KUANTAN - Bakal jemaah haji yang terlepas peluang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini perlu berlapang dada dan reda dengan keputusan kerajaan yang menangguhkan penghantaran jemaah.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, sekiranya ada halangan atau kebimbangan terhadap keselamatan, kesihatan dan sebagainya, maka tidak menjadi kewajiban umat Islam untuk melaksanakan ibadah tersebut.
Menurutnya, ketika ini ancaman jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) masih berlaku dan ia menjadi antara pertimbangan kerajaan untuk menangguh penghantaran jemaah haji pada tahun ini demi kepentingan bersama.
"Dari segi syarak, sekiranya ada halangan tertentu yang menghalang umat Islam menunaikan haji, ibadah itu tidak diwajibkan.
"Bukan dalam isu Covid-19 semata-mata, tetapi halangan juga ada pelbagai sebenarnya termasuk tidak dapat tunai haji kerana isu kuota dan halangan ketika dalam perjalanan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguh penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Makkah ekoran penularan Covid-19 yang melanda dunia termasuk Arab Saudi.
Susulan itu, Lembaga Tabung Haji (LTH) turut memaklumkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi tahun ini ditangguhkan atas faktor keselamatan dan kesihatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini
TH tangguh semua urusan berkaitan operasi haji
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, niat baik mahu menunaikan ibadah haji tetap akan diberi ganjaran pahala oleh ALLAH dan sekiranya ditakdirkan tidak dapat pergi, ia juga bukan satu dosa.
Beliau bagaimanapun berharap kerajaan khususnya pihak LTH memberi keutamaan kepada bakal jemaah haji yang sepatutnya berlepas tahun ini untuk menunaikan ibadah itu pada tahun hadapan
Klik di sini untuk terus membaca