KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha pakaian tampil kreatif menghasilkan baju edisi khas dinamakan 'lockdown' Aidilfitri hingga mendapat perhatian ramai di laman sosial.
Ahmad Amirul Hanis Maszronumur bersama rakannya mencuri tumpuan setelah baju hasil perbincangan mereka, 'laku keras' di pasaran kerana keunikan rekaannya.
"Sebenarnya, rekaan ini lebih kepada luahan perasaan memandangkan sambutan Aidilfitri tahun ini tidak semeriah dahulu susulan wabak koronavirus (Covid-19), jadi kami terjemahkan dalam bentuk rekaan.
"Pada rekaan ini, terdapat sebuah van yang mana menampakkan simbolik 'old school'.
"Selain itu terdapat juga watak kartun lelaki memakai baju Melayu bersama pelitup muka sambil membawa lemang, ketupat yang memberi kelainan pada rekaan ini. Ada juga perkataan 'No' balik kampung. Kami juga menggunakan meriam buluh sebagai simbol memerangi Covid-19," katanya.
Bercerita lanjut kepada Sinar Harian, lelaki berusia 32 tahun ini telah berjinak dalam dunia perniagaan pakaian lebih dari tiga tahun sebagai pembantu di ekspo-ekspo dan Uptown sekitar Kuala Lumpur.
Siapa sangka, kini Ahmad Amirul sudah memiliki sebuah kedai di Taman Komersial Pandan Indah yang mula operasi pada Mac lalu.
Katanya, pelbagai cabaran telah ditempuhi sejak mula menceburi diri dalam perniagaan namun semua itu langsung tidak melemahkan semangat untuk terus mengejar kejayaan.
"Saya memang sepenuh masa berniaga sejak tamat sekolah sampai sekarang. Bermula dengan membantu bos berniaga di ekspo seluruh Malaysia, sehingga berjaya mengumpul modal dan bergerak sendiri meniaga di beberapa Uptown sekitar Kuala Lumpur.
"Pada tahun 2017 saya bersama seorang rakan bertekad untuk membuka kedai percetakan pakaian bagi mengembangkan perniagaan pakaian lelaki dan perempuan," katanya.
Menurutnya, berbekalkan modal daripada simpanan sendiri, kini beliau telah memiliki beberapa peralatan percetakan pakaian teknik sublimation.
"Teknik sublimation salah satu teknik yang menggunakan haba dalam proses untuk memindahkan sesuatu imej dari kertas sublimation atau kertas inkjet.
"Dari segi hasil pula, teknik ini akan menghasilkan produk yang lebih menarik," jelasnya.
Difahamkan, jualan baju 'lockdown' Aidilfitri telah terjual lebih 1,000 helai sejak 18 Mei lalu dan kini, perniagaan Ahmad Amirul terus melangkah setapak lagi dengan menghasilkan baju petugas barisan hadapan yang pastinya mencuri hati para pelanggan.
Terdahulu, baju 'lockdown' Aidilfitri viral di laman sosial kerana rekaannya unik apabila mempertaruhkan perincian sambutan Hari Raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksana.
Netizen tidak melepaskan peluang membeli baju tersebut sebagai tanda kenangan dan simbolik bagi memperingati sambutan Hari Raya yang cukup berbeza dari tahun sebelumnya.
Klik di sini untuk terus membaca