KOTA BHARU - Susulan penangguhan penghantaran jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji, kerajaan disarankan supaya mengutamakan kumpulan yang sudah disenaraikan sebelum ini untuk mengerjakan ibadah itu pada tahun hadapan. Mufti Kelantan,... Klik di sini untuk terus membaca

KOTA BHARU - Susulan penangguhan penghantaran jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji, kerajaan disarankan supaya mengutamakan kumpulan yang sudah disenaraikan sebelum ini untuk mengerjakan ibadah itu pada tahun hadapan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, mungkin agak sukar untuk kerajaan memberikan jaminan agar kumpulan tersenarai itu diberikan kelulusan secara automatik mengerjakan haji pada tahun hadapan.

Menurutnya, dalam keadaan dunia berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) ini, keselamatan perlu diutamakan bahkan ia juga tertakluk dengan suasana semasa kerajaan Arab Saudi.

"Saya merasakan bakal jemaah yang tersenarai ini sudah memahami keadaan dunia sekarang. Cuma setelah ditangguhkan, saya melihat lebih elok Tabung Haji utamakan kumpulan yang sudah ditawarkan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengumumkan Malaysia menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan.

Keputusan tersebut dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

Dalam perkembangan sama, Mohamad Shukri juga meminta bakal jemaah haji berkenaan untuk peka dengan perkembangan semasa berkaitan proses penghantaran ke Makkah sepanjang tempoh penangguhan.

"Jika kerajaan sudah umumkan mereka perlu membuat rayuan maka ikutlah saranan tersebut. Saya juga suka meminta supaya bakal jemaah kita yang layak bersabar menghadapi keadaan sebegini.

"Patuhlah pada arahan kerajaan, kerana untuk mengerjakan ibadah ia perlu kepada keamanan dalam perjalanan mahupun ketika berada di sana. Itu adalah syaratnya, jika tidak aman baik dielakkan.

"Sama-sama berdoa semoga ALLAH SWT panjangkan umur kita untuk dapat sempurnakan ibadah haji tahun hadapan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca