SHAH ALAM - Isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia bukanlah perkara baharu yang dibincangkan ramai pihak. Kelmarin, negara sekali lagi dikejutkan dengan kemasukan lebih 200 PATI etnik Rohingya di pantai berhampiran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia bukanlah perkara baharu yang dibincangkan ramai pihak.

Kelmarin, negara sekali lagi dikejutkan dengan kemasukan lebih 200 PATI etnik Rohingya di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi, Kedah.

Menurut National Task Force (NTF), berdasarkan siasatan awal bot tersebut didapati sengaja dibocorkan sehingga menyebabkan kerosakan teruk serta tidak dapat dibaiki.

Melihat kepada senario terbaharu itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim mencadangkan supaya undang-undang terhadap PATI dipinda supaya hukuman yang lebih tegas dan berat dikenakan bagi mengekang kemasukan kumpulan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 269 etnik Rohingya ceroboh perairan Langkawi

Sekumpulan pelarian Rohingya mendarat di Langkawi

Pelarian Rohingya ceroboh Langkawi akan ditempatkan di negara ketiga

Menurutnya, antara pindaan yang dicadangkan adalah hukuman sebat atau rotan mandatori perlu dilaksanakan bukan sahaja terhadap PATI tetapi juga ejen atau individu yang menyeludup masuk warga asing secara haram itu.

"Undang-undang sekarang ini sudah berat tetapi ia perlu lebih keras lagi. Hukuman yang lebih berat lagi bukan sahaja kepada PATI tetapi bagi mereka yang bersubahat membawa masuk PATI kerana saya percaya kalau tidak ada ejen atau penyeludup yang membawa masuk ini, mereka tidak akan masuk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Shahul Hamid berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap PATI bagi memastikan kumpulan itu tidak terus membina komuniti yang lebih besar di negara ini.

"Jadi, saya mencadangkan kepada kerajaan supaya polisi warga asing yang berada di Malaysia secara tidak sah dipermudahkan untuk menghantar mereka meninggalkan negara ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya polisi pengambilan pekerja asing digubal semula dengan mewujudkan sebuah jabatan khas bagi mengendalikan kumpulan tersebut.

Shahul Hamid berkata, pemerkasaan agensi penguatkuasaan juga perlu diperhebatkan bagi mengekang kemasukan warga asing khususnya di lorong-lorong tikus.

Katanya, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara langsung dalam operasi itu perlu dilakukan kerana telah terbukti kejayaan kerjasama mereka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Kita lihat sekarang ini, ada pihak yang menyalahkan Jabatan Imigresen apabila ada PATI lolos khususnya di lorong-lorong tikus tetapi hakikatnya pintu sempadan Malaysia terutamanya lautan sangat luas.

"Malah secara dasarnya Jabatan Imigresen hanya berkuasa sepenuhnya di pintu sempadan yang diwartakan sahaja.

"Jadi, sebab itulah kita perlukan kerjasama bersepadu semua pihak,” katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi seorang lagi pakar kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff.

Nadiah Syariani

Menurutnya, pelaksanaan hukuman yang lebih berat dan denda yang berlipat kali ganda ke atas PATI dan individu yang terlibat membawa masuk kumpulan tersebut perlu dilakukan segera.

"Penyeludupan PATI adalah jenayah terancang yg melibatkan peranan enam dalang utama iaitu ketua sindiket, ejen, penghubung (transporter), tekong darat, penjaga tempat penginapan dan tekong laut.

"Jadi adanya keperluan untuk mengenal pasti dan menjejaki individu-individu ini yang terdiri dalam kalangan warga tempatan yg berperanan dan mengambil keuntungan dlm penyeludupan PATI ini," katanya.

Nadiah Syariani berkata, kawalan ketat di pintu masuk khususnya laluan tikus perlu diperhebatkan.

Katanya, usaha itu memerlukan usahasama semua agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) terutama di kawasan sempadan dan lorong tikus.

"Kawalan ketat dan pemantauan secara konsisten bukan bermusim di kawasan sempadan terutama di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen juga perlu diberi perhatian.

"Selain itu, kerjasama daripada orang ramai untuk memberi maklumat tentang aktiviti penyeludupan PATI yg membabitkan pendaratan di perairan atau jalan darat dapat membantu usaha membanteras golongan ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca