SHAH ALAM - Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dilaksanakan esok, namun ia bukan satu berita menggembirakan kepada lebih 120 pengusaha bas yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA).
Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali sebaliknya berkata, rata-rata pengusaha bas di bawah persatuan itu kemungkinan tidak dapat beroperasi kerana terpaksa menanggung kerugian disebabkan prosedur operasi standard (SOP) baharu membenarkan mereka hanya membawa separuh daripada kapasiti penumpang.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan aspek penjarakkan sosial dipatuhi.
"Rata-rata pengusaha bas mengadu sudah hilang motivasi dan keyakinan untuk meneruskan perniagaan mereka kerana tidak boleh bertahan dalam keadaan ini.
"Pengusaha bas tiada untung, malah tidak dapat tampung kos keseluruhan operasi termasuk penyelenggaraan bas, gaji pekerja, bayaran tol dan minyak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mohamad Ashfar berkata, pengusaha bas tidak boleh menaikkan kadar tambang bas sesuka hati kerana ia dikawal oleh kerajaan.
Jika pengusaha bas tidak dibantu, katanya, pihaknya bimbang lebih banyak syarikat pengusaha bas gulung tikar kerana pendapatan diperoleh tidak boleh menampung kos operasi yang tinggi.
"Apa yang kita harapkan pada ketika ini ialah agar kerajaan dapat mengkaji semula kadar tambang bas ekspres dan bas henti-henti ini yang sudah hampir 12 tahun tidak dinaikkan.
"Kita juga harap kerajaan dapat pertimbangkan kenaikan kadar harga untuk sepanjang tempoh PKPP ini dan juga pada masa hadapan bagi membantu pengusaha bas untuk terus beroperasi,” katanya.
Menurutnya, pada 18 Mei lalu, PMBOA telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Pengangkutan untuk memohon bantuan kerajaan bagi memastikan kelangsungan operasi para pengusaha bas di bawah persatuan tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca