DI PULAU Saga banyak perahu, Diikat raga di bawah persada; Walau apa pun akan berlaku, Rakyat dan Raja berpisah tiada. Begitulah bait-bait pantun yang pernah disumbangkan Tan Sri Dr Rais Yatim kepada Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Almarhum... Klik di sini untuk terus membaca

DI PULAU Saga banyak perahu,

Diikat raga di bawah persada;

Walau apa pun akan berlaku,

Rakyat dan Raja berpisah tiada.

Begitulah bait-bait pantun yang pernah disumbangkan Tan Sri Dr Rais Yatim kepada Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Almarhum Sultan Ahmad Shah, sejurus sebelum Seri Paduka Baginda meninggalkan Istana Negara Lama pada tahun 1984.

Hari ini, sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, budayawan, peguam dan ahli politik itu berasakan pantun tersebut amat layak bagi beliau sembahkan pula ke persada Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu.

Menurut Rais, beliau mengenali Al-Sultan Abdullah melalui ayahandanya, Almarhum Sultan Ahmad Shah yang rapat dengannya.

"Kegemaran Al-Sultan Abdullah dalam bidang sukan, seni dan hal ehwal rakyat cukup diketahui rakyat Pahang.

"Saya amat menghargai sumbangan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menggalakkan seni tenunan batik, permainan gasing, pementasan muzikal dan melestarikan fabrik tenunan Pahang semasa saya di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dari tahun 2004 hingga 2009.

"Al-Sultan Abdullah tidak berubah sebagai insan diraja yang mudah didekati dan mesra. Semasa sebagai Tengku Mahkota dan Pemangku Sultan Pahang, sifat Al-Sultan Abdullah tidak suka meninggikan diri. Inilah satu-satunya aspek sahsiah amat terpuji yang hingga kini tidak berubah,” kata beliau.

Dr Rais Yatim

Ditanya bagaimana kepimpinan Yang di-Pertuan Agong setelah lebih setahun ditabalkan sebagai Agong ke-16, tokoh budayawan itu berkata, Al-Sultan Abdullah sangat arif tentang kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai pemerintah tertinggi Malaysia.

"Saya dapat melihat kearifan Seri Paduka Baginda dalam memenuhi dan melaksanakan tugas sebagai penguasa entiti tertinggi negara. Cara Seri Paduka Baginda mengendalikan peranannya semasa menentukan siapa yang sebenarnya layak dilantik sebagai Perdana Menteri susulan Tun Mahathir Mohamad melepaskan jawatan itu pada tanggal 25 Februari lalu, bagaimana Seri Paduka Baginda mengendalikan situasi dugaan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, misalnya, cukup mencerminkan pengetahuan yang genap di sisi Perlembagaan.

"Hal penting ini tidak banyak diketahui oleh rakyat jelata," katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh pendekatan Yang di-Pertuan Agong yang adakala tidak terlalu menurut protokol dalam mendampingi rakyat, budayawan itu memaklumkan Seri Paduka Baginda banyak mirip sahsiah ayahandanya, Almarhum Sultan Ahmad Shah dalam perspektif ‘mesra rakyat’.

"Seingat saya, sifat prihatin rakyat ini juga muncul daripada nendanya lagi, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah (1932-1974). Almarhum Sultan Abu Bakar suka berdamping rakyat, makan nasi kawah atau berpesta dengan orang kampung di tebing Sungai Pahang,” kongsi Rais.

Al-Sultan Abdullah bergambar bersama Tunku Azizah sebelum istiadat pembukaan Parlimen pada 18 Mei lalu.

Inspirasi

Dalam pada itu, tindakan Yang di-Pertuan Agong yang tidak gentar turun padang melihat petugas frontliners bertugas dalam situasi Covid-19 adalah sesuatu yang patut dipuji dan dijunjung kasih.

"Tiada liang yang tidak tembus, tiada genting yang tidak putus apabila Seri Paduka Baginda mengambil berat tentang nasib rakyat. Dalam hal wabak Covid-19, Seri Paduka Baginda tidak hiraukan risiko keselamatan diri sendiri demi berkongsi rasa dengan rakyat jelata,” katanya.

Sementara itu, Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM, Christopher Raj menceritakan, beliau mula mengenali Yang di-Pertuan Agong ketika berkhidmat dengan FAM pada tahun 1993.

"Ketika itu saya berkerja sebagai pegawai media FAM, Seri Paduka Baginda pula merupakan Timbalan Presiden FAM.

"Seri Paduka Baginda juga memegang beberapa jawatan penting dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sepanjang karier terlibat dalam bola sepak.

"Apabila pasukan negara bermain di mana-mana kejohanan, Seri Paduka Baginda akan berjumpa dengan pemain-pemain sebelum mereka berlepas ke luar negara.

Christopher (kanan) mengagumi keperibadian Al-Sultan Abdullah yang menjadi inspirasi dalam dunia sukan.

"Tuanku merupakan inspirasi kepada para pemain kerana Seri Paduka Baginda merupakan seorang yang cukup simple dan sentiasa boleh diajak berbincang,” kata Christopher sambil menambah Seri Paduka Baginda merupakan peminat pasukan bola sepak Arsenal.

Mengenali Yang di-Pertuan Agong selama hampir 19 tahun, Christopher yang pernah menjadi wartawan mengakui telah melihat sendiri betapa Seri Paduka Baginda sentiasa melakukan terbaik untuk rakyat dan negara.

"Secara peribadi, sikap keprihatinan dan peramah Seri Paduka Baginda masih sama seperti ketika masih bergelar Tengku Mahkota Pahang.

"Masih berhenti di mana-mana untuk makan KFC, ini adalah Seri Paduka. Ramai yang terperanjat bila melihat seorang Raja yang begitu merendah diri, namun bagi saya yang mengenali Seri Paduka Baginda, Al-Sultan Abdullah adalah seperti ungkapan Raja dan Rakyat berpisah tiada,” kata Christopher.

Lampu biru menghiasi Istana Negara sebagai penghargaan Yang di-Pertuan Agong kepada frontliners Covid-19.
Klik di sini untuk terus membaca