Mengikut kajian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2017, sebanyak 75 peratus warga kerja di negara ini tergolong dalam kumpulan terancam dan mudah terdedah kepada krisis ekonomi seperti pandemik koronavirus (Covid-19). Mereka memiliki... Klik di sini untuk terus membaca

Mengikut kajian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2017, sebanyak 75 peratus warga kerja di negara ini tergolong dalam kumpulan terancam dan mudah terdedah kepada krisis ekonomi seperti pandemik koronavirus (Covid-19).

Mereka memiliki kuasa membeli yang rendah selain kurang berupaya menangani masalah kenaikan kos sara hidup, terutama sewaktu berdepan krisis ekonomi yang berlaku sekarang.

Kajian itu mendedahkan bahawa warga kerja kita mempunyai duit simpanan yang hanya cukup untuk menyara kehidupan tidak lebih daripada satu minggu andainya mereka hilang sumber pendapatan seperti dipecat atau diberhentikan kerja.

Berdasarkan konsep gaji minimum yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mac 2018, seseorang pekerja mesti mendapat gaji RM2,700 sebulan (bagi seorang bujang di Kuala Lumpur) untuk terus hidup selesa.

Sekiranya dia sudah mendirikan rumah tangga dan ada anak kecil, pekerja berkenaan memerlukan gaji yang lebih tinggi lagi, setidak-tidaknya sekali ganda daripada gaji sekarang.

Rapuh

Mengikut Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang, 60 peratus isi keluarga di negara ini kini hidup tanpa gaji minimum. Ini bermakna mereka tidak menikmati standard kehidupan yang normal. Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara pada Februari lalu, skim gaji warga kerja kita pun bukanlah sesuatu yang kita boleh banggakan.

Covid-19 kini membuktikan ekonomi negara kita ini amat rapuh. Sektor perniagaan dan sektor ekonomi perlu distruktur semula agar lebih mesra pekerja sementara warga kerja kita lebih berdaya tahan.

Menurutnya lagi, hanya RM2.2 bilion iaitu 16 peratus daripada RM13.8 bilion yang disediakan di bawah Skim Insurans Pekerja Perkeso telah diluluskan untuk membantu subsidi gaji dua juta pekerja yang bekerja dengan 267,752 majikan.

Selain masalah gaji minimum, terdapat juga satu masalah lain iaitu isu 'kurang pekerjaan'. Masih ramai warga kerja kita tidak menikmati kerja minimum 120 jam sebulan, iaitu tahap pekerjaan penuh (full employment).

Tambah Azlan, skim bantuan subsidi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini sebenarnya tidak dilakukan berasaskan undang-undang tertentu, berbeza dengan situasi di negara lain, yang telah segera melaksanakan undang-undang khas Covid-19 sebelum melancarkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing.

Teguran Azlan ini selari dengan pandangan saya dalam Sinar Ahad pada 3 Mei lalu di bawah tajuk 'Perlukah Ada Akta Bantuan Covid-19?', di mana saya katakan bahawa antara contoh terbaik undang-undang khas Covid-19 ialah Akta Bantuan Koronavirus, Relief dan Sekuriti Ekonomi (ringkasnya CARES Act), yang diluluskan oleh Presiden Donald Trump pada 27 Mac lalu.

Selain Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, dan Kanada juga telah melakukan tindakan sama, tetapi undang-undang mereka tidak menyeluruh seperti di AS. Selain meluluskan Akta Koronavirus 2020, kerajaan United Kingdom turut mengeluarkan satu garis panduan menangani isu-isu penting komersial dan perundangan.

Garis panduan itu memberi tumpuan khusus kepada enam perkara iaitu pertama, ketahanan operasi; kedua, kebajikan pekerja; ketiga, mengurus perhubungan komersial; keempat, pendedahan maklumat, laporan kewangan dan mesyuarat syarikat; kelima, pasaran modal, pembiayaan, kecairan dan aliran kewangan; dan kelima, pengurusan krisis.

Dalam garis panduan tersebut, kerajaan UK menetapkan langkah-langkah untuk memelihara kesihatan dan keselamatan pekerja, menyelesaikan ketidakhadiran di tempat kerja, mengurus pergerakan atau perjalanan, melindungi pekerja yang terancam, mengambil tindakan kontingensi, dan menetapkan saraan atau gaji pekerja.

Kebajikan

Di Ireland, pemerintah negara itu meluluskan skim bantuan gaji sementara di bawah undang-undang baharu dikenali sebagai Langkah-langkah Kecemasan Untuk Kepentingan Awam (Covid-19) 2020.

Satu kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) baru-baru ini menunjukkan bahawa impak buruk Covid-19 boleh menyebabkan 25 juta pekerja menganggur di seluruh dunia sekali gus membawa kepada kemiskinan dan kemelaratan.

Justeru, satu langkah segera berskala besar perlu diambil untuk menyelesaikan tiga isu berikut: melindungi pekerja di tempat kerja, merangsang ekonomi dan pekerjaan, serta meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan.

Mengikut Ketua Pengarah ILO, Guy Ryder: "Kita bukan hanya berdepan dengan krisis kesihatan global. Kita juga berdepan satu krisis pasaran pekerjaan dan ekonomi yang memberi kesan buruk kepada rakyat.”

Antara kelompok yang paling terkesan ialah pekerja berpendapatan rendah, khususnya dalam kalangan belia dan orang tua, wanita dan migran.

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia, Kementerian Sumber Manusia menyatakan semua pekerja berhak menerima gaji sepanjang perintah itu dikuatkuasakan. Perdana Menteri pula menyatakan setiap pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji akan diberi bantuan RM600 sebulan untuk tempoh sehingga enam bulan.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada masa ini terdapat kira-kira 15.5 juta rakyat Malaysia yang bekerja, manakala bilangan warga asing yang bekerja secara sah di negara ini melebihi dua juta orang. Bagaimana pula dengan bilangan warga asing yang bekerja secara tidak sah?

Pada 1 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, undang-undang pekerjaan negara ini mesti disemak semula agar selari dengan kebiasaan baru akibat pandemik Covid-19.

Langkah itu saya alu-alukan. Tetapi selain memodenkan undang-undang pekerjaan negara, kita perlu juga merangka satu pelan strategik yang menyeluruh bagi menjaga kebajikan pekerja kita pada masa hadapan.

* Profesor Datuk Salleh Buang ialah Pakar Undang-undang

Klik di sini untuk terus membaca