NEW YORK - Firma RM Sotheby' s menutup jualan pemanduan musim panas tahun ini dengan mencipta rekod baharu lelongan secara online, lapor portal berita Maxim pada 10 Jun lalu.
Ia berjaya melelong sebuah kereta Ferrari Enzo pada harga AS$2.64 juta (RM11.2 juta) pada acara lelongan itu pada bulan lalu.
Nama kereta itu diambil sempena nama pengasasnya iaitu Enzo dari Itali.
Kereta itu mampu memecut dari 0 hingga 96.56 kilometer sejam atau 60 batu sejam berdasarkan meter kelajuan hanya dalam tempoh 3.3 saat.
Hanya 400 buah kereta Ferrari Enzo dibina pada tahun 2002 hingga 2004.
Menurut portal berita Robb Report pada 10 Jun lalu, kereta itu hanya mempunyai dua pemilik dan mencatatkan jarak kurang 2,011 kilometer atau 1,250 batu walaupun ia berumur 17 tahun yang menyebabkan ia dilelong pada harga tinggi.
Portal itu menyatakan, harga asal kereta Ferrari tersebut ialah AS$650, 000 (RM2.7 juta).
Ia dilengkapi dengan enjin V12 yang mampu menghasilkan 651 kuasa kuda.
Dalam acara lelongan itu juga, sebuah kereta Ferrari keluaran tahun 1985 dikenali sebagai 288 GTO dilelong pada harga AS$2.31 juta (RM9.8 juta).
Bagaimanapun, pembeli baharu untuk kedua-dua kereta Ferrari itu tidak didedahkan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca