SHAH ALAM - Syarikat penerbangan di negara ini termasuk Malaysia Airlines yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) berisiko besar untuk ditutup operasi sekiranya tidak menerima sebarang bantuan sama ada daripada kerajaan atau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Syarikat penerbangan di negara ini termasuk Malaysia Airlines yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) berisiko besar untuk ditutup operasi sekiranya tidak menerima sebarang bantuan sama ada daripada kerajaan atau pihak lain.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menyelamatkan sektor penerbangan yang sedang kritikal.

"Bagi Malaysia Airlines sendiri, jika Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang satu-satunya pemegang saham syarikat penerbangan itu tidak membantu, Malaysia Airlines mungkin terpaksa tutup operasi mereka."Situasi ini juga dijangka beri kesan kepada kerajaan kerana kerajaan merupakan penjamin bagi beberapa pinjaman yang dibuat syarikat penerbangan tersebut sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak merancang untuk menyediakan peruntukan bagi membiayai syarikat penerbangan yang terjejas akibat Covid-19 termasuk Malaysia Airlines.

Katanya, kerajaan tidak akan terbabit dalam pelan menyelamatkan kerana syarikat penerbangan ialah syarikat komersial.

Barjoyai bersetuju dengan keputusan kerajaan itu kerana jika kerajaan menyediakan peruntukan untuk tujuan tersebut, ia dijangka menelan belanja besar kerana terpaksa memberi peruntukan bukan sahaja Malaysia Airlines tetapi kepada semua syarikat penerbangan lain.

Susulan itu, Barjoyai berkata, dalam keadaan sekarang, ahli lembaga pengarah syarikat penerbangan terutama Malaysia Airlines perlu mengumumkan cadangan untuk pulihkan syarikat terbabit termasuk dengan melakukan pengurangan kos dan mengubah model perniagaan bagi mengelakkan berlakunya penutupan operasi perniagaan.

Malaysia Airlines

Sementara itu, Pakar Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, beliau percaya Khazanah sebagai pemilik Malaysia Airlines akan mengambil langkah sewajarnya untuk menyelamatkan syarikat penerbangannya itu demi kepentingan sosial.

"Sebagai contoh, untuk pergi ke kawasan pedalaman di negara ini, ia tetap memerlukan jalan udara untuk masuk ke sana jadi untuk melaksanakan tanggungjawab sosial ini, saya yakin Khazanah akan pastikan Malaysia Airlines akan terus beroperasi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, keputusan kerajaan untuk tidak menyediakan peruntukan bagi membiayai syarikat penerbangan yang terjejas disebabkan Covid-19 bukanlah bermakna kesemua syarikat penerbangan terbabit tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi mereka.

"Bagi syarikat penerbangan swasta, risiko memang perkara biasa dan kerajaan wajar biarkan pasaran menentukannya.

"Kalau pelabur tengok syarikat penerbangan itu boleh menjana keuntungan, mereka akan melabur, namun untuk bantu syarikat-syarikat penerbangan ini pada masa sukar sekarang, kerajaan boleh ambil beberapa inisiatif seperti pengecualian cukai tertentu supaya syarikat-syarikat ini dapat tawarkan tiket pada harga lebih murah kerana ketika ini kita dengar rungutan orang ramai tentang kadar tambang yang mahal,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca