HANYA kerana nama serupa dengan haiwan seperti dalam Bahasa Melayu, seorang penyanyi dan penari Kumpulan Fly With Me dari Korea Selatan diketawakan netizen Malaysia.
So-Young yang menggunakan nama pentas 'Babi' diperlekehkan rakyat Malaysia dengan pelbagai komen termasuklah 'Babi paling cantik di dunia' di Instagram miliknya hingga menyebabkan dia tertekan. Kisah So-Young merupakan antara contoh amalan buli siber yang dilakukan netizen sama ada disedari mereka ataupun tidak.
Memetik laporan portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, buli siber merujuk kepada perbuatan memalukan, mengancam ataupun menakutkan individu lain melalui platform media baharu.
Tanpa disedari umum, buli siber mungkin lebih dasyat daripada bentuk buli lain memandangkan ia boleh berlaku setiap saat, setiap minit, setiap jam dan setiap hari. Lebih menakutkan, identiti mereka amat payah dikenalpasti kerana ada yang menggunakan akaun palsu menggunakan platform media baharu yang tidak memiliki sempadan dan boleh diakses sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa asalkan memiliki internet.
Beberapa artis ternama di dunia, seperti Demi Lavota, Selena Gomez, Zynn Malik dan Ed Sheeran berdepan buli siber yang sangat teruk hingga ada yang mengambil keputusan membunuh diri seperti dilakukan Sulli daripada kumpulan Kpop, f (x).
Di Malaysia, keadaan sama sebenarnya dilalui individu terkenal dan rakyat biasa yang dipersenda kerana nama, saiz badan, kaum hingga warna kulit.
Ketika majlis pelancaran 'Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu' di Kuala Lumpur Performing Arts Centre pada 2018, selebriti terkenal, Neelofa pernah mendedahkan bahawa dirinya dan ahli keluarga dibuli di media sosial hampir setiap hari. Selain Neelofa, beberapa selebriti tempatan lain, seperti Haneesya Hanee juga sebenarnya menjadi mangsa buli siber netizen Malaysia.
Penulis bukanlah individu terkenal tetapi hakikatnya juga tidak terlepas daripada buli siber netizen Malaysia. Antara komen-komen negatif diterima penulis ialah bodoh dan tidak cerdik hanya kerana berita dilaporkan tidak mengikut kehendak sesetengah netizen. Malah, fizikal penulis seperti suara juga kerap dipersenda netizen. Jikalau dahulu, penulis seronok setiap kali berita dan video dibuat penulis keluar dan dikongsikan ramai di media sosial. Lama-kelamaan, penulis berasa tertekan dan takut untuk membaca komen pembaca di media sosial Facebook.
Netizen dilihat lebih seronok mengkritik dan memberi komen negatif berbanding membaca isu-isu semasa dan penting ditulis penulis. Rasanya, hal sama dilalui kebanyakan rakan penulis yang bergelar wartawan.
Pada Mac lepas, wartawan dikritik hebat di Twitter hanya kerana cuba menyalurkan maklumat tepat daripada sumber sahih dengan menyoal berkaitan ikan singgang yang didakwa boleh dijadikan penawar koronavirus (Covid-19). Bagi penulis, kutukan demi kutukan netizen ke atas profesion kewartawanan hingga mendakwa wartawan bertanyakan soalan kurang kurang cerdik juga merupakan salah satu bentuk buli siber.
Sedar ataupun tidak, kebanyakan netizen kini mula menjadi pembuli siber apabila media baharu yang memudahkan komunikasi telah disalahguna sebahagian mereka untuk memberi komen negatif hingga mampu memberi kesan kepada psikologi mangsa.
Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Advanced Communication Research Unit (ACRU) Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata terdapat dua bentuk buli siber, iaitu hasutan maya dan inter siber, yang mana kedua-duanya mampu memberi implikasi negatif terhadap individu terbabit.
Sampai bila buli siber ini harus berlaku? Adakah, sampai individu dibuli di media sosial terkesan dari segi psikologi dan mental hingga tidak berselera makan ataupun tidur lena sebelum mengambil keputusan drastik barulah netizen akan berhenti.
Cukuplah. Sedarlah. Gunakan media sosial dengan berhemah dan bukannya dengan memberi komen tanpa batasan serta luar kawalan hingga akhirnya jadi 'pembunuh' tanpa sedar.
Klik di sini untuk terus membaca