RAMAI yang gembira dan menyambut baik pengumuman kerajaan kelmarin yang membenarkan perniagaan gunting rambut dan salon kecantikan bermula Rabu ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pengumuman berkenaan menamatkan penantian lebih 74,000 penggiat industri itu yang sebelum ini memohon kelonggaran kepada kerajaan untuk mereka beroperasi secara bersyarat.
Dilaporkan hampir 70 peratus tukang gunting rambut berada dalam nyawa-nyawa ikan disebabkan kedai gunting rambut sehingga kini masih tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu. Begitu juga dengan pemilik salun kecantikan, ramai yang gulung tikar.
Kegusaran rakyat Malaysia mengenai rambut panjang serta janggut dan misai tidak terurus akhirnya menemui jalan penyelesaian. Merak Jalanan sendiri sudah rimas berambut panjang dan tidak sabar untuk menggunting rambut.
Sudah banyak kali juga kena tegur dengan bos sebab penampilan rambut tidak ubah seperti ‘Black Dog Bone’. Tapi Merak Jalanan lebih rela berambut panjang daripada pendek nyawa atau menjadi kluster gunting rambut!
Biarlah berambut panjang asalkan tidak dijangkiti Covid-19. Merak Jalanan yakin, ramai yang tidak sabar untuk memendekkan rambut masing-masing.
Lebih beruntung jika ada isteri yang pandai menggunting rambut. Ada juga yang menjadi Upin dan Ipin kerana rimas berambut panjang. Ada juga yang sanggup potong rambut sendiri sehingga jadi macam gaya rambut pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un!
Bagi wanita pula, bolehlah mewarnakan semula rambut mereka yang semakin luntur dan membuat rawatan kecantikan kerana salon turut dibenarkan beroperasi semula.
Madam Lee yang sebelum ini monyok kerana bisnes salon tak jalan, sudah boleh tersenyum semula!
Klik di sini untuk terus membaca