku adil bahawa insiden hampir sama walaupun tidak 100 peratus pernah berlaku sebelum ini. Saya tidak menolak bahawa mereka yang menuduh itu ada kewajaran. Itu hak mereka dan saya kena tanggunglah apa sahaja perbuatan saya tetapi kita hendaklah berlaku adil dan itu menjadi penyebab lagi satu, mengapa kerajaan sedia ada tidak bolehlah berlagak, tunjuk pandai tetapi kita perlu rendah diri.

Ketika bersama PH, Datuk juga dilihat berada di barisan hadapan menolak UMNO dan sekarang ketika bersama PN bekerjasama dengan UMNO pula. Bagaimana kerjasama ini boleh terjalin?

Ya saya keluar daripada UMNO tetapi suasana pada waktu kebelakangan ini menyebabkan harus bekerjasama dengan UMNO. Jadi ada beza berada dalam UMNO dan berada di luar UMNO serta bekerjasama dengan UMNO. Saya fahamlah saya cakap apa pun orang tidak bersetuju tetapi pada saya kita harus juga belajar daripada pengalaman yang berlaku sebelum ini bahawa apabila kita menjadi kerajaan kita tidak boleh angkuh dengan rakyat, kalau kita jadi menteri menjaga kewangan, berkaitan dengan ekonomi dan sebagainya kita tidak boleh ambil sikap berjauhan dengan golongan peniaga dan sebagainya. Jadi orang memerhati kita.

Adakah itu bermaksud kerajaan PH gagal?

Kalau tidak gagal kami tidaklah jatuhkan PH. Kalau tanya saya, memang saya jawab begitu. Untuk berlaku adil, kalaulah kebanyakan perkara yang diharapkan kerajaan, diharapkan rakyat kepada kerajaan dan PH mampu melaksanakannya saya fikir kita tidak perlu berada dalam suasana sekarang. Kejatuhan PH disebabkan ‘pergelutan’ dalam PH itu sendiri yang menyebabkan Dr Mahathir melepaskan jawatannya Februari lalu dan adakah kegagalan PH menyelesaikan masalah dalam menjadi punca PN wujud dan seterusnya melantik Muhyiddin.

Bagaimana Datuk melihat usaha-usaha yang giat dilakukan untuk menjatuhkan PN selepas dilabelkan sebagai kerajaan tidak diiktiraf rakyat?

Ada beza antara psywar (perang psikologi) dengan perkara yang sebenarnya berlaku. Saya melihat sebahagian daripada apa yang disebutkan itu diungkapkan oleh golongan tertentu tidak lebih daripada psywar. Pada saya beginilah, demokrasi Malaysia membenarkan untuk undi tidak percaya. Mana-mana demokrasi pun membenarkan untuk mengkritik kerajaan. Menjatuhkan kerajaan itu perkara yang berbeza.

Soal keabsahan kerajaan dipimpin Muhyiddin ini harus dilihat dari dua sudut. Kalau kita hendak kata kita tidak setuju, kalau setuju tidak timbullah. Kalau kita tidak bersetuju cara kita menyebut pun harus ada, mengikut Perlembagaan. Saya bagi contoh, kalau kita kata pada hari ini kerajaan yang dipimpin Muhyiddin tidak mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat itu pada saya adalah penghujahan yang sah cuma belum dibuktikan.

Macam mana hendak membuktikannya ialah mestilah dengan membawa usul undi tidak percaya di dalam dewan Parlimen. Itu dibenarkan dalam demokrasi, yang harus berhati-hati ialah kalau kita kata ‘at that material time’ ketika Muhyiddin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai majoriti. Itu lain, itu anda mempersoal Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menyampaikan cenderahati kepada Saifuddin semalam.
Klik di sini untuk terus membaca