MIAMI - Seorang pemburu ular, Mike Kimmel berjaya menangkap seekor ular sawa gergasi betina sepanjang 5.18 meter di Florida Everglades.
Menurut Fox News pada 10 Jun lalu, berdasarkan gambar yang dikongsikan di media sosial, penangkapan ular itu bukan sesuatu yang mudah.
Menurut akhbar Palm Beach Post, dia merupakan pemburu ular sawa yang mendapat bayaran daripada pihak kerajaan negeri dan akan menerima bonus berdasarkan kepanjangan haiwan itu.
Haiwan itu dikatakan seberat 68.03 kilogram.
Dalam satu kenyataan di akaun Instagramnya, Kimmel menjelaskan dia menemui ular tersebut kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan.
"Ular sawa betina itu tidak takut dengan saya. Ia kemudian bergerak perlahan- lahan menjalar melalui pokok sayur-sayuran.
"Saya berjalan bersebelahan haiwan itu dengan berhati-hati untuk cuba menganggarkan berapa besarnya ular itu. Ini adalah kerana adalah sukar untuk memberitahu (berapa panjang haiwan itu) ketika ia menjalar di kawasan rumput dan biji-bijiran.
"Tetapi, saya dapat memberitahu ular betina itu pastinya seekor gergasi " katanya.
Ketika bergelut dengan ular itu, haiwan tersebut mengigit Kimmel yang turut dikenali sebagai 'Koboi Ular Sawa' di kalangan penduduk setempat.
Dia kemudian mengikat lengannya menggunakan beg ular yang dibawanya untuk menghentikan pendarahan. Kimmel kemudiannya mengheret haiwan itu ke dalam bot dan melalikan haiwan tersebut.
Ular sawa batik atau juga dikenali sebagai python reticulatus boleh mencecah sehingga hampir tujuh meter dan merupakan reptilia terpanjang di dunia. Ular sawa menyerang menggunakan badan dengan jerutan yang kuat sehingga melemaskan mangsanya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca