SEBANYAK 71 buah masjid diarahkan ditutup pada hari Isnin lalu, tiga hari selepas kerajaan Arab Saudi membenarkan solat berjemaah diadakan pada Jumaat lalu.
Penutupan itu dilakukan bagi menghalang penularan pandemik Covid-19 yang kini melanda seluruh dunia dan boleh membawa maut kepada penghidapnya.
Arahan penutupan itu berlaku hanya beberapa hari kerajaan Arab Saudi membenarkan solat berjemaah dilakukan di masjid.
Sebelum ini hampir 100,000 umat Islam bersolat jemaah di Masjid Nabawi, Madinah iaitu tempat kedua paling suci dalam kalangan umat Islam.
Kebenaran itu dibuat selepas dua bulan solat berjemaah tidak dibenarkan di negara tersebut yang mencatatkan kematian terbesar di rantau Teluk.
Umat Islam juga berasa gembira apabila mereka dibenarkan pergi ke masjid seperti yang didedahkan oleh agensi berita AFP sebelum ini.
"Perasaan saya tidak boleh digambarkan. Kami merasa sungguh gembira. Terima kasih Tuhan. Kami kembali semula ke rumah-NYA," kata seorang jemaah yang dikenali sebagai Abdulrahman, 45, di masjid Al Rajhi kepada AFP.
Bukan sahaja umat Islam di Arab Saudi yang berasa gembira tetapi juga penganut seagama dengan mereka di seluruh dunia berikutan solat jemaah itu dibenarkan ketika berlakunya pandemik Covid-19.
Perkembangan penutupan masjid terbaru itu menunjukkan negara kelahiran Nabi Muhammad SAW itu memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan dalam kalangan umat Islam.
Menurut portal beeita Gulf News, penutupan 71 masjid itu adalah yang terbesar sejak Arab Saudi membuka kembali rumah ibadat tersebut pada 31 Mei lalu.
Terdapat lebih 900,000 buah masjid di seluruh negara itu.
Pada Jumaat lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung terhadap bandar raya Jeddah termasuk larangan bersolat di masjid bermula pada Sabtu lepas selama 15 hari.
Perintah berkurung itu bermula dari pukul 3 petang hingga 6 pagi, larangan bersolat di masjid dan para pekerja tidak dibenarkan pergi bekerja manakala perkhimatan penghantaran makanan dari restoran dibenarkan.
Perintah berkurung itu dilakukan selepas kerajaan mendapat maklumat tentang situasi penyakit berjangkit dan kadar bilangan pesakit di unit rawatan rapi hospital di negara tersebut adalah tinggi.
Menteri Hal Ehwal Islam, Dr Abdullatif Al- Sheikh merujuk penutupan itu adalah disebabkan kurangnya kepatuhan kepada langkah-langkah pencegahan pandemik tersebut oleh para jemaah Islam.
"Ketidakpatuhan ini adalah akibat daripada jangkitan koronavirus (Covid-19) di beberapa buah masjid.
"Masjid-masjid ditutup sebagai langkah- langkah berjaga-jaga yang ketika kini penstrilan sedang dilakukan," katanya seperti dilaporkan portal Gulf News
Beliau tidak mengulas lanjut betapa ramai jemaah masid yang dijangkiti Covid-19 berikutan solat berjemaah di masjid-masjid.
Sebelum ini pihak berkuasa Arab Saudi telah meletakkan satu garis panduan solat berjemaah di masjid-masjid bagi menangani jangkitan pandemik Covid-19.
Garis panduan itu ialah masjid perlu dibuka awal 15 minit sebelum azan dan ditutup 10 minit setelah berakhinya solat berjemaah.
Bagi mengelak jangkitan Covid-19 yang penawarnya masih belum ditemui, para jemaah diminta berdiri dalam jarak dua meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka.
Kanak-kanak berusia 15 tahun juga dilarang daripada mengunjungi masjid sebagai langkah berjaga-jaga.
Tambahan pula, kelas-kelas agama di masjid- masjid termasuk hafalan kitab suci al-Quran turut digantung buat sementara waktu.
Suhu badan jemaah juga diperiksa sebelum mereka dibenarkan memasuki masjid-masjid untuk bersolat jemaah.
Para jemaah juga perlu membawa sejadah masing-masing.
Masjid-masjid di negara itu sebelum ini ditutup kepada jemaah Islam pada bulan Mac sebagai langkah kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19.
Arab Saudi pastinya tidak mahu mengekalkan perangkaan bilangan penduduk yang teramai meninggal dunia di rantau Teluk akibat Covid-19.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa lalu, bilangan kematian akibat Covid-19 di Arab Saudi ialah 746 orang dengan 100,283 kes penyakit tersebut.
Bagaimanapun, ekoran penutupan masjid-masjid itu, kerajaan Arab Saudi masih belum memutuskan sama ada untuk membenarkan jemaah haji di Mekah pada tahun ini.
Sebelum ini, negara itu tidak membenarkan kemasukan jemaah umrah sehingga menyebabkan keadaan Mekah kini menjadi lengang.
Pada tahun lalu, kira- kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia datang ke Mekah untuk mengerjakan haji yang perlu dilakukan sekali seumur hidup mereka.
Beberapa buah negara pula seperti Singapura dan Indonesia sudah membuat keputusan tidak menghantar jemaah haji ke Mekah kerana pandemik itu pada tahun ini.
Klik di sini untuk terus membaca